Saturday, April 26, 2014

Kisah dongeng keluarga BCL


ASHRAF dan Bunga memberitahu, kunci utama hubungan harmoni mereka ialah sering berkomunikasi dalam semua hal.


KELOPAK yang makin mekar mengharum, dalam taman cinta yang sarat rasa kasih dan sayang. Itu perumpamaan hubungan Bunga Cinta Lestari yang sedang leka menganyam impian dan harapan bersama dua arjuna hatinya, si suami Ashraf Sinclair dan anak mereka, Noah.
Noah, si putera sulung yang usianya mencecah tiga setengah tahun hasil perkongsian hidup enam tahun bersama Ashraf sudah tidak terkejar jika diajak bermain.
"Kalau diajak bermain memang dia tidak akan berhenti, kerana itu kami sendiri sebagai ibu bapa perlu pandai mencuri masa," demikian Bunga membuka cerita ketika diajak bersembang usai majlis pelancaran wangian terbaharu, Lux di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, baru-baru ini.
Duduk bersebelahan, adakalanya berdakapan mesra, nescaya pasangan itu masih dilimpahi kurnia rasa cinta yang membuak-buak.
Cinta dan keluarga
Percaya atau tidak, jelas Bunga, 31, rahsia untuk menyuburkan rasa cinta saban hari berteraskan usaha yang tidak berbelah-bahagi dan meletakkan posisi diri sebagai pasangan, bukannya peranan ibu dan bapa semata-mata.
"Orang selalu tanya saya kelihatan seperti tinggal dalam dunia dongeng, dapat saja apa yang dimahukan. Tapi percayalah, semuanya yang indah tidak datang bergolek.
"Saya perlu letakkan banyak usaha untuk mendapatkan apa yang saya perolehi sekarang. Saya bertuah dianugerahi seorang suami seperti Ashraf.
"Untuk membina hubungan selama enam tahun dan masih subur rasa cinta perlu ada banyak pengorbanan dan kebetulan pula karakter kami hampir serupa.
"Kami berkongsi minat yang sama, suka mengembara dan berjalan-jalan, cita rasa makanan yang sama malah fikiran untuk mendidik anak pun sama. Kadang-kadang apabila menjadi ibu bapa kita lupa peranan asal sebagai pasangan," singkapnya.
Hujah itu disokong kuat Ashraf, 35. Katanya setiap kisah dongeng itu perlu ada usaha dan penerimaan terhadap diri sendiri yang dilihatnya sebagai satu proses untuk berkembang.
"Kami menjadi pasangan bercinta dulu sebelum bergelar ibu dan bapa. Sudah pasti kami juga mahukan anak kami hidup dikelilingi keluarga yang harmoni, bahagia dan cinta satu sama lain," ceritanya lanjut.
Gosip, kontroversi
Magis cinta pasangan itu dikongsikan lebih mendalam. Perkara paling romantis yang pernah dilakukan Bunga kepada Ashraf adalah menyediakan sarapan pagi di atas katil sebelum pasangan itu keluar bekerja.
Pernahkah meletakkan sebarang syarat untuk salah seorang sesama pasangan? Jawab Ashraf, tiada syarat khusus melainkan mempraktik undang-undang komunikasi.
"Kami selalu berbincang dan meluangkan masa bersama. Paling penting adalah menjaga diri sendiri. Saya selalu berpesan pada Bunga, dia perlu menjaga diri sebab sekiranya dia sakit atau penat, bagaimana pula dia mahu menjaga kami berdua?
"Kami tidak pernah bergaduh kerana gosip tidak berasas. Percaya satu sama lain dan kami berkomunikasi. Saya ada Bunga untuk mempertahankan saya dan begitulah sebaliknya jika diancam gosip atau kontroversi," jelas Ashraf.
Bunga mencelah, baik dia mahupun suaminya, masing-masing tidak gusar untuk berkongsi kisah peribadi dan keluarga kepada masyarakat menerusi media sosial contohnya Instagram.
PASANGAN ini menjadi duta produk kecantikan Lux Indonesia untuk kempen keluaran terkini, Lux Reignite The Spark Couple sejak Februari tahun ini.


Kata Bunga, jika kehidupannya sebagai pasangan selebriti boleh memberikan inspirasi kepada orang ramai apa salahnya untuk dia bersifat terbuka.
Seperti mana orang kebanyakan, wanita itu mengakui adakalanya timbul juga perselisihan pendapat antara mereka, tetapi ditangani dengan berhemah.
"Kadang-kadang ada juga rasa tertekan dengan populariti, tapi Alhamdulillah itu bermakna karier kami berkembang baik. Orang pun selalu mahu tahu perkembangan kami, jadi kenapa perlu sorok-sorok," katanya.
Anak kedua
Populariti tidak terhad kepada Bunga dan Ashraf semata-mata. Turut terkesan, putera sulung pasangan itu, Noah.
"Mula-mula kami sangat defensif, terutamanya Ashraf. Seboleh-boleh kami mahu Noah tidak disimbah populariti tapi ini hidup kami dan dia sebahagian daripada kami.
"Mahu atau tidak, dia juga akan dikejar dan ke mana saja dia pergi, dia turut diburu media. Daripada kami menyembunyikan dia lebih baik kami mendidik dia tentang dunia kami," jelasnya.
Selepas Noah mencecah usia tiga tahun setengah, adakah mungkin Bunga dan Ashraf merancang untuk mendapatkan anak kedua pula?
"Tekanan untuk mendapatkan sosok tubuh seperti sebelum hamil itu sebenarnya yang selalu menghalang saya.
"Dek kerana terlalu sibuk kami tidak terfikir untuk mendapatkan anak kedua dalam tempoh terdekat. Tapi selepas kami melawat Aishah Sinclair (adik ipar Bunga) yang baru bersalin baru-baru ini, saya merindui perasaan dan momen mendukung bayi," jelasnya.
Tambah Ashraf: "Insya-Allah kalau ada rezeki kami terima. Selama ini pun kami tidak merancang."
Habibie & Ainun
Kejayaan filem Habibie & Ainun telah meletakkan Bunga pada satu peringkat lebih tinggi dan melonjakkan sahamnya sebagai salah seorang ikon pelakon berwibawa di Indonesia.
Habibie & Ainun telah berjaya merangkul Anugerah Filem Terbaik dan Runut Bunyi Terbaik sempena Indonesian Movie Awards (IMA Awards) 2013. Sementelah, Bunga juga menjadi pelakon wanita yang paling mahal di negaranya ketika ini.
"Saya pun tidak tahu, mungkin orang yang meletakkan tanggapan sedemikian. Mereka pun tidak tahu berapa saya dibayar bukan?
"Industri hiburan sukar diduga, adakalanya hari ini kita dipuja tapi kemudiannya kita dikeji pula. Bagi saya, itu cuma khabar angin dan saya tidak terjejas pun.
"Mungkin kerana filem itu yang menjadi filem nombor satu di Indonesia jadi orang lebih memandang serius. Kalau benar saya bersyukur," katanya.
Bunga yang baru usai melancarkan album ketiganya, Best Of BCL baru-baru ini memberitahu, dia bakal melancarkan album keempatnya tidak lama lagi di Indonesia.
"Album Best Of BCL mengandungi lagu terbaik saya daripada album pertama dan kedua selain single terbaharu Cinta Sejati, Tiga Salahmu, Jangan Gila dan Jangan Salahkan Dia.
"Untuk karier lakonan, saya belum bersedia lagi kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang nyanyian terlebih dulu.
"Lagipun belum ada skrip atau watak yang ditawarkan mampu menandingi kekuatan filem Habibie & Ainun. Mungkin kalau tawarannya berbeza dan orang sudah berhenti memanggil saya Ainun saya akan terima berlakon drama pula," katanya yang menantikan tawaran berbentuk muzikal.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: