|
BENAR kata bidalan, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Disulam pula dengan daya iltizam yang tinggi, sudah pasti membuatkan apa yang ingin dikecapi menjadi realiti.
Begitu juga dengan apa yang dilalui oleh pelakon, Niezam Zaidi. Impian untuk menguak pintu seni lakonan tidak pernah padam dalam diri anak kelahiran Ipoh, Perak itu.
Buktinya, sejak berhijrah ke ibu kota pada tahun 2009, anak ketiga daripada empat beradik itu kerap mencuba nasib menghadiri uji bakat untuk menjadi seorang pelakon.
"Saya memang minat nak jadi pelakon sejak zaman sekolah lagi. Jadi, apabila saya datang ke Kuala Lumpur, saya banyak pergi mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat.
"Biarpun ketika itu rezeki masih belum berpihak kepada saya, tapi saya tetap teruskan mencuba," tuturnya yang pernah berkerja sebagai juruwang di salah sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Nyata, usaha anak muda yang kini menginjak usia 22 tahun itu tidak sia-sia, apabila dia kemudian mendapat tawaran untuk mengikuti kursus lakonan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) selama lapan minggu.
Bermula daripada situ, peluang si empunya nama sebenar Muhamad Niezam Mohd. Zaidi itu untuk melangkah masuk dalam industri hiburan semakin terbuka.
"Sewaktu saya masih dalam kursus lagi, saya ditawarkan untuk berlakon dalam video klip lagu berjudul Pedoman nyanyian Nora," ceritanya yang kemudian ditawarkan untuk menjadi artis di bawah MIG Production selepas tamat kursus.
Apa yang pasti, bakat yang ada pada anak muda itu terbukti apabila dia diberi peranan memegang watak utama dalam filem Budak Pailang arahan Hashim Rejab.
Bertitik tolak dari situ, sayap yang cuba dilebarkan Niezam semakin meluas apabila kini portfolionya sudah tertulis kemas hasil kerjanya sama ada menerusi drama mahupun filem.
Bagi Niezam sendiri, dia mengakui tempoh tiga tahun bertapak dalam dunia lakonan masih banyak yang perlu dipelajarinya.
"Saya masih lagi baharu dalam lakonan. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar.
"Setakat ini, saya bersyukur apabila banyak diberi tunjuk ajar oleh pelakon-pelakon yang jauh lebih berpengalaman untuk membawakan sesuatu watak itu," ujar pelakon yang pernah membintangi filem Longkai itu.
Kongsi Niezam, selain berlakon, dia juga suka mempelajari selok-belok kerja di belakang tabir sewaktu berada di lokasi penggambaran.
"Apabila di set penggambaran saya suka belajar mengenai kamera, pencahayaan dan kerja-kerja teknikal di belakang tabir daripada krew produksi.
"Saya memang minat untuk belajar dan ambil tahu cara bagaimana untuk mengendalikan sesuatu penggambaran," tutur pelakon filem Highland Tower itu.
Menyentuh mengenai wataknya dalam lakonan, Niezam memberitahu dia sering diberikan peranan membawakan watak antagonis.
"Kalau melihat pada lakonan saya, saya banyak bawa watak-watak ganas yang banyak melibatkan babak-babak bergaduh dan pukul," katanya.
Sungguh pun begitu, ujar Niezam dia mengakui selesa dan suka untuk menjayakan karakter sedemikian.
"Saya memang suka kalau disuruh bawa babak-babak bergaduh, mungkin watak seperti itu bersesuaian dengan diri saya berbanding watak romantik," katanya yang mengagumi lakonan pelakon Sofi Jikan.
Biarpun begitu, pelakon drama Dewi Lasak itu memberitahu dia sebenarnya mengimpikan untuk membawakan watak seorang lelaki cacat.
"Saya sebenarnya teringin sangat nak melakonkan watak lelaki cacat. Ini kerana, bagi saya, ia merupakan satu watak yang mencabar apabila perlu menjadi dan menjiwai jiwa seseorang yang fizikalnya tidak sama seperti insan normal," katanya menutup bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: