Saturday, April 19, 2014

Itu agenda jatuhkan saya - Jep Sepahtu

FIGURA lawak ini juga turut menceburkan diri dalam bidang pengacaraan.


SEJAK kebelakangan ini, terdapat pelbagai kontroversi yang menyelubungi karier pelawak yang sedang meningkat naik di negara ini, Jep Sepahtu (Jep).
Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin sendiri turut melahirkan kegusarannya mengenai perkara itu yang disebarkan tanpa henti melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), internet dan sebagainya.
Antara gosip panas yang sering dikaitkan mengenai dirinya ketika ini ialah perang dingin dengan pelawak Sharol Shiro, gosip pertunangan dengan seorang gadis senegeri dengannya di Johor serta kes memaki hamun peminat dalam satu acara hiburan di Bukit Jalil baru-baru ini.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Jep ketika ditemui selepas membuat persembahan sesi Jelajah Komedi Sinar FM di Village Mall, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah perasaan Jep apabila berpeluang menghiburkan peminat bersama beberapa pelawak lain di Sungai Petani, Kedah dalam program ini?
JEP: Perasaan saya begitu gembira sekali kerana dapat bertemu dengan peminat dan saya amat terharu dengan sambutan diberikan.
Lagi pun, bukan mudah untuk berjumpa dengan peminat di kawasan Utara, saya lihat penonton begitu ceria sekali dan mereka sanggup menunggu hingga persembahan selesai.

Antara kerjaya pelawak dan pengacara, mana yang paling anda minati?
Kerjaya saya masih dalam bidang lawak. Ia tidak dapat dipisahkan walaupun kadangkala saya diundang menjadi pengacara dalam persembahan tertentu.
Bidang pengacaraan juga baik tetapi saya tetap teruskan bidang yang asal. Ini hala tuju saya pada masa hadapan.
Apakah komen Jep tentang konsep persembahan lawak pada hari ini?
Persembahan lawak sentiasa berubah. Ia berbeza dengan persembahan sebelum ini. Apabila kita dapat menyesuaikan diri, keadaan pasti menjadi bertambah meriah, mengeluarkan bahasa lucah (double meaning) pun boleh menjadi menarik jika kena gayanya.

Pernahkah anda di 'boo' atau dikutuk peminat-peminat yang tidak berpuas hati dengan lawak yang dipersembahkan?
Sehingga kini, saya belum pernah mengalami situasi sedemikian dan harap-harap ia tidak berlaku pada masa hadapan.
Saya bersyukur, kerana dalam setiap persembahan yang disertai di seluruh negara saya sentiasa mendapat sokongan padu peminat.
Lagi pun, pelawak-pelawak di negara ini tidaklah keterlaluan atau gemar memainkan isu-isu kontroversi yang boleh mengguris hati peminat.
Sebelum ini ada pihak-pihak tertentu mendakwa anda tidak sehaluan dengan Sharol Shiro?
Ini juga sebahagian dari fitnah dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk memburukkan diri saya. Perkara ini tentu menjadi bertambah buruk jika kita sendiri ambil serius. Sesungguhnya, tidak ada sebab, artis lawak perlu gaduh dengan artis lawak, banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan.

Anda juga dikatakan pernah memaki peminat semasa membuat persembahan di Bukit Jalil baru-baru ini?
Saya sendiri hairan, bagaimana kes seperti ini boleh timbul. Bagi saya, ini satu lagi kes fitnah yang sengaja direka-reka oleh pihak tertentu.
Saya amat menghargai peminat-peminat dan tanpa mereka tidak mungkin saya berada di sini, justeru, tidak mungkin saya akan bertindak sedemikian.
Sebolehnya, pihak-pihak berkenaan janganlah aibkan saya dalam isu-isu begini, jika mereka tidak puas hati jumpa saya sendiri dan jangan hantar SMS untuk memburukkan imej saya.
Saya masih ada maruah dan keluarga. Lagi pun, sejak melibatkan diri dalam industri ini saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan sentiasa berkawan dengan semua orang.
Ramai artis-artis lain mengenali saya sebelum ini dan tahu bagaimana saya menilai erti persahabatan.
Anda juga dikatakan pernah bertunang seorang gadis yang berasal dari Johor?
Gosip yang tersebar ini juga amat memeningkan, kerana orang luar lebih tahu berbanding diri saya sebagai empunya badan.
Lagi pun, saya masih ada keluarga, apabila ia melibatkan pasangan hidup saya, pastinya mereka akan lebih tahu mengenainya.
Tidak mungkin saya akan membelakangkan mereka. Saya percaya kepada putaran hidup, kalau boleh dalam perkara memilih isteri, biar mendapat restu dari keluarga sendiri, tidak payah melawan arus.
Soal kahwin pula, saya berserah segalanya kepada Allah untuk menentukan siapa jodoh saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: