Monday, December 1, 2014

Ikan masin cetus kanser nasofarinks

KANDUNGAN zat nitrosamin yang terdapat dalam makanan seperti ikan, telur dan sayur masin mampu mengaktifkan virus Ebstein Barr sehingga menimbulkan masalah pada bahagian nasofarinks.


Pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan, telur atau sayur masin secara terus-menerus dalam jumlah yang banyak dan dalam jangka masa panjang boleh memberi risiko berlakunya kanser nasofarinks atau nasopharyngeal carcinoma.
Ini disebabkan kandungan zat nitrosamin yang terdapat dalam makanan tersebut mampu mengaktifkan virus Ebstein Barr sehingga menimbulkan masalah pada bahagian nasofarinks.
Nasofarinks merupakan kawasan yang terletak pada bahagian belakang rongga hidung. Gejala berdengkur, sakit tekak, jangkitan pada telinga atau kurang pendengaran yang berlaku pada salah satu bahagian telinga merupakan masalah yang sering terjadi di bahagian nasofarinks.
Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Irfan Mohamad, kanser nasofarinks merupakan antara kanser tertinggi dicatatkan di negara-negara Asia termasuk Malaysia.
“Dilaporkan seorang dalam 100,000 orang penduduk di seluruh dunia menghidap ketumbuhan tersembunyi ini. Penyakit ini lebih banyak berlaku di negara China dan negara-negara sekitarnya yang mempunyai peratusan penduduk berbangsa Cina yang tinggi.
“Malah, di sesetengah kawasan, ia boleh mencecah angka 30 hingga 50 orang dalam 100,000 orang penduduk yang dilaporkan menghidap penyakit ini,” katanya sambil memberitahu, bengkak pada bahagian leher merupakan tanda yang sering dijumpai bagi penyakit itu selain masalah penglihatan berganda atau diplopia.
Negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura pula dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai risiko dalam kadar pertengahan. Walaupun risikonya lebih rendah berbanding China, tetapi nisbahnya tidak serendah seperti di negara-negara Barat kerana ia masih mencatat angka sedikit iaitu sekitar lima atau enam orang dalam 100,000 orang penduduk.
Tambahnya, selain faktor bangsa, kanser nasofarinks juga lebih banyak dikesan dalam kalangan lelaki dan dari segi umur, kadar itu meningkat selepas berusia 30 tahun dan kemuncaknya pada lingkungan usia 40 hingga 49 tahun.
Asap rokok
“Dalam kalangan warga emas, penyakit kanser nasofarinks baharu jarang dijumpai. Struktur di dalam nasofarinks yang dikaitkan dengan kanser jenis ini ialah lekuk yang dinamakan Fossa of Rosenmuller (FOR). FOR ini terdapat di kanan dan kiri nasofarinks, malah ia merupakan kawasan tercetusnya kanser ini.
“Virus yang dikaitkan dengan kanser ini, iaitu virus Ebstein Barr dikatakan mudah menjangkiti kawasan tersebut yang mempunyai reseptor untuk mengubah struktur sel dan mengakibatkan terjadinya kanser di kawasan tersebut.
“Asap rokok yang disedut juga dikenal pasti menjadi punca tercetusnya penyakit ini. Gejala kanser nasofarinks ini boleh berlaku kepada beberapa bahagian seperti leher, telinga, hidung, tekak, mata dan saraf,” ujarnya.
Tambah Irfan, gejala-gejala itu disebabkan oleh struktur dalam nasofarinks itu sendiri yang terletak di bahagian belakang hidung dan ia boleh merebak ke kawasan sekitar seperti mata, otak, hidung dan tekak selain leher, tulang, hati serta paru-paru.

ANAK panah berwarna merah menunjukkan bengkak pada bahagian leher yang menjadi petanda kanser nasofarinks.


Radioterapi
“Sekiranya mempunyai tanda-tanda seperti di atas, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan pengesahan selanjutnya. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal yang lengkap terutamanya endoskopi pada bahagian hidung untuk melihat kawasan nasofarinks yang tersembunyi ini.
“Jika terdapat perkara yang mencurigakan, biopsi untuk mengambil sampel tisu di bahagian FOR akan dilakukan. Ia akan dibuat dengan kaedah bius yang efektif dan mudah,” katanya sambil memberitahu, majoriti kanser nasofarinks akan dirawat menggunakan kaedah radioterapi dan ia amat berkesan dalam kebanyakan kes.
Selain itu, ujian radiologi seperti pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) akan dilakukan bagi membantu mengesahkan tiada penglibatan struktur yang tidak dapat dicerap dengan mata kasar atau endoskop.
Ujarnya, walaupun kanser tersebut pada mata kasarnya kelihatan besar, namun selepas rawatan radioterapi dilakukan, ia akan hilang.
“Pesakit masih perlu datang ke klinik untuk rawatan susulan bagi memastikan kanser tersebut tidak hadir semula. Bagi sesetangah pesakit yang kansernya berada pada tahap yang lebih tinggi, tambahan sesi kemoterapi akan diberikan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: