
Anggota JPAM memegang ular tedung selar yang berjaya ditangkap, kelmarin.
KUALA KANGSAR - Tindakan pantas anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menyelamatkan nyawanya daripada di patuk ular tedung selar sepanjang hampir lima meter di Kampung Simpang Beluru, di sini, petang kelmarin.
Ahmad Salihim Razali, 24, berkata, insiden itu berlaku apabila sepasukan anggota JPAM melakukan operasi menangkap ular di salah sebuah rumah di kampung berkenaan.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu, penduduk kampung memberitahu haiwan berkenaan masuk ke dalam rumah dan berada di tingkat atas rumah tersebut.
“Sebaik saja buka pintu, ular itu berada dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Mujur saya sempat menjarakkan diri dengan pantas.
"Jika lambat sedikit, mungkin saya akan dipatuk. Saiznya agak besar dan menyukarkan kami untuk menangkapnya,” katanya.
Katanya, JPAM mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular berkenaan sebelum diserahkan kepada Perhilitan.
Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Haspi Hamzah memberitahu, sebelum ini banyak tangkapan tedung selar dilakukan namun, saiznya kecil dan tidak mencapai empat meter atau lebih seperti tangkapan terbaru ini.
“Permulaan tahun 2016, kita berjaya menangkap tedung selar sebesar ini. Mungkin mereka keluar disebabkan cuaca panas, jadi mereka mencari tempat berteduh.
“Trend sebegini kita dapat lihat sebelum ini di mana kes tangkapan ular bertambah apabila tibanya musim panas.Jadi, saya harap orang awam lebih berhati-hati selepas ini dan melaporkan terus kepada pihak keselamatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: