Friday, April 25, 2014

Cinta Sharnaaz, Nelydia berakhir




CERITA cinta antara Sharnaaz Ahmad yang memegang watak Jebat dan Nelydia Senrose yang memegang watak Mastura dalam drama bersiri 60 episod Bukan Kerana Aku Tak Cinta telah berakhir pada malam Selasa lalu.
Meraih jumlah penonton yang tinggi melebihi angka 600,000 penonton, kedua-dua pelakon itu mampu tersenyum lebar dan menelan segala kontroversi yang melanda mereka berdua sepanjang penggambaran drama yang mula ditayangkan pada 9 Disember tahun lalu di saluran Mustika HD.
Sharnaaz yang sempat menimbulkan kontroversi apabila memuat naik gambar mesranya bersama Nelydia di laman Instagram sehingga menimbulkan api cemburu kekasih Nelydia, Qi Razali mengakui tidak ada masalah andai mereka berdua digandingkan sekali lagi dalam projek seterusnya.
Selain itu dia juga ingin menamatkan persengketaan antara dia dengan salah seorang pelakon drama tersebut, Lisdawati. Sementelah mereka bergaduh kerana hal yang remeh pada hari terakhir penggambaran drama tersebut.
Nelydia pula enggan mengambil pusing soal kontroversi dia dikatakan sedang bercinta dengan Sharnaaz dan memberitahu hanya menjalankan tugasnya sebagai pelakon untuk menjayakan drama terbitan Pena Creative Sdn. Bhd. milik penerbit terkenal, Ziela Jalil.
Sharnaaz adalah Jebat
Bertemu dengan Sharnaaz pada majlis tayangan episod terakhir drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di pusat membeli-belah Encorp Strand di Kota Damansara, Selangor pada Selasa lalu, pelbagai perasaan jelas kelihatan pada wajahnya.
Gembira dan teruja kerana drama tersebut mendapat sambutan hangat penonton serta lega kerana selepas ini dia bebas daripada segala kontroversi yang timbul sepanjang penggambaran drama yang diadaptasi daripada novel itu.
Bagaimanapun, katanya, dia bukan sengaja mencipta kontroversi untuk menarik perhatian penonton dengan memuat naik gambar mesranya bersama Nelydia, tetapi perkara tersebut dilakukan untuk mempromosikan drama lakonan mereka.
"Beginilah, ini penjelasan tentang saya dan Nelydia. Saya ambil duit orang, jadi saya harus buat kerja. Sudah menjadi tugas saya untuk mempromosikan drama tersebut. Saya berlakon dengan ikhlas dan memberi sepenuh jiwa saya dalam drama ini.
"Hal gambar itu sudah pun selesai. Tidak ada yang perlu diungkitkan lagi. Kami profesional sebagai pelakon dan bagi saya Nelydia seorang pelakon yang bagus," katanya tegas.
SHARNAAZ mengaku watak Jebat di dalam drama ini amat dekat dan sesuai dengan dirinya.


Menjawab kontroversi perbalahannya bersama pelakon Lisdawati yang berlaku pada hari terakhir penggambaran drama tersebut pula, jelas Sharnaaz, jika boleh dia mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin.
Katanya: "Perkara itu berlaku kerana hal yang kecil. Apa yang berlaku biarlah ia berlalu tetapi apa yang patut diselesaikan harus diselesaikan secepat mungkin. Saya tidak mahu nanti jika saya mati, mata saya tidak tertutup rapat kerana hal ini".
Dalam pada itu, Sharnaaz tidak henti mengucapkan rasa syukurnya atas sambutan hangat peminat memandangkan pada awal namanya disebut untuk memegang watak Jebat ada segelintir pihak yang tidak setuju dengan pemilihannya.
"Alhamdulilah, saya bersyukur dengan sambutan yang diberi peminat. Sejujurnya, saya tidak menyangka sambutannya begini hebat dan ramai peminat yang datang untuk menonton episod akhir bersama kami.
"Kerja keras saya berbaloi. Bukan saya yang menjadikan watak ini hebat tetapi kru produksi yang bertungkus lumus siang malam bagi memastikan watak ini berjaya di kaca televisyen.
"Saya amat menghargai pada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Jujur saya katakan saya bimbang andai penonton drama ini tidak konsisten untuk setiap episod tetapi kebimbangan saya meleset apabila jumlah penonton semakin meningkat," ujarnya.
Tutur Sharnaaz lagi, penyumbang kejayaan kepada kecemerlangannya membawa watak Jebat mungkin kerana watak itu cukup dekat dengan dirinya di alam realiti.
"Jebat adalah saya seratus peratus. Ada masa naik angin, keras kepala, suka berlawak dan jujur dalam apa yang dikatakan. Kiranya saya membawa watak lelaki Melayu tulen. Apabila saya botakkan kepala, ramai yang menyoal tindakan saya tetapi itu cara saya untuk membawa watak Jebat dengan cara saya sendiri," ulasnya gembira kerana Jebat diterima ramai.
Enggan tonton lakonan sendiri
Apabila ditanya adakah dia sempat menonton lakonannya sendiri, Sharnaaz hanya tersenyum dan menggelengkan kepala. Selain kekangan masa, akuinya, dia sebenarnya cukup takut untuk melihat lakonannya sendiri.
Jelas lelaki kelahiran Pulau Pinang itu: "Sebenarnya saya cukup sibuk sampai tiada masa untuk tonton televisyen walaupun saya merakam setiap episod drama ini. Ramai yang tidak tahu yang saya cukup takut melihat lakonan sendiri.
"Sebabnya, saya takut tidak berpuas hati dan timbul perasaan kecewa dalam hati saya. Untuk menggelak perkara itu berlaku saya tidak pernah menonton satu episod pun lakonan saya dalam drama ini. Biarlah penonton yang menilai."
NELYDIA mengaku mahu melakonkan babak sebagai wanita hamil kerana belum mempunyai pengalaman sebenar seperti itu.


Qi sokong Nelydia
Tuah mungkin menyebelahi aktres berusia 19 tahun ini. Apa sahaja karya yang dapat di tangannya pasti menjadi fenomena. Namun, serupa dengan Sharnaaz, Nelydia juga terasa tempias kontroversi gambar mesranya bersama Sharnaaz.
Enggan mengambil pusing dan memberitahu cerita itu sudah basi, tegas Nelydia, meskipun pernah berlaku kontroversi disebabkan gambar mesra dia tidak kekok andai digandingkan sekali lagi bersama Sharnaaz.
Walaupun kekasihnya, pelakon dan pengacara, Qi Razali dikatakan sempat cemburu kemesraannya bersama Sharnaaz, tetapi lelaki itu tidak berhak mencorakkan masa depannya.
"Saya belum berkahwin. Jadi, sekarang ini ibu bapa saya yang berhak sepenuhnya terhadap apa yang saya lakukan. Justeru, saya rasa tidak timbul isu sama ada Qi memberi kebenaran kepada saya berlakon dengan Sharnaaz atau pun tidak.
"Semuanya terpulang kepada saya sendiri. Saya berhak sepenuhnya untuk mencorak masa hadapan dan menerima tawaran lakonan. Mengapa saya perlu minta kebenaran orang lain, jika saya rasa selasa saya akan terima tawaran itu," jelasnya panjang lebar.
Sungguhpun begitu, akui Nelydia, kekasihnya itu sentiasa memberi sokongan dan amat memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.
"Saya tidak tahu Qi tonton atau tidak drama lakonan saya ini, tetapi rasanya tidak kerana dia juga sibuk dengan kerjayanya. Walaupun keluar bermacam cerita kurang enak sebelum ini, Qi sentiasa memberi sokongan kepada saya.
"Dia tidak mengawal saya malah amat menghormati setiap keputusan yang saya buat. Setakat ini saya cukup senang bersamanya," katanya.
Bercakap soal masa depannya bersama Qi yang telah mencecah usia 37 tahun, Nelydia menyerahkan semuanya kepada takdir kerana buat masa ini dia tidak merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.
Jelasnya: "Soal tentang bertunang atau kahwin itu berada di luar kawalan saya kerana itu soal jodoh. Tidak semestinya saya bercinta dengan seseorang saya pasti berkahwin dengannya.
"Benar, kami ada berbincang tentang perkahwinan tetapi buat masa ini saya selesa begini. Jika ingin berkahwin haruslah meminta kebenaran ibu saya terlebih dahulu bukannya saya,"
Namun, sebagai wanita, Nelydia tidak menolak andai dia dipertemukan jodoh pada usia yang muda kerana sasarannya untuk menamatkan zaman bujang adalah pada usia 24 atau 25 tahun.
"Saya tahu Qi lebih berusia daripada saya dan dia sangat matang kerana sudah melalui pelbagai pengalaman hidup. Usia hubungan kami pun baru setahun lebih, jadi saya tidak berani cakap yang dia adalah lelaki pilihan untuk berkahwin.
"Kalau dipertemukan jodoh awal saya tidak kisah, saya juga tidak mahu berkahwin dalam usia terlalu lewat. Umur 24 atau 25 itu sedang elok untuk saya berkahwin," katanya tanpa berselindung.
SHARNAAZ dan Nelydia sekali lagi akan berganding di dalam drama rantaian berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.


Malu berlakon adegan romantis
Walaupun berpengalaman dan sudah berlakon dalam beberapa buah drama popular, Nelydia mengakui dia masih berasa kekok dan malu apabila berlakon dalam adegan romantis dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Ujarnya, apabila dia menonton drama tersebut ada beberapa adegan yang dirasakan keterlaluan baginya, namun masih ada batas sesuai dengan adat dan budaya masyarakat Malaysia.
Ujarnya: "Ada juga beberapa adegan yang agak keterlaluan dan malu untuk saya lakonkan. Antaranya adegan saya sedang hamil sambil mengusap-usap perut. Adegan itu bagi saya paling sukar kerana saya tidak pernah mempunyai pengalaman hamil jadi adegan itu agak pelik untuk saya.
"Lama juga masa yang saya ambil untuk selesaikan adegan itu. Mana tidaknya baru mula dialog saya sudah ketawa. Selain itu babak romantis saya bersama Sharnaaz juga yang membuat saya sangat segan untuk berlakon."
Meskipun memberi lakonan yang terbaik dalam drama itu, Nelydia mengakui dia masih bimbang dengan penerimaan penonton terutamanya pembaca setia novel tersebut.
Dia memberitahu membaca novel tersebut sebelum penggambaran bermula dan telah memasukkan sebanyak mungkin input di dalam watak yang dimainkan. Bagaimanapun, akuinya dia masih bimbang adakah lakonannya sebaik imaginasi pembaca novel itu?
"Sebenarnya, saya takut terlebih gedik atau mengada-ngada kerana watak Mastura memang begitu. Bagaimanapun, selepas melihat kepada sambutan yang diberikan, saya yakin telah membawa watak itu dengan baik," balasnya yang bakal terbang ke Perancis tidak lama lagi untuk penggambaran sebuah drama.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: