Monday, December 1, 2014

Darah muda makan diri


LUMBA haram merupakan antara kegiatan yang sering dilakukan Syafik apabila berkumpul bersama rakan.


UMURNYA baru sahaja 15 tahun, namun siapa sangka remaja lelaki ini pernah terlibat dengan kegiatan tidak bermoral iaitu lumba haram dan pecah masuk rumah.
Disebabkan itu, kedua-dua ibu bapanya nekad menghantar Syafik ke Rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid).
“Saya sendiri tidak pasti mengapa saya boleh jadi sebegini.
“Mungkin disebabkan tertekan kerana ayah berkahwin lain selepas kematian ibu atau mungkin juga disebabkan pengaruh daripada rakan sebaya,” ujarnya memulakan bicara.
Mengimbau kembali zaman silamnya itu, Syafik yang telah dua tahun menjalani sesi pemulihan di rumah tersebut mengakui, dia dahulu merupakan seorang anak yang baik dan kerap menduduki tempat pertama di dalam kelas.
Namun, semua itu hanya tinggal kenangan selepas dia mula melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah dan ditambah pula dengan kematian ibunya beberapa bulan sebelum musim persekolahan bermula.
“Saya rasa sangat bangga dan berkuasa apabila mula melangkah ke sekolah dengan memakai seluar berwarna hijau.
“Minggu pertama sekolah sahaja saya sudah mula bercampur dengan pelajar-pelajar menengah atasan yang memang saya ketahui mempunyai masalah disiplin,” jelasnya.
Jelas Syafik, pada mulanya dia sering menjadi mangsa buli kelompok pelajar tersebut. Bagaimanapun, lama-kelamaan, keakraban mula terbit dan Syafik mula mengikut segala aktiviti yang dilakukan oleh rakan-rakan baharunya itu.
“Saya mula ponteng sekolah dan melepak di sekitar pusat beli-belah sehingga petang.
“Bukan itu sahaja, saya juga sudah pandai menipu ayah. Apabila ditanya ke mana saya pergi sehingga pulang lewat petang, saya hanya mengatakan bahawa saya menghadiri kelas tambahan,” jelasnya.
Kutu malam
Ujar Syafik, kenakalan tersebut bagaimanapun masih terkawal dan dia tidak pernah sekali pun mengikut rakan-rakanya melepak pada malam hari.
Namun, semua itu berubah selepas bapanya berkahwin dengan ibu tirinya yang merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam di Selatan tanah air.
“Saya tidak dapat terima hakikat bapa berkahwin lagi.
“Lebih-lebih lagi apabila melihat perangai ibu tiri saya yang garang dan sering memarahi kami adik-beradik. Disebabkan ingin mengambil perhatian ayah, saya mula berkelakuan liar dan keluar malam,” jelasnya.
Ujar Syafik, apabila melepak bersama rakan, dia dapat menikmati ketenangan yang luar biasa. Tambahan pula kesemua rakannya sering menyokongnya dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Benda buruk, mesti orang sokong. Jika benda baik, rasanya tidak mungkin mereka akan sokong saya seperti itu.
“Jika dahulu saya langsung tidak tahu menunggang motosikal, kini saya bukan sahaja pakar menunggang, malah sering melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram,” jelasnya.
Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral tersebut akhirnya berjaya dihidu oleh bapanya. Disebabkan itu, Syafik dikurung di rumah dan setiap gerak-geri dipantau oleh bapanya.
Berang dengan kawalan ketat terhadapnya, Syafiq nekad melarikan diri dari rumah.
“Saya tinggal di rumah kawan. Kebetulan kawan saya itu merupakan anak tunggal dan ibunya tidak kisah saya menumpang di situ.
“Saya rasa bebas di sana kerana segala aktiviti saya tidak lagi dipantau dan saya juga boleh keluar masuk rumah tersebut sesuka hati tanpa mengira waktu,” jelasnya.

SYAFIK mengakui mula terjebak dalam kancah hitam disebabkan pengaruh rakan sebaya.


Lari
Hampir dua minggu menumpang di rumah rakan, wang saku milik Syafik mula menipis. Oleh kerana terdesak, Syafik nekad memecah masuk rumah bapanya sendiri untuk mendapatkan sejumlah wang yang diperlukan.
“Jika saya minta daripada bapa pasti dia akan tahu di mana saya berada dan akhirnya mengurung saya di dalam rumah.
“Disebabkan itu saya terpaksa pecah masuk rumah sendiri dan mencuri wang yang ada di dalam dompet ayah dan ibu,” jelasnya.
Bagaimanapun, wang RM500 yang dicurinya itu hanya dapat menampung kos perbelanjaannya selama dua minggu sahaja.
Syafik kemudian mengulangi perbuatan pecah masuk ke dalam rumah tersebut buat kali kedua.
“Mungkin mereka sudah serik dengan kejadian terdahulu. Lalu mereka menyimpan kesemua wang mereka di tempat yang sukar ditemui.
“Disebabkan terlalu terdesak inginkan wang, saya terpaksa mencuri komputer riba milik ibu tiri saya,” jelasnya.
Tambah Syafik, hasil jualan semula komputer riba tersebut, dia memperoleh keuntungan sekitar RM1,000.
Namun, benar kata orang, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Insaf
Kegiatan tidak bermoral Syafik akhirnya terbongkar selepas salah seorang daripada rakannya memberitahu perkara tersebut kepada kedua-dua ibu bapanya.
“Ayah begitu marah dengan tindakan saya.
“Keluarga mencari saya di rumah rakan dan membawa saya ke rumah Perkid ini,” jelasnya.
Ujar Syafik, darah muda yang mengalir dalam dirinya membuatkan dia memberontak. Tidak sampai dua bulan di rumah tersebut, Syafik mengambil keputusan untuk meloloskan diri dan kembali ke kancah gelap.
“Oleh kerana terlalu muda untuk bekerja, saya hanya mengambil upah RM40 sehari dengan bekerja di sebuah gerai makan.
“Walaupun majikan menyediakan rumah, namun gaji yang kecil dan penat yang berganda itu membuatkan saya mula sedar dan mengambil keputusan untuk kembali semula ke rumah tersebut,” jelasnya.
Ujar Syafik, mungkin suasana rumah tersebut membuatkan dia insaf dan mula menanam azam untuk berubah menjadi seorang insan yang lebih baik.
“Kini saya telah pulih sepenuhnya dan berazam untuk memperbaiki hubungan saya dengan keluarga.
“Nasihat saya kepada remaja-remaja di luar sana, jangan mudah terpengaruh dengan rakan kerana ia hanya merugikan diri anda sendiri,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: