Tuesday, April 29, 2014

Kostum gabungan Indonesia, Malaysia



BUNYI mesin jahit tanpa henti diselang-seli kapitan gunting yang tajam menyusuri rentang kain berwarna-warni bagaikan melodi rancak berkumandang di bilik rekaan pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK).
Terdapat lima individu yang sedang khusyuk meneliti jahitan, sulaman, rekaan dan potongan kain sesuai dengan lokasi bibit percintaan Hamid dan Zainab yang tidak kesampaian persis karya agung novelis Indonesia, Prof. Dr. Hamka.
Kali pertama diadaptasi dan dipentaskan di Malaysia dalam sebuah teater bertemakan Islamik, ia merupakan cabaran utama buat produksi CTRA Production dan Istana Budaya.
Apatah lagi, latar tempat novel yang berlaku di Indonesia melibatkan orang Minang dan terdapat beberapa latar tempat melibatkan tanah suci kota Mekah, perlu disesuaikan dengan cita rasa fesyen peminat teater tempatan.
Perkara tersebut diakui sendiri Pereka Kostum Istana Budaya, Sarina Azizan yang sudah mula menelaah novel DBLK sejak awal Januari lalu sebelum melahirkan beberapa idea untuk pementasan teater itu.
Berpengalaman lebih sedekad sebagai pereka kostum, katanya, dia sudah membuat lebih 100 lakaran kostum untuk watak utama sebelum pihak produksi bersetuju mengetengahkan konsep gaya Nusantara.
“Kita tidak mahu kostum ini berat sebelah kerana ia dipentaskan di Malaysia. Bagaimanapun, kita mahu menjaga inti pati novel Hamka yang sememangnya berlatarbelakangkan masyarakat Minang di Indonesia.
“Ia disulitkan lagi dengan beberapa babak di Mekah, maka jalan penyelesaian yang kita ambil ialah mengetengahkan konsep Nusantara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KESEFAHAMAN antara pereka dan tukang jahit sangat penting dalam menjelmakan kostum yang menepati konsep dan idea.


Konsep
Dia yang turut dipertanggungjawabkan mereka kira-kira 300 kostum melibatkan keseluruhan watak termasuk pembantu dan korus berkata, melalui konsep Nusantara, produksi tidak terikat dengan satu unsur dan budaya sahaja.
“Apabila kita menggunakan konsep Nusantara ia merupakan gabungan budaya Malaysia dan Indonesia dengan suntikan Islamik.
“Malah terdapat juga rekaan baju seperti kurta, blaus dan jubah yang mempunyai elemen baju kurung tetapi sulaman dengan pengaruh Indonesia,” ujarnya.
Tambahnya, pengaruh Indonesia dalam setiap busana boleh dilihat melalui sulaman cara pemakaian manakala rekaan pula seakan-akan baju Melayu, kurung dan jubah yang sering terdapat di Malaysia.
Dia menambah, atas faktor pementasan selain menyesuaikan pencahayaan pentas, pemilihan material fabrik yang tepat turut memainkan peranan.
Ulasnya, kebanyakan kostum dibuat daripada kain kapas supaya warna yang dihasilkan tampak cantik di atas pentas.
Mengulas lanjut mengenai warna, dia yang pernah terbabit dalam pementasan teater muzikal Upin dan Ipin kira-kira dua tahun lalu memberitahu, banyak menggunakan warna pastel dan lembut sepanjang 10 hari pementasan itu berlangsung.
“Warna merupakan pengaruh terbesar dalam pementasan ini. Oleh kerana ia bertemakan Islamik, kami menggunakan warna sejuk.
“Malah warna juga menjadi perbezaan antara penduduk kampung, karakter utama termasuk watak sokongan,” katanya sambil menunjukkan beberapa kostum yang sudah siap.
Kebanyakan kain kapas yang digunakan ialah jenis s.b line dan koshiba.
Watak
Watak Zainab yang dibawa oleh Nasha Aziz melibatkan penggunaan warna seperti kuning cair, merah jambu lembut dan putih sejuk.
Sarina berkata, penggunaan warna berkenaan bersesuaian dengan karakter Zainab yang ayu, lemah lembut dan tergolong dalam komuniti elit.
Manakala watak Hamid yang dibawa Adi Putra pula, banyak menggunakan kostum jubah, blaus dan kurta dengan mainan warna putih dan warna-warna kusam.
Penduduk kampung pula mengenakan kostum dengan warna pucat seperti kelabu tanpa rekaan, hiasan dan sulaman yang berlebihan.

KESEMUA kostum teater ini perlu disiapkan sebelum 7 Mei depan.


Oleh kerana teater tersebut bertemakan kisah cinta yang penuh Islamik, pemakaian tudung mengikut syarak turut menjadi keutamaan.
Namun, pihak produksi dan Istana Budaya nyata bertuah kerana rangkaian tudung eksklusif Fareeda sudi mereka tudung khas sepanjang pementasan itu berlangsung.
Dengan kekuatan tenaga kerja seramai lima orang yang turut membantu menjahit membuatkan proses pembuatan kostum berjalan lancar.
Malah, kebijaksanaan produksi merancang dan menetapkan rekaan baju lebih awal membuatkan tukang jahit berjaya menghasilkan baju yang berkualiti tanpa sebarang tekanan.
Antara tukang jahit yang ditemui ialah Faridah Mading, 45, yang sembilan tahun terbabit dalam dunia jahitan kostum bersama Istana Budaya.
Dia yang menjahit lapan helai kostum termasuk dua helai untuk watak kanak-kanak menumpukan sepenuh perhatian ketika proses jahitan sedang dilakukan.
“Kami perlu memberikan fokus 100 peratus sepanjang menyiapkan semua kostum ini supaya hasilnya nanti kelihatan kemas di atas pentas dan selesa digayakan pelakon.
“Keselesaan pelakon menjadi keutamaan saya kerana kita tidak mahu aksi lakonan artis canggung semata-mata tidak selesa dengan baju dipakai,” jelasnya panjang lebar.
Bercerita mengenai cabaran menyiapkan kostum pementasan teater, dia yang juga Pembantu Pertukangan Istana Budaya, memberitahu mereka sering bertarung dengan masa.
“Bagi CTRA Production kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan masa, malah mereka memperuntukkan tempoh yang cukup untuk kami.
“Tetapi masa sememangnya ‘musuh’ utama kami dalam industri ini,” katanya yang menyasarkan untuk menyiapkan kesemua kostum sebelum 7 Mei depan.
Hubungan
Hubungan antara pereka dan tukang jahit juga harus dititikberatkan sepanjang proses jahitan kostum berlangsung.
Kesefahaman dua hala ini usah dipandang enteng kerana ia mampu menggugat perjalanan pembuatan kostum terutama kegagalan memahami kehendak penerbit dan pengarah teater.
Bercerita lebih lanjut, Pembantu Kemahiran Istana Budaya, Mohd. Hanis Sabtu merangkap Pembantu Kemahiran Produksi Teater DBLK, mengakui hubungan antara pereka kostum dan tukang jahit amat penting.
“Hampir setiap hari kami akan berbincang dengan pereka sama ada setiap jahitan atau kostum yang disiapkan memenuhi kehendak skrip teater.
“Jika tiada hubungan dua hala ini, pada pendapat saya kami mungkin tidak dapat bekerjasama dengan baik apatah lagi memahami kehendak produksi,” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun ditugaskan sebagai tukang jahit, dia tetap perlu meneliti skrip dan memahami sinopsis, watak dan keperluan teater untuk memudahkan rekaan kostum.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: