Monday, April 28, 2014

Fizz - Almy bersatu akhirnya




HANYA air mata yang dapat merungkai epilog cinta pasangan pelakon Almy Nadia, 28, dan Fizz Fairuz, 34, selepas kedua-dua mereka sah bergelar suami isteri pada Sabtu lalu.
Masjid Balik Pulau, Pulau Pinang menjadi lokasi penyatuan cinta bagi pemilik nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah dengan Mohd. Firuz Zainol setelah mereka selamat diijab kabul dengan sekali lafaz.
Kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua mempelai dan sahabat handal turut menyerikan majlis akad nikah yang berlangsung di masjid berkenaan kira-kira pukul 5 petang.
Dengan ucapan taklik yang dilafazkan kedua-dua mempelai itu menandakan telah berakhirnya bibit-bibit hitam yang pernah melanda pasangan ini suatu masa dahulu. Ia sekali gus mencipta fasa baharu dalam perjalanan hidup Almy dan Fizz di samping mencari kebahagiaan dalam menyatukan hubungan sebagai pasangan suami isteri.
Pasangan pengantin yang mengenakan busana berwarna biru tirus telah dinikahkan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Pulau Pinang, Norzli Mat sambil disaksikan keluarga kedua-dua mempelai.
Biarpun kelihatan serba ringkas, namun dengan kehadiran sekumpulan pengiring yang membawa masuk dulang hantaran kedua-dua mempelai ternyata membangkitkan suasana meriah majlis.
PASANGAN ini sebenarnya sudah sembilan tahun menjalinkan hubungan cinta.


Air mata
Pada majlis pernikahan itu juga, Almy menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan sembilan dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.
Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah komputer tablet i-pad, jam tangan, senaskhah al-Quran, set pewangi badan, kasut dan kek fondant.
Barangan hantaran yang diterima mempelai perempuan pula termasuklah seutas gelang tangan emas dan rantai mutiara, beg tangan, alat solek, kek, al-Quran dan sejadah.
Sejurus majlis selesai, Almy yang merupakan anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu dilihat tidak dapat menahan kesedihan tatkala menerima kucupan pertama Fizz di dahinya.
Ketika ditemui, pelakon filem Dunia Baru The Movie itu memberitahu, perkahwinannya dan Fizz akhirnya menjadi realiti adalah hasil berkat doa dan kesabarannya sepanjang menempuh alam percintaan selama lapan tahun.
"Saya berasa lega sebab segala susah payah dan dugaan yang ditempuh selama ini berakhir dengan penyatuan perkahwinan.
"Syukur Alhamdulillah, sabar adalah paling kuat dalam diri saya sepanjang mengharungi pelbagai kontroversi, naik dan turun, sebelum dan selepas akhirnya kami berdua sampai ke jinjang pelamin.
"Sudah lapan tahun kami menjalinkan hubungan percintaan dan tahun ini masuk tahun ke-sembilan.
"Doa kami ke alam baharu akhirnya membawa kenyataan," kata Almy dalam sebak sambil ditenteramkan Fizz.

MERIAH... Pengiring kedua-dua pasangan mempelai bersama barangan hantaran masing-masing.


Bulan madu
Dalam meniti kehidupan baharu bersama Fizz, Almy hanya mampu memanjatkan doa semoga segala urusan rumah tangga dan hubungan yang dibina mereka berdua mendapat restu Yang Maha Esa.
Wanita bertubuh genit itu turut meminta agar kebahagiaan yang dikecapi dapat dikekalkan sepanjang hayat, sekali gus berpeluang merasai kenikmatan hidup bersama.
"Saya juga meminta semua orang terus berdoa agar perhubungan kami berjalan dengan lancar. Selepas ini, saya dan Fizz berada di alam baharu, doa yang terbaik untuk kami berdua," jelasnya.
Mengenai aktiviti seni, kedua-dua mereka akan terus bergiat aktif dalam lakonan drama biarpun masing-masing sudah mempunyai komitmen.
Ujar Almy lagi, dia dan Fizz akan menjalankan penggambaran bagi slot Samarinda menerusi drama Cerita Cinta Kita yang bakal ditayangkan di saluran TV3.
"Kami tetap tidak akan meninggalkan aktiviti seni. Dua tiga hari selepas majlis akad nikah ini kami akan mengikuti penggambaran drama tersebut.
"Saya yakin, kami dapat membahagikan masa kerja dengan rumah tangga dengan sebaik-baiknya," jelasnya yang mengikat tali pertunangan dengan Fizz pada 22 Oktober lalu.
Sementara itu, mengenai percutian bulan madu, Fizz mencelah, kedua-dua mereka merancang untuk bercuti ke satu lokasi yang belum ditetapkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, Julai nanti.
Ujar Fizz, ini kerana mereka berdua sibuk dengan penggambaran drama lakonan masing-masing.
"Tentang perancangan cahaya mata, kalau boleh saya hendak seramai mungkin dan jumlah tidak terhad, selagi mampu," selorohnya dalam nada gembira.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: