PADA bulan Februari lalu, kecoh seketika berhubung kontroversi yang membabitkan pelakon drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta iaitu Sharnaaz Ahmad dan Lisdawati ketika menjalani penggambaran.
Lisdawati yang juga isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, telah diherdik oleh Sharnaaz ketika penggambaran berlangsung sehingga dia dan suami terpaksa membuat laporan polis.
Berdasarkan laporan tersebut, Sharnaaz pula mendakwa, Fauzi telah menghina ibu bapanya dan telah memberi peringatan kepada pasangan suami isteri itu untuk menyaman mereka.
Berkesempatan bertemu dengan Fauzi sewaktu majlis pratonton filem Sang Pemberani di Cathay Cineplex, Petaling Jaya, Selangor semalam, dia ditanya mengenai perkembangan kontroversi tersebut.
Ini kerana Sharnaaz yang ditemui media pada majlis tayangan episod akhir drama rantaian tersebut awal minggu ini menyatakan, mahu menyelesaikan kontroversi tersebut segera dan melupakan apa yang telah terjadi.
Kosmo!: Bagaimanakah dengan perkembangan kes yang berlaku antara Fauzi dan Sharnaaz sekarang ini?
FAUZI: Sebelum saya pergi menunaikan ibadah umrah bulan lalu, Sharnaaz ada mengatakan yang dia ingin menyaman saya. Setelah saya kembali ke Malaysia, saya masih belum menerima sebarang surat saman atau dihubungi oleh peguamnya. Kalau ditanya tentang perasaan saya, sudah tentu kontroversi ini sesuatu yang sangat mengecewakan. Sepanjang 17 tahun bergelar anak seni, belum ada kes lagi seorang pelakon lelaki yang mengherdik wanita hamil.
Apakah tujuan anda membuat laporan polis setelah kontroversi tersebut timbul?
Pertama sekali, ia sebagai tindakan untuk melindungi isteri saya yang sedang sarat mengandung, bukan semata-mata mahu mengejar publisiti. Setelah laporan dibuat, saya terus bawa isteri ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan memastikan kandungan isteri saya tidak ada apa-apa. Mengenai tuduhan yang mengatakan saya menghina ibu bapa dia itu sudah tentu tidak benar sama sekali. Kalau dia mengaku ada mempunyai bukti, tunjukkan sahaja bukti tersebut.
|
Sharnaaz baru-baru ini sudah membuat permohonan maaf atas masalah yang telah berlaku. Kalau boleh dia kata tidak mahu meninggal dunia dengan mata tidak tertutup rapat kerana kontroversi ini belum selesai. Bolehkah anda komen mengenai perkara tersebut?
Kenapa baru sekarang dia membuat kenyataan untuk meminta maaf pula, sedangkan ia sepatutnya diselesaikan sejak awal lagi? Apabila sudah menjadi kecoh, baru dia ingin memohon maaf pula. Sekarang saya masih mahu bersemuka dengannya untuk menyelesaikan masalah ini. Sebelum ini dia pernah berkata mahu berjumpa selepas isteri saya bersalin, tetapi saya rasa itu tidak perlu (tunggu sehingga lepas bersalin) kerana saya dan isteri bersedia pada bila-bila masa sahaja.
Adakah anda akan memberi kebenaran untuk isteri berlakon dalam sesebuah penerbitan sekiranya ia turut membabitkan Sharnaaz?
Sebenarnya saya tidak ada masalah memberi keizinan kepada isteri untuk dia berlakon dengan sesiapa sahaja, termasuk Sharnaaz. Cuma saya mahu masalah dengan Sharnaaz ini perlu diselesaikan terlebih dulu dan kami mahu bersemuka dengannya. Dalam industri hiburan kita yang tidak terlalu besar ini, rasanya kurang sesuai pula kalau saya mahu menghalang isteri. Lagipun saya percaya isteri dapat menjaga dirinya dengan baik.
Apakah perkembangan kerjaya anda sekarang ini?
Ketika ini saya sedang menjalani penggambaran dua buah drama bersiri iaitu Fajar Aiman terbitan Suhan Movies dan Kudus yang diterbitkan oleh A. Aida Production yang akan disiarkan di TV3. Filem pertama arahan saya berjudul Pak Pung pula berkemungkinan besar akan ditayangkan pada tahun ini. Selain itu, saya turut terbabit dengan syarikat MAFIcomm Resources Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem di Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: