Saturday, April 19, 2014
Pakai penutup muka dan hidung
BATU PAHAT - Rata-rata penduduk Kampung Bintang di sini kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup muka dan hidung sepanjang masa daripada dijangkiti Sindrom Koronavirus Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).
Bagaimanapun aktiviti harian di kampung itu yang mempunyai 1,000 penduduk tetap berjalan seperti biasa meskipun seorang jemaah umrah dari kampung itu maut akibat wabak tersebut pada Ahad lalu.
Tinjauan Kosmo! juga mendapati penduduk mengunjungi pusat pemeriksaan khas yang dibuka sejak Isnin lalu di Kompleks Penghulu Mukim Peserai di sini untuk membuat pemeriksaan sebelum mereka menjalankan urusan harian.
Seorang warga emas, Awa Abdul Jamal, 74, berkata, mereka sekeluarga lebih banyak berada di dalam rumah selepas mengetahui kematian seorang jirannya, Kamaroz Zaman Jafri, 54, disebabkan jangkitan MERS-CoV.
"Doktor mengesahkan saya tiada tanda-tanda penyakit tersebut tetapi saya mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu terdedah kepada udara luar," katanya ketika ditemui semalam.
Awa yang turut menziarahi jenazah jirannya itu tidak menyangka wabak tersebut meragut nyawa penduduk kampung.
Kamaroz Zaman meninggal dunia pada Ahad lalu selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini tidak lama selepas beliau pulang daripada menunaikan umrah.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat sindrom MERS-CoV menyebabkan pihak berkuasa memberikan pengawasan sepenuhnya terhadap penduduk kampung tersebut bagi mencegah penyakit itu daripada merebak.
Sementara itu, adik ipar Kamaroz, Hayati Mohamad, 44, berkata, urusan harian tetap perlu dilakukan biarpun masih belum dapat menerima hakikat kematian abang iparnya itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: