Monday, December 1, 2014

Pukul bola kayu seperti main golf




PERTAMA kali diperkenalkan dengan permainan ini, dia berasa sedikit janggal dan keliru. Ketika diberi penerangan oleh jurulatihnya, dia membayangkan ia sama seperti golf kerana menggunakan alat berupa sebiji bola dan sebatang pemukul.
Bezanya, woodball menggunakan bola dan batang pemukul yang diperbuat daripada kayu. Malah, ia hanya mempunyai satu lubang sahaja bagi setiap fairway yang perlu disumbat dengan kreativiti dan strategi si pemain.
Bagi Muhammad Shauqi Zulkifli, 22, woodball tidak seperti permainan tangkas yang lain kerana ia lebih memerlukan perancangan dan kepekaan bagi memastikan ayunan tidak tersasar jauh terpesong.
Sejarah
Tidak terlalu sukar untuk dikuasai tetapi kepada jejaka berasal dari Kulim, Kedah itu, woodball memberikan cabaran yang sama getir dalam mana-mana perlawanan.
“Pemain perlu bijak mengatur strategi kerana kemenangan ditentukan berdasarkan jumlah pukulan yang sedikit,” ujarnya ketika ditemui ketika membuat persediaan mewakili negara dalam Kejohanan Woodball Universiti Dunia (WUWC) 2014 di Universiti Malaysia Perlis baru-baru ini.
Woodball tidak mempunyai sejarah panjang seperti rantaian sukan sedia ada kerana ia boleh dikategorikan sebagai permainan moden yang dicetuskan oleh seorang warga Taiwan, Ming Hui Weng pada tahun 1990.
Ideanya cukup ringkas iaitu mahu mencipta permainan yang boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat menggunakan bahan ekonomi dan keluasan padang yang fleksibel.
“Malah, ia boleh dimainkan di mana-mana kawasan luas seperti padang bola sepak atau tempat letak kereta sekali pun permainan woodball boleh dilangsungkan,” ujar jurulatih pasukan universiti Malaysia, Hazril Hassan.

ABU HASSAN (tiga dari kanan) bersama pasukan kebangsaan yang menyertai WUWC 2014 di Kangar, Perlis baru-baru ini.


Gawang
Selain dua kompenan utama iaitu bola dan pemukul kayu atau dipanggil mallet, permainan woodball perlu mempunyai sebuah gate.
Ia merupakan gawang yang perlu ditembusi oleh pemain dan diletakkan pada titik akhir garisan padang. Gate mempunyai tiga bahagian yang terdiri daripada tiang, cawan dan bendera.
“Pemain perlu memukul bola dan melanggar cawan sehingga berpusing manakala bendera digunakan sebagai tanda arah bagi menyasarkan pukulan ke arah gate,” terang Hazril.
Jurulatih pasukan, Abu Hassan Adam menjelaskan, jarak antara gate dengan garisan permulaan adalah bergantung kepada keluasan padang. Tapak permainan berbentuk seperti huruf L, V, dan U.
Ukuran
Setiap satunya mesti mempunyai sebuah lengkungan diameter berukuran lima meter untuk diletakkan gate didalamnya. Ukuran standard bagi satu perlawanan adalah 0 hingga 50 meter untuk PAR 3, 51 hingga 70 meter untuk PAR 4 dan 71 hingga 130 meter untuk PAR 5.
PAR bermaksud pukulan yang perlu dipukul oleh pemain. Sebagai contoh, jika pemain berada di PAR 4, pukulan bola memasuki gawang gate mestilah kurang daripada empat kali. Jika terlebih, ia dikira tambahan pukulan yang menyebabkan mata kemenangan berkurang.
Lebar bagi kotak permainan antara 3 hingga 6 meter manakala luas bagi lengkungan kawasan gate pula kira-kira 5 meter.
“Cabaran bagi pemain adalah memastikan mereka bermain dalam kotak permainan yang disediakan. Jika tersasar, mereka boleh dikenakan penalti tambah satu pukulan.
“Satu permainan lengkap 24 fairway atau laluan padang mengambil masa antara 90 minit hingga 2 jam mengikut kondisi strategi pemain.

WOODBALL tidak memerlukan padang yang luas untuk dimainkan.


“Dalam satu kejohanan, ia boleh disertai secara individu, beregu atau berkumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada enam orang pemain,” terang Abu Hassan
Woodball sebenarnya bukan terlalu asing dalam arena sukan negara kerana ia pernah tersenarai sebagai salah satu acara di Sukan Malaysia 2011. Namun, entah apa silapnya, ia tidak menjadi pilihan rekreasi kepada masyarakat setempat.
Dibawa ke Malaysia pada tahun 1995, tapak woodball pertama dibina di Taman OUG, Kuala Lumpur di atas inisiatif Thomas Kok. Beliau merupakan individu penting memperkenalkan woodball ke tanah air.
Bermula dari detik itu, Persatuan Woodball Malaysia ditubuhkan dan didaftarkan secara sah sebagai satu organisasi pada tahun 1999.
Sehingga kini, terdapat lebih 10 tapak woodball dibina di seluruh Malaysia. Antaranya termasuklah di Padang Woodball Lanjut, Pahang, Padang Woodball Kangar, Perlis dan Laman Woodball SM Bistari, Johor.
Malah, Atlet woodball negara, Siow Chong Wah pernah diletakkan sebagai pemain nombor satu dalam rangking dunia. Begitu juga dengan pemain muda tempatan seperti Shauqi yang menunjukkan rekod cemerlang dalam penyertaan di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Shauqi berada di kedudukan kelima terbaik dalam Kejohanan World Cup di Sanya, Taiwan manakala rakan sepasukannya, Kavinessh Kathivesaru, 19, mendapat tempat ketiga terbaik beregu keseluruhan.
Riadah
Bagi Kavinesh, sukan woodball boleh dimajukan sebagai salah satu cabang riadah kepada seluruh masyarakat kerana ia mudah dan senang untuk dipraktikkan.
“Harapan saya supaya ia boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat kerana masih ramai lagi yang belum mengetahui cara permainan woodball,” ujar pelajar Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) itu.
Dalam pertandingan WUWC 2014 yang diadakan pada Oktober lalu, pasukan Malaysia berada di kedudukan keempat secara keseluruhan.
Seramai enam orang pelajar daripada institut pengajian tinggi seluruh negara dipilih untuk membawa misi negara dalam WUWC.
Keputusan itu dianggap memberangsangkan apabila membawa pulang tiga pingat iaitu satu perak yang diraih oleh Ria Natasya Zulkifli, 22, manakala dua gangsa diberikan oleh pasukan berkumpulan lelaki dan perempuan.
“Secara keseluruhan saya ber­puas hati dengan pencapaian mereka kerana pasukan universiti negara baru ditubuhkan tahun lalu. “Jika diban­dingkan dengan pasukan luar, mereka sudah menguasai permainan ini lebih awal,” ujar Hazril.
Dia percaya, dengan latihan konsisten dan jitu, pasukan negara boleh meraih emas dalam penganjuran kejohanan itu pada tahun 2016 di Taipei.
Dalam perkembangan lain, Hazril memberitahu, sukan Woodball akan membuat kemunculan pertama kali di Sukan Sea 2017 yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Ia merupakan perkhabaran yang baik kerana sukan woodball berjaya diletakkan sebagai satu acara dalam satu kejohanan besar,” kata Hazril.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: