Thursday, April 24, 2014

Motor boleh lesap dalam dua minit


  • Motor boleh lesap dalam dua minitBorhan sedang mengunci motosikalnya di hadapan sebuah bank di Pekan Banting.

BANTING - Boleh putih mata kerana cuai! Itulah kemungkinan besar akan dihadapi pemilik motosikal sekiranya memandang ringan soal keselamatan kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, motosikal yang ditinggalkan tanpa dikunci boleh lesap dicuri dalam tempoh hanya dua minit.

Justeru, beliau menggesa pemilik kenderaan tersebut memanfaatkan kemudahan pengunci roda yang disediakan di sekitar pekan Kuala Langat ini.

"Kurang kesedaran pengguna dalam penggunaan pengunci roda, antara satu faktor penyumbang kes kehilangan motosikal kian berleluasa. Setiap kali anggota kita buat siasatan, kita dimaklumkan pemilik motosikal meninggalkan motor mereka dengan enjinnya masih hidup.

“Bukan itu sahaja, kuncinya pun dibiarkan di motosikal. Kecuaian ini beri kesenangan kepada perompak untuk curi motor mereka,” katanya sekali gus meminta penunggang motosikal menfaatkan penggunaan kunci roda di kawasan meletakkan motosikal.

Azman berkata, beliau bakal mengadakan pemantauan terhadap kemudahan itu sekali gus melihat sendiri gelagat dan tabiat penunggang dan pemilik motosikal ketika meninggalkan kenderaan mereka itu.

"Tindakan ini perlu bagi mengenal pasti sama ada pemilik motosikal tahu manfaatkan kemudahan sedia ada atau sebaliknya," katanya.

Penunggang motosikal, Borhan Agus, 65, berkata, dia menyokong usaha penggunaan pengunci roda yang telah dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, dia yang singgah ke sebuah bank di Pekan Banting turut mempraktikkan kemudahan tersebut bagi mengelakkan motosikalnya hilang.

“Pakcik memang kunci motor kalau berada di Pekan Banting. Tapi kadang-kadang ada juga pakcik terlupa nak kunci. Kalau sekejap saja tak apalah, ni lama... adi kenalah kunci. Kalau tak, memang kena curi," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengunci roda yang disediakan di Pekan Banting tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malah, palang besi yang dipasang turut dicuri sekali gus menyebabkan pengguna enggan menggunakan kemudahan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: