Thursday, April 24, 2014

Lisa anti filem seram

LISA mengakui yang dia tidak akan menonton filem seram di pawagam.


TIMBUL keraguan sebenarnya apabila pelakon Lisa Surihani dilantik menjadi hos yang akan mengulas dan berkongsi idea mengenai filem terbaharu, apabila pengacaranya sendiri bukan penggemar filem bergenre seram dan thriller.
Bagaimanapun, jelas Lisa untuk berkongsi pandangan dan sedikit ulasan berkenaan rangkuman filem menarik dalam tempoh sebulan untuk rancangan terbaharunya, HBO Sentral, dia tidak mewajibkan dirinya untuk menonton sesebuah filem itu.
“Menumpukan jalan cerita, mesej, aksi, trivia dan sedikit informasi menarik mengenai sesebuah filem kemudian berkongsi dan mengajak penonton untuk ke pawagam tidak bermakna saya perlu mengalami sendiri pengalaman menonton wayang itu.
“Adakalanya, keterujaan saya yang belum sempat atau tidak pernah menonton filem itu sendiri yang mampu menarik minat orang ramai untuk turut sama menonton,” ujarnya pada majlis pelancaran HBO Sentral versi bahasa Malaysia di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terbawa-bawa
Sebagai seorang kaki wayang, satu-satunya genre yang enggan ditonton Lisa adalah filem seram dan thriller kerana katanya dia sering terbawa-bawa situasi yang ditonton ke dalam realiti.
“Saya pernah menonton filem The Blair Witch Project beberapa tahun lalu, namun malangnya saya tidak boleh tidur malam. Saya terpaksa ke bilik mama dan tidur bersamanya sebab terlalu takut.
“Sampai sekarang pun, kalau Yusri mengajak saya menonton filem-filem seram, saya tanpa berfikir panjang menolak pelawaan itu.
“Malah, ada antara filem tempatan yang dilakonkan teman rapat saya yang tidak mampu saya tonton. Bukan kerana saya tidak menyokong tapi saya terlalu takut,” ulasnya.
Lisa juga menambah bahawa dia tidak pernah meminati filem seram, termasuk memberi persetujuan untuk terbabit di dalam sesebuah naskhah seram.
Katanya: “Sebab terlalu takut, saya pernah sekali menolak tawaran telefilem seram yang diarahkan oleh pengarah terkenal.”
Namun, Lisa tidak menolak untuk menyaksikan filem psiko-thriller yang banyak bermain emosi dan manipulasi psikologi termasuk memainkan peranan dalam filem bergenre sedemikian seperti filem Dendam Orang Mati yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
HBO Sentral
Bercerita mengenai pengalaman mengacarakan rancangan yang dibantu oleh telepanduan dan layar hijau itu, ujar Lisa, dia juga banyak disokong oleh kru yang bertugas sepanjang proses rakaman.
“Saya akui seorang yang menurut perintah berpandukan keadaan dan persekitaran tapi menerusi rancangan ini saya boleh menjadi diri saya sendiri dan saya selesa.
“Kalau pelat pun saya teruskan juga tanpa ada rasa tertekan. Menariknya mengenai rancangan ini, saya perlu berimaginasi menggunakan props yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Tambah unik apabila saya perlu mengendalikan rancangan ini dalam bahasa Melayu yang saya fikirkan mampu mendekatkan penonton tempatan dengan kandungan saluran HBO,” ujarnya yang menyifatkan pengalaman ini satu cabaran positif buatnya.
Ironinya, dunia pengacaraan bukan asing buat wanita ini. Lisa telah menceburkan diri dalam bidang pengacaraan pada usia 17 tahun lagi.
Antara rancangan yang diacarakannya termasuklah Mari Menari, MyEG Xtra Time Bring It!, Ekspresi Remaja, Whoa! dan X-Fresh TV.
HBO Sentral adalah program bulanan menerusi HBO (saluran 411 dan 431) yang memberikan panduan bulanan menarik di saluran tersebut.
Rancangan itu bersiaran pada setiap hari Ahad bermula 27 April pukul 7.15 malam dan diulang siar pada 1 Mei pukul 11 pagi dan 2 Mei pukul 8 malam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.astrogempak.com.my/hbosentral.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: