• Timba ilmu sebelum kahwin Peserta menunjukkan sijil diperoleh mereka selepas Majlis Penutup Kursus Pra-Perkahwinan di Dewan LKPI, semalam.
TELUK KETAPANG – Pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga perlu sentiasa menambah pengetahuan dengan mengikuti kursus kekeluargaan bagi memastikan mereka lebih memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing sebaik berkahwin nanti.

Ini kerana, kebanyakan pasangan hanya tertumpu pada kursus perkahwinan yang menjadi syarat wajib untuk mendirikan rumah tangga, tanpa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan secara lebih meluas.

Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pengetahuan lebih mendalam mengenai kehidupan berumah tangga akan menjadikan seseorang itu lebih matang untuk menguruskan keluarga.

“Usaha untuk menambah pengetahuan dalam ilmu rumah tangga perlu diberi perhatian serius kerana kita bimbang, jika ilmu yang ada terlalu sedikit atau terhad, ia akan menjadi penyumbang kepada kes penceraian.

“Jadi, saya harap pasangan muda mengambil peluang sebaiknya untuk menambah ilmu sama ada sebelum atau selepas berkahwin supaya ilmu diperoleh itu nanti memberi manfaat bagi mewujudkan keluarga yang harmoni dan bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pra-Perkahwinan anjuran KRT Bukit Tok Beng dengan kerjasama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Cawangan Kuala Nerus serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Dewan LKPI, di sini, semalam.

Kata Ahmad Razif lagi, kerajaan melalui pelbagai agensi antaranya Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Maidam dan sebagainya sering menganjurkan program kekeluargaan untuk memberi lebih kefahaman mengenai usaha membentuk keluarga bahagia.

Sementara itu, seramai 183 peserta terdiri daripada belia berjaya memperoleh sijil masing-masing sebaik selesai menjalani kursus yang diadakan secara tahunan tersebut.