|
BENARLAH Jepun itu negara matahari terbit. Sekembalinya dari negara Sakura itu, Estranged seperti kembali mekar dengan semangat yang berkobar-kobar.
"Kami bawa pulang kenangan yang cukup berharga. Sampai sahaja di Kuala Lumpur, hati kami terasa tidak mahu kembali dan sebaliknya meneruskan lagi persembahan di sana," getus si vokalis Estranged, Rich ketika diajak berkongsi ekspresi selepas 10 hari menjelajah tiga buah kota besar di Jepun.
Perjalanan yang bermula dari 12 hingga 21 April yang dimulai dengan Tokyo kemudian Osaka, Nagoya dan kembali semula ke Jepun itu ternyata cukup bernilai. Lebih berharga daripada wang ringgit yang diterima oleh mereka.
"Ini bukan kali pertama kami keluar negara. Sebelum ini Estranged pernah buat siri gig jelajah Taiwan dan Indonesia. Tetapi impak dan kehangatan suasana gig paling hebat kami dapat rasakan di Jepun. Di Indonesia, suasana gig macam konsert raksasa ada beribu-ribu penonton, jadi kedekatan itu kurang. Macam di Jepun, penontonnya memang macam dalam suasana gig, muzik dan penonton lebih dekat.
"Paling utama, pasukan produksi dan band yang membuat persembahan juga sangat profesional," kata Rich mewakili anggota kumpulannya yang lain, Din, Hanafi dan Andy.
Antara kenangan manis yang dicipta di sepanjang jelajah Jepun termasuklah peluang untuk membina persahabatan baharu dengan para pemuzik dan penonton di Jepun. Selain itu, Estranged berasa gembira apabila melihat beberapa penonton yang sama di acara gig yang berlainan di Tokyo.
"Mula-mula kami buat persembahan Tokyo, kemudian ke Osaka, Nagoya dan apabila kami kembali ke Tokyo, kami dapat lihat ada penonton yang sudah tengok kami di Tokyo datang untuk tengok kami lagi. Ada juga kumpulan pelajar dari Malaysia. Salah seorang yang saya boleh ingat namanya ialah Syamsul, dia pelajar Malaysia yang sedang buat ijazah kedoktoran di sana," kata Rich yang kagum terhadap penganjur dalam mengendali lima acara gig yang disertainya.
Sistem cekap
Menurut Rich, setiap penganjur gig di tiga buah kota itu menggunakan sistem pelaksanaan yang efisien. Setiap band yang bakal beraksi harus mengisi borang-borang berkenaan sistem audio dan lampu. Setiap kumpulan harus memberi informasi terperinci tentang lagu-lagu yang akan dipersembahkan, durasi setiap lagu, rentak lagu dan pencahayaan yang mahu dimainkan dalam setiap lagu. Tidak sahaja dari segi teknikal, band-band harus menyatakan segmen bicara vokalis dengan penonton di sepanjang persembahan nanti.
"Di sana kami hanya buat sesi uji atau sound check sekitar lima hingga 10 minit sahaja untuk setiap kumpulan yang akan membuat persembahan. Dalam satu gig ada empat atau lima buah kumpulan, jadi keseluruhan sound check hanya ambil masa tak sampai satu jam. Itu sangat profesional. Sebelum sesi sound check ada taklimat. Semua orang kena tunduk hormat, kami pun kena tunduk hormat. Budaya kerja orang Jepun memang lain. Harap boleh dipraktik di sini juga nanti," kata Rich.
Sememangnya di Jepun, masa sangat berharga. Semua pihak yang terlibat untuk sebuah gig datang tepat pada masa yang telah ditetapkan. Setiap aktiviti akan bermula dan berakhir pada masa yang ditetapkan.
Acara gig juga akan bermula pada waktu yang telah ditetapkan, walaupun hanya segelintir penonton yang hadir.
"Penonton di sana juga lain. Tidak kira perempuan mahupun lelaki, mereka sememangnya sangat bertenaga menari, melompat, dan headbanging. Mereka mempunyai semangat menyokong band yang sedang beraksi di atas pentas, kalau disuruh melompat, mereka akan melompat, kalau disuruh bertepuk tangan, mereka juga akan bertepuk tangan," cerita bapa kepada dua cahaya mata, Joshia, 5, dan Caroline, 3, itu teruja.
Selepas persembahan pertama pada 14 April di Labo Yoyogi, Tokyo, salah seorang penganjur acara gig, Funky Sueyoshi, yang juga merupakan pemain drum profesional, telah menghubungi Estranged dengan niat mahu mengundang Estranged membuat persembahan di acara gignya pada tanggal 19 April. Funky berasa kagum dengan persembahan Estranged pada malam itu. Estranged menerima undangan itu kerana satu peluang yang baik, dan pada masa yang sama, jadual Estranged kosong pada tanggal itu.
Jadual padat, terancang
Memasuki acara gig tambahan yang berlangsung pada 19 April, Estranged berasa sangat teruja apabila mendapat tahu yang mereka akan berkongsi pentas dengan pemuzik-pemuzik terkemuka dan berpengalaman, seperti Minoru Niihara iaitu vokalis kumpulan Loudness, Kozo Suganuma (pemain drum profesional), Hojin Egawa (pemain bass profesional), dan Hiroaki Tagawa, seorang pemain gitar profesional yang telah hilang penglihatan pada usia lima tahun.
Dari Tokyo, Estranged telah bertolak ke Nagoya dan Osaka bersama kumpulan Jepun, Dazedgarden dengan menggunakan van sewa. Perjalanan dari Tokyo ke Nagoya mengambil masa kira-kira empat jam setengah. Setelah persembahan gig di Nagoya pada pukul 12 tengah malam, kedua-dua kumpulan meneruskan perjalanan ke Osaka, yang mengambil masa sekitar tiga jam.
"Kami hanya kenal kumpulan Dazedgarden ketika di Tokyo, tapi kami boleh jadi kawan baik. Selain tolong jadi penterjemah bahasa, mereka juga bawa kami melawat sekitar bandar-bandar yang kami jelajah.
"Hubungan itu akan berterusan kerana Dazedgarden juga akan turun ke Kuala Lumpur pada Ogos nanti. Mungkin kami akan bekerjasama, kita tengoklah nanti," cerita Rich sambil memberitahu Estranged kini akan memulakan penulisan lagu-lagu baharu untuk sebuah lagi album studio pada tahun ini.
Kembali bercerita tentang pengalaman di Jepun, setiap hari yang dijadualkan persembahan, jadual Estranged bermula dari pukul 1 petang untuk makan tengah hari, disusuli dengan sesi latihan pada pukul 2.30 petang. Selepas persiapan untuk persembahan, kebiasaannya, acara gig akan bermula pada tepat pukul 6.30 petang.
"Penat tapi berbaloi," katanya yang membuat persembahan sekitar 40 minit dalam setiap gig.
Disebabkan acara-acara gig di Jepun cenderung ke aliran rock, persembahan Estranged dilengkapi dengan lagu-lagu yang rancak dan berentak rock. Perbezaan bahasa juga tidak menghalang penonton-penonton untuk melayan persembahan Estranged.
"Rasanya kami sudah tinggalkan secebis nama Estranged untuk peminat gig di Jepun. Jadi, kalau pergi lagi mungkin ada orang akan kenal," ujar vokalis itu dalam nada berseloroh.
Selain persembahan, Estranged turut menjual album-album yang pernah mereka hasilkan seperti Remain Unknown, Anugerah Hidup dan Greatest Hits yang dilancarkan tahun lepas kepada penonton-penonton di Jepun.
Tidak habis di Jepun, Estranged yang bergerak dalam liga muzik tersendiri itu dalam perancangan untuk menyertai sebuah festival gig Australia pada Oktober dan Bangkok sekitar November nanti.
"Kalau orang kata Estranged sudah tua dan kurang peminat, kurang publisiti, kami terima sebab semua anggota Estranged pun sudah kahwin, tak laku lagi (ketawa). Sekarang kami masih bergerak walaupun tak havoc macam dulu. Ada lebih masa dengan keluarga.
"Band baharu pun sudah banyak, jadi kami cari peminat di daerah lain yang rasakan muzik kami ini segar ikut pendengaran mereka" beritahu Rich tanpa rasa terkilan jika Estranged dikatakan sudah kurang menyengat di kalangan peminat masa kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: