• Syarikat susu halia bakal ke China Muhammad Ayub (kanan) dan Eksekutif Pemasaran Duha Edar, Amirul Ridhwan Rais menunjukkan produk Qausar yang bakal tembusi pasaran China, Mei ini.
SYARIKAT pengeluar susu halia milik Bumiputera, Duha Edar Sdn Bhd menerusi jenama Qausar bakal menembusi pasaran China pada Mei ini.
 
Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Muhammad Ayub Azahar berkata, China adalah negara yang mempunyai permintaan tinggi dan syarikatnya dalam proses untuk menguruskan dokumen untuk membawa produk itu ke negara berkenaan.
 
“Kami yakin untuk memulakan eksport selepas membuka kilang baharu yang lebih besar dengan kapasiti pengeluaran lebih banyak di Melaka.
 
“Kami juga sedang dalam peringkat terakhir menghasilkan empat lagi produk baharu untuk dibawa ke negara itu kelak,” katanya semasa ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Produk baharu itu adalah susu coklat, susu kambing, susu minuman sunnah dan susu makanan sunnah.
 
Menurutnya, kapasiti pengeluaran bagi kesemua produknya adalah 80,000 kotak pada tahun lalu.
 
Katanya, jumlah itu dijangka akan meningkat menerusi eksport ke China.
 
Muhammad Ayub berkata, selain China, syarikatnya juga berhasrat untuk menembusi pasaran Rusia dan negara-negara Islam pada masa akan datang.
 
“Kami juga bakal menjadi penyedia susu kepada syarikat penerbangan tempatan Malaysia Airlines dan AirAsia Bhd bermula Ogos ini,” katanya.
 
Mengulas berhubung pasaran tempatan, Muhammad Ayub berkata, produk syarikatnya sudah berada di seluruh negara menerusi ejen secara kecil-kecilan.
 
Bagaimanapun, bermula tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan untuk membangunkan jenama itu secara menyeluruh.
 
"Kami akan memberikan wajah baharu kepada kesemua produk keluaran dalam tempoh terdekat," katanya.
 
Duha Edar adalah pengeluar minuman berasaskan susu yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu dengan menghasilkan tiga jenis susu iaitu susu kopi, susu sarbat teh dan susu halia.
 
Susu halia merupakan susu yang pertama seumpamanya dihasilkan pada 2008.