Thursday, January 14, 2016

Changgong lubuk tamban kering




Changgong lubuk tamban kering
Kampung Changgong menjadi lubuk tamban kering sepanjang tahun kecuali musim tengkujuh.
BACHOK – Perkampungan pesisir pantai dari Pantai Senak, Kubang Golok, Perupuk, Changgong, Telong hingga ke Kandis lazimnya didiami golongan nelayan yang menjadikan laut sebagai sumber rezeki mereka.
Selain ikan mentah, hasil laut juga boleh dieksploitasi sebagai hasil sampingan lain, termasuk ikan kering dan belacan.
Ketibaan di Kampung Changgong disambut aroma bau ikan mentah, sementelah golongan nelayan baharu sahaja menaikkan pukat mereka beberapa jam sebelum itu.
Di atas wakaf yang hanya beberapa meter dari pantai, kelihatan sekumpulan nelayan sedang beristirahat sambil berbual sesama mereka, manakala sebahagian lagi menyusun pukat berhampiran bot masing-masing.
Beberapa wanita dapat dilihat mengerumuni bawah bangsal berdekatan, sedang asyik menyiang ikan untuk dijadikan ikan kering.
Kampung Changgong adalah perkampungan kecil yang terletak bersebelahan dengan Kampung Nipah dan Kampung Pantai Chap dalam Melawi.
Lubuk ikan tamban kering
Suatu ketika dahulu, nelayan adalah kerjaya utama di kawasan ini, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagian penduduk sudah mengubah haluan menceburi bidang pertanian (sayur-sayuran) dan peniagaan kecil.
Bagaimanapun, kampung ini masih kekal sebagai lubuk ikan tamban kering sejak beberapa tahun lalu apabila ramai suri rumah menjadi pembekal utama ikan tamban kering untuk pemborong.
Latifah Mat Sulaiman, 55, berkata, dia mula membuat ikan kering lebih enam tahun lalu sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang sahaja.
“Biasanya bekalan ikan kering cepat habis sebab orang akan tempah dulu, sama ada dijual kepada peraih atau jualan runcit untuk kenduri.
“Saya sendiri ada tiga pemborong tetap yang akan ambil ikan kering ini dua atau tiga kali seminggu. Ada yang datang ambil dan ada yang kami pergi hantar,” katanya.
Ikan tidak terlalu masin
Menurut Latifah, kualiti ikan yang dijual adalah berbeza dan bergantung kepada tahap kekeringan ikan.
Menurutnya, ikan yang dijemur sehari akan dijual pada harga RM10 sekilogram, manakala ikan yang dijemur dua hari dijual RM12 sekilogram.
“Ikan kering yang dijemur dua hari lebih garing dan tidak akan rosak atau berulat jika disimpan lama. Ia boleh bertahan beberapa bulan tanpa disimpan dalam peti ais. Ikan ini lebih sedap dan harganya tinggi sedikit.
“Kami tak guna banyak garam seperti ikan dari negara jiran. Kebanyakan orang yang pernah beli ikan kering di sini pasti akan datang lagi. Selera mereka kena dengan ikan kering kami yang tidak terlalu masin, sesuai untuk santapan keluarga atau kenduri,” katanya.
Lebih sedap, segar dari laut
Sementara itu, Zainun Sidi, 56, yang baru dua tahun berjinak-jinak sebagai pembuat ikan kering dengan dibantu beberapa anaknya berkata, semua ikan tamban kering yang dibuat adalah hasil tangkapan suami, Awang Mat Sulaiman, 58, bersama anak mereka yang menjadi nelayan sejak usia belasan tahun.
Menurutnya, dia percaya sambutan menggalakkan daripada penggemar ikan tamban kering adalah disebabkan kualiti dan kesegaran ikan kerana ikan segar tidak akan menyebabkan bau busuk ataupun kegatalan ketika memakannya.
“Semua ikan kami adalah segar dari laut... kami tak simpan banyak hari. Adakala suami dapat 400 hingga 500 kilogram ikan. Kami tunggu tak lama sebelum ikan itu berkurangan dibeli penduduk tempatan untuk buat ikan kering. Lebihnya tinggallah 50-60 kilogram ikan untuk saya buat ikan kering.
“Kami siang ikan sampai ke petang. Lepas itu ikan perlu direndam air garam satu malam. Kemudian, seawal jam 3.30 pagi, saya dah bangun untuk belah ikan sampai jam 7 pagi. Lepas tu boleh dijemur di bawah terik matahari hingga petang,” katanya yang turut dibantu empat anak, Mohd Faiz, 20; Nurfatin, 22; Zariana, 26 dan Zaidi 28.
Tengkujuh untuk berehat
Menurut Zainun lagi, ikan kering yang dibuat lazimnya sudah ditempah peraih dari sekitar Bachok untuk dipasarkan bukan sahaja di pasar tani daerah ini, tetapi juga di pasar borong di Kota Bharu.
Katanya, ikan tamban kecil mentah tidak mempunyai harga, namun apabila menjadi ikan kering, harganya boleh dijual hingga RM10 sekilogram.
“Sebanyak 100 kilogram ikan tamban mentah boleh menghasilkan 30 kilogram ikan kering. Walaupun hasil nampak berbeza, tetapi berbaloi dengan jualan yang memang menggalakkan. Sebab itulah ramai orang di sini buat ikan tamban kering,” katanya.
Zainun berkata, menjelang Oktober menjadi musim sukar buat nelayan pesisir pantai kerana tiada lagi lambakan ikan tamban.
Ketika itu, ramai nelayan ‘gantung pukat’ dan melakukan aktiviti lain berikutan ketibaan monsun Timur Laut dan tidak selamat untuk nelayan bot kecil menangkap ikan dalam cuaca tidak menentu.
“Biasanya dalam bulan 10, 11 dan 12, nelayan tak akan dapat ikan tamban lagi. Bahaya untuk mereka ke laut. Kalau ada pun, itu untuk nelayan pukat ketam sahaja.
"Itu musim ketam sehinggalah monsun reda pada awal tahun, barulah kami sambung semula rutin buat ikan tamban kering,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: