Monday, December 1, 2014

20 tahun merajuk gagal ujian memandu


  • Makcik Yah ketika sedang mendaftarkan dirinya sebagai peserta kelas memandu bagi mendapatkan lesen motosikal di hadapan kaunter bergerak JPJ di Kampung Gong Baru.Makcik Yah ketika sedang mendaftarkan dirinya sebagai peserta kelas memandu bagi mendapatkan lesen motosikal di hadapan kaunter bergerak JPJ di Kampung Gong Baru.

KUALA TERENGGANU – Usia bukan penghalang bagi seorang warga emas berusia 58 tahun memenuhi keinginan memiliki lesen motosikal pertamanya biarpun dihalang anak-anak.

Juriah Salleh yang juga dikenali sebagai Makcik Yah dari Kampung Gong Baru, berkata, 20 tahun dahulu, dia pernah menjalani ujian bagi mendapatkan lesen motosikal tetapi gagal dan sejak itu, dia merajuk sehinggalah sekarang baru tergerak hati untuk melakukan ujian semula.

“Makcik Yah pernah buat lesen dekat Kelantan, tetapi masa itu tidak lulus. Lepas kejadian itu makcik Yah tak pernah ada lesen. Walaupun tanpa lesen, makcik pernah bawa motosikal dari rumah (Gong Baru) ke Kemaman dan juga Kota Bharu, Kelantan.

“Sejak muda memang tak ada lesen dan dalam masa sama lebih empat kali makcik Yah kena tahan ketika sekatan jalan raya.

“Sekarang baru nak buat, sekurang-kurangnya dapat lesen L pun sudah cukup,” katanya ketika mendaftar kelas memandu di kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Gong Baru, di sini.

Menurut cerita makcik Yah lagi, dia pernah terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa ibunya, Mek Embong Mat Diah ketika sedang menunggang motosikal dari Chendering ke rumahnya lapan tahun lalu.

“Makcik Yah ambil emak dari rumah adik di Chendering tetapi masa dalam perjalanan balik, kami dilanggar sebuah motosikal lain menyebabkan emak meninggal kerana mengalami gegaran otak.

“Walaupun trauma dengan kejadian itu, makcik Yah tetap juga terpaksa bawa motosikal untuk beli barang-barang runcit kerana berniaga kecil-kecilan di rumah,” ceritanya.

Susulan itu juga, dia melihat penting untuknya memiliki lesen atas faktor keselamatan terutama ketika berada di atas jalan raya.

Sehubungan itu, makcik Yah memuji JPJ yang sanggup turun padang dan masuk kampung dengan menyediakan kaunter bergerak bagi sebarang urusan kerana memberi kelebihan kepada insan sepertinya yang amat memerlukan lesen motosikal.

“Baguslah mereka (JPJ) datang ke sini (kampung) kerana kalau nak harapkan orang kampung pergi ke pejabat (JPJ) payah sikit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: