Menurut Hasliza atau lebih mesra dengan panggilan Ummi, sejak dia mendedahkan aktor itu berubah sikap, dia bersama anak-anaknya yang lain tidak pernah berhenti memohon doa kepada Allah agar anaknya itu kembali semula ke pangkuan keluarga.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berkat doa dan solat hajat yang dilakukan tanpa henti, akhirnya doa saya termakbul. Afiq kembali ke pangkuan keluarga.
“Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak pernah membenci dia. Sebaliknya hanya berdoa agar dia kembali berubah sikap. Setiap hari, namanya tidak pernah lekang daripada bibir saya,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Isnin.
Tambah Ummi, Afiq telah menghubunginya pada awal Januari lalu dan ia benar-benar membuatkan dia terkejut sehingga menitiskan air mata tanda bersyukur.
Ketika itu, Afiq telah memohon maaf dan menginsafi segala kesilapannya yang lalu dan memberitahu ingin pulang ke rumah, kedua-dua mereka menangis bersama sepanjang perbualan di telefon.
“Saya cakap pada dia, baliklah nak… Ummi rindu… Ummi nak peluk Afiq… Susah nak ceritakan perasaan gembira ketika Afiq menghubungi saya ketika itu.
“Alhamdulillah, apa yang telah berlaku ada hikmahnya. Walaupun saya dihina kononnya sengaja mahu mencari publisiti, saya tidak kisah dengan tanggapan orang. Yang penting Afiq kembali kepada saya.
“Sebagai seorang ibu saya akan memarahinya agar dia tidak hanyut dan lupa diri. Tidak ada seorang ibu pun yang mahu melihat kejatuhan anaknya,” tutur Ummi.
Dalam pada itu, Ummi memberitahu, Afiq sudah banyak berubah sejak kembali menetap bersamanya dan tidak lagi bersikap panas baran seperti sebelum ini.
Sementara itu, Ummi berkata, dia berharap pertelingkahan antaranya dengan Afiq dapat dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa serta anak-anak yang lain.
"Memandangkan kisah saya dan Afiq sudah diketahui umum, saya mahu ia menjadi pengajaran besar kepada semua masyarakat.
"Belajarlah menghargai ibu-bapa kerana mereka menjaga anak-anak bagai menatang minyak yang penuh,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: