- Kambing golek yang boleh dinikmati dari jam 11 pagi hingga 6 petang.
Menggunakan slogan ‘Mak kami marah jual mahal’, kuantiti makanan yang disajikan juga sama dengan harga RM2 hingga RM5 di kedai makan lain.
Pemiliknya, dua rakan karib, Zulkurnain Hassan, 50, dan Azizul Abdul Aziz, 46, tidak menafikan ada dalam kalangan peniaga yang mahu mengikut cara mereka menawarkan harga murah kepada pelanggan.
Zulkurnain berkata, antara makanan menu sarapan dengan harga RM1 yang dihidangkan di warungnya ialah nasi lemak, nasi goreng, mee goreng, bihun goreng dan kuetiaw goreng dan pelanggan boleh menikmatinya seawal jam 7 pagi.
Paling menarik apabila pelanggan boleh menambah teh O dan kopi O secara percuma selepas membuat pesanan kali pertama dengan harga hanya RM1.
“Kami tidak berharap keuntungan yang tinggi tetapi tawaran harga murah ini sebenarnya salah satu strategi perniagaan untuk menarik lebih ramai pelanggan,” katanya ketika ditemui di warungnya yang berdekatan dengan Kompleks Penyayang Indera Mahkota.
Sebagai seorang yang positif dalam perniagaan, mereka percaya keuntungan bukan sahaja kepada satu jenis makanan malah mereka mampu mendapat untung melalui makanan lain yang dijual di situ.
Katanya, semua menu RM1 yang dijual boleh dimakan bersama lauk lain yang banyak disediakan termasuk ayam dan ikan goreng serta telur.
Beliau berkata, harga bekalan bahan mentah yang dibeli adalah sama dengan pengusaha restoran atau kedai makan lain tetapi kadar harga murah yang ditawarkan membuktikan kesungguhan mereka menarik pelanggan terutama untuk menikmati makanan sihat.
Membanggakan juga apabila warungnya yang memulakan perniagaan pada 2 Januari lalu mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menganugerahkan sijil Menu Rakyat 1 Malaysia sebulan lalu.
“Itu satu pengiktirafan kepada kami dan kami mengalu-alukan jika ada peniaga lain yang mahu melaksanakan konsep sama supaya memberi peluang kepada pelanggan mendapat harga murah,” katanya.
Bekas kakitangan sebuah kilang minyak dan gas di Gebeng itu turut memperkenalkan set kambing golek untuk hidangan tengah hari dengan kadar harga kira-kira RM15 sahaja.
Menurutnya kambing yang dibakar dengan menggunakan arang di depan kedainya kini mula mendapat sambutan selepas ramai pelanggan yang mencari konsep warung dan santai.
Bagaimanapun, katanya, kambing golek mula dihidangkan kepada pelanggan dari jam 11 pagi hingga 6 petang setiap hari.
“Ada juga pelanggan yang meminta kambing bakar untuk dimakan bersama nasi lemak. Hidangan kami tidak terhad kepada satu menu khas sahaja,” katanya.
“Pada masa sama, kami mahu memperkenalkan semula makanan sunnah kerana sebelum ini diuar-uarkan pihak tertentu bahawa memakan daging kambing boleh membahayakan kesihatan,” katanya.
Menu lain dengan tawaran harga berpatutan ialah kari kambing, asam pedas ikan pari, ikan salai lemak cili padi, ayam berempah dan sup kambing salai yang pertama kali diperkenalkan di daerah itu.
Dua sekawan itu bagaimanapun berharap lebih ramai lagi peniaga yang memberi harga berpatutan kepada pelanggan supaya mereka boleh memilih gerai makan murah yang menyajikan makanan enak.
“Peniaga pun lebih gemar konsep terbuka berbanding restoran kerana lebih santai selain dapat menikmati makanan murah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: