
Penjual ikan dan udang di Pasar Balok turut gembira hasil tangkapan nelayan semakin meningkat selepas laut yang sebelum ini merah akibat bauksit kembali pulih seperti biasa.
KUANTAN - Nelayan di Pantai Balok menarik nafas lega apabila hasil tangkapan pesisir pantai semakin meningkat selepas laut kembali pulih seperti sedia kala.
Hasil tangkapan seperti ikan pelaling, ikan buluh dan pelbagai jenis udang mudah diperoleh pada jarak antara dua hingga tiga batu nautika berbanding 20 hingga 25 batu nautika ketika laut merah.
Ketua nelayan Balok, Raja Haris Raja Salim ketika ditemui memberitahu, kebanyakan nelayan kini kembali menangkap ikan di pesisir pantai kerana hasil tangkapan yang memuaskan, malah kosnya pula lebih menjimatkan.
“Ikan sudah mula masuk di kawasan pesisir pantai sejak dua minggu lalu dan keadaan ini akan memudahkan nelayan mendapat hasil.
“Sebelum ini, nelayan pesisir pantai terpaksa pergi jauh ke tengah laut nak dapat hasil tangkapan,” katanya ketika ditemui di Pantai Balok di sini, semalam.
Menurutnya, golongan nelayan kini lega dengan perkembangan ini dan berharap kejadian laut merah tidak akan berulang lagi.
“Terima kasih kepada pihak yang begitu prihatin dengan nasib nelayan ketika berlaku kejadian laut merah terutamanya kepada Jabatan Perikanan dan Jabatan Kesihatan.
“Kami juga sudah menerima maklum balas melalui surat daripada Jabatan Kesihatan mengenai sampel ikan dan apa yang boleh saya katakan, adalah hasil tangkapan diperoleh bebas dari sebarang bahaya,” katanya.
Ditanya mengenai kesan kepada jualan ikan di Pasar Balok ketika kejadian laut merah, Raja Haris berkata, kejadian itu tidak menjejaskan jualan ikan sebaliknya pemborong serta pembeli tetap berkunjung ke pasar berkenaan seperti biasa.
Seorang nelayan, Kamaruliza Ramli, 36, berkata, kejadian laut merah sebelum ini menyebabkan nelayan sukar untuk mendapatkan bekalan ikan.
Malah katanya, mereka terpaksa mengambil masa antara 45 minit hingga sejam untuk sampai di kawasan yang ada ikan.
“Ini yang nelayan alami semasa kejadian laut merah. Masa itu kos petrol kami meningkat dan menjejaskan pendapatan kerana tangkapan berkuranga. Tapi, kami bersyukur apabila keadaan sudah kembali seperti biasa.
“Kini kami hanya pergi dalam jarak antara 15 minit hingga 30 minit saja untuk menangkap ikan dan hasil tangkapan pula cukup memuaskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: