Sunday, April 27, 2014

Halim sedang mengenali, Adibah tertutup hati


HALIM dan Adibah kini serasi bersama bergelar penyampai radio Suria FM menerusi segmen Ceria Pagi Suria yang bersiaran seawal 5 pagi.


MELEWATI usia 40-an, kedua-dua figura seni tanah air ini dilihat masih aktif dalam landasan karier seni masing-masing. Satu persamaan yang jelas, pengacara serasi penyampai radio Suria FM menerusi segmen Ceria Pagi Suria itu dilihat masih belum mendirikan rumah tangga.
Biarpun Halim Othman, 49, dan Adibah Noor, 44, belum dipertemukan jodoh, namun pasangan yang mula bersiaran seawal pukul 5 pagi itu ternyata tidak berniat untuk menjadi begitu selektif dalam memilih pasangan hidup.
Kata Adibah, setelah lima kali gagal dalam percintaan, perasaan untuk mencari dan memiliki teman lelaki semakin pudar. Biarlah dirinya bercinta dengan karier yang sedang dinikmati. Sementara itu, Halim didakwa menjalin hubungan bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Dania Danisha pada tahun lalu.
Pertemuan bersama Halim dan Adibah di Suria FM baru-baru ini menerbitkan peluang kisah peribadi dibawa berkongsi. Sekian lama pasangan penyampai itu hanya berbicara soal karier, kali ini pintu hati mereka terbuka mahu berkongsi ruang eksklusif yang selama ini terkunci daripada tatapan umum.
Dalam suasana yang santai dan tenang, Halim dan Adibah tidak pula melenting ataupun mengelak untuk bercerita tentang kisah peribadi mereka. Masing-masing berkongsi cerita tentang jodoh yang masih menjadi rahsia Tuhan.
Adakah kalian seorang yang memilih pasangan hidup?
HALIM OTHMAN (H): Saya tidak memilih pasangan hidup tetapi apabila usia saya menjangkau 50 tahun ini, semestinya saya sudah mengatur perjalanan hidup saya. Setiap rutin dalam kehidupan telah saya susun. Biarpun menjalani kehidupan yang tidak lengkap tetapi saya sudah bersedia untuk mengharunginya. Takkan saya mahu memilih wanita yang akan membuat hidup saya kucar-kacir hanya untuk mengisi kekosongan di hati.
ADIBAH NOOR (A): Selepas lima kali kecewa akibat putus cinta saya jadi semakin takut untuk jatuh hati pada seseorang. Malah, kali terakhir saya putus cinta ialah pada tahun 2003 sewaktu karier saya sedang berkembang. Sejak itu saya jadi fobia untuk bercinta kerana bimbang mengapa sewaktu saya tidak dikenali dulu tiada yang suka.
Adakah kerjaya sebagai anak seni ini membantutkan kalian menemui kekasih hati?
H: Tidak. Sedangkan penyanyi terkenal Hollywood seperti Barbra Streisand juga berkahwin ketika usianya mencecah 50 tahun. Sebenarnya saya begitu mencintai dunia penyiaran radio. Buktinya sebanyak 50 peratus tenaga dan jiwa saya berikan ketika bergelar penyampai radio. Oleh itu, seseorang yang bakal hadir dalam hidup saya perlu mengikut waktu yang telah saya tetapkan.
A: Tidak. Sejujurnya saya boleh mencari pasangan hidup bila-bila masa sahaja tetapi disebabkan saya menutup pintu hati untuk menerima orang baharu menyebabkan saya masih solo sehingga sekarang. Apabila tiba masanya nanti pasti saya akan membuka ruang untuk diisi dalam kotak hati.
Apakah ciri-ciri teman wanita atau lelaki yang kalian impikan?
H: Pertama sekali saya mencari cinta selamanya. Wanita tersebut haruslah selesa apabila bersama dengan saya. Kehadirannya juga perlu mengikut masa yang telah saya aturkan ketika bergelar solo dulu. Perkara yang paling penting ialah memahami dan menerima diri saya seadanya.
A: Saya impikan untuk memiliki seorang lelaki yang manja dan suka dimanjai tetapi dalam masa yang sama dia mestilah tegas. Selain itu, lelaki tersebut perlu memimpin saya ke jalan yang lurus dan diredhai. Dia juga mestilah seorang matang dan mempunyai ilmu pengetahuan.
Setakat ini adakah kalian sudah menemui pilihan hati?
H: Saya jangka akan menamatkan zaman bujang pada usia 50 tahun, sama seperti sewaktu bapa saya mendapatkan saya. Sejujurnya saya sedang mengenali seorang wanita yang berusia 30-an. Dia wanita yang bujang dan mempunyai kerjaya.
A: Ya. Kini saya sedang bercinta dengan seorang lelaki bernama Ariff Zulkarnain (berseloroh). Lelaki tersebut ialah kerjaya saya. Jodoh bukan sahaja dengan lelaki yang bergelar suami, tetapi jodoh itu boleh berlaku dengan sahabat yang sanggup hidup bersama-sama dengan kita.
Pernahkah kalian berasa malu atau cemburu apabila melihat rakan-rakan sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata?
H: Tidak. Saya tidak pernah membandingkan diri saya dengan orang lain kerana setiap orang ada perjalanan dan skrip yang berbeza. Tidak adil rasanya untuk saya menyamakan diri saya dengan mereka kerana kami lahir di tempat yang berbeza serta melalui pengalaman yang tidak sama.
A: Tidak. Sebenarnya ramai rakan saya yang berkahwin selepas habis zaman universiti lagi. Apabila saya melihat kehidupan mereka 20 tahun yang lalu, tidak timbul perasaan cemburu kerana keintiman mereka sebagai suami isteri tidak sama seperti pada awal percintaan mereka. Perjalanan hidup mereka hanya disemarakkan oleh kehadiran cahaya mata. Namun, tidak dinafikan sewaktu mereka bercinta terdetik rasa cemburu. Malah, perasaan untuk saya berkeluarga telah pun lenyap pada umur saya 35 tahun. Kini saya hanya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya sebagai anak seni.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: