Monday, December 1, 2014

Nurul Arina enggan susahkan bapa


  • Nurul Arina menunjukkan anugerah yang diperolehnyaNurul Arina menunjukkan anugerah yang diperolehnya

KUALA NERUS – Seorang anak nelayan, Nurul Arina Raihan Che Azmi, membuktikan kesempitan hidup bukanlah halangan untuk berjaya apabila dia dinobat sebagai penerima dua anugerah tertinggi sempena Majlis Konvokesyen Ke-12 Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Anak kepada pasangan Che Azmi Yunus, 54, dan Che Aini Omar, 50, itu dipilih menerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan juga Anugerah Naib Canselor Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Ekonomi (PPPSE) di atas kecemerlangan dalam program Sarjana Muda Kaunseling.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan, sebaliknya juga turut aktif dalam lapangan sukan termasuk mewakili universiti dalam acara futsal dalam pelbagai pertandingan di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

Berkongsi detik kejayaan manis itu, Nurul Arina berkata, untuk berada di tahap sekarang, pelbagai laluan berliku dan kesusahan yang terpaksa diharunginya memandangkan dia bukan daripada keluarga berada.

“Sebelum ini saya terlebih dahulu mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (Unisza) dalam jurusan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan selepas itu saya bekerja selama setahun untuk mengumpul duit bagi meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.

“Sebagai anak nelayan yang bergantung sepenuhnya pada rezeki di laut, seboleh mungkin saya tidak ingin menyusahkan ayah kerana saya tahu, bukan senang untuk mencari duit, jadi sebaik tamat diploma saya mengambil keputusan untuk bekerja.

“Selama setahun saya bekerja sambilan dalam pelbagai bidang semata-mata ingin mengumpul duit untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya dan dalam masa yang sama saya ingin membantu meringankan beban ayah,” katanya yang turut menerima anugerah dekan bagi setiap semester sepanjang mengikuti pengajian di UMT.

Menurut Nurul Arina yang tinggal di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, kejayaan yang dicapai itu hasil daripada sokongan dan dorongan ibu bapa, selain dirinya sendiri bertekad untuk mengubah nasib keluarga dengan menimba ilmu sebanyak mungkin.

“Alhamdulillah, hasrat saya untuk menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang akhirnya tercapai dan semua ini adalah hadiah saya buat ibu dan ayah yang telah banyak berkorban untuk membesarkan kami adik beradik dalam hidup serba kekurangan.

“Justeru, saya berharap selepas ini saya mampu memberikan kehidupan lebih selesa kepada keluarga dan kejayaan ini akan terus menjadi pembakar semangat buat saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya yang turut berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (Phd).

Seorang lagi pelajar cemerlang, Dr Ahmad Salihin Samsudin, 27, dari Melaka muncul penerima anugerah Pro-Canselor di atas kecemerlangannya dalam program PHD dalam jurusan Fizik.
Ahmad Salihin, anak keempat daripada lima beradik juga berjaya menulis lebih 20 artikel serta turut dianugerahkan penyelidik muda dan telah dijemput untuk membentangkan penyelidikannya di dalam Confrence Solid State Ionic ke-19 di Kyoto Japan.

Sementara itu, seramai 2,142 graduan  menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang masing-masing sempena konvokesyen berkenaan.
Pada majlis itu juga, UMT turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Doktor Sains kepada Terry Hughes di atas sumbangan beliau khususnya dalam bidang Biologi Marin.

Upacara penganugerahan disempurnakan Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo serta pegawai kanan yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: