Saturday, April 26, 2014

Pesawat beri isyarat dirampas




BEBERAPA anggota tentera udara mengawal pesawat Virgin Australia yang membawa seorang penumpang mabuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali semalam.


JAKARTA - Gelagat seorang penumpang yang mabuk dan berkelakuan kasar menyebabkan sebuah pesawat Virgin Australia memberikan isyarat cemas bagi memberitahu rampasan sedang berlaku sebelum ia mendarat di sebuah lapangan terbang di Denpasar, Bali semalam.
Penumpang tersebut dilaporkan cuba memasuki kokpit menyebabkan juruterbang terpaksa memberi isyarat insiden itu sebagai rampasan kepada pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.
Pengurus syarikat penerbangan Virgin Australia di Ngurah Rai, Heru Djatmiko seperti dipetik stesen televisyen, Metro TV sebagai berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Brisbane, Australia sebenarnya tidak dirampas.
Sebaliknya, beliau berkata, juruterbang terpaksa menggunakan isyarat menyatakan pesawat yang membawa 137 penumpang dan tujuh kru dirampas untuk 'menangani' penumpang yang mabuk itu.


LOCKLEY (tengah) dikawal beberapa anggota tentera udara selepas dia dibawa keluar dari pesawat tersebut.


"Saya tidak pasti apa sebenarnya berlaku ketika juruterbang berkomunikasi dengan pengawal trafik udara di Ngurah Rai tetapi ia hanyalah salah faham.
"Bagaimana salah faham itu boleh terjadi, saya tidak dapat menjawab. Tetapi, adalah tidak benar jika menyatakan pesawat itu dirampas," katanya.
Heru berkata, beliau telah berkomunikasi dengan pengurus besar Angkasa Pura yang menyelia lapangan terbang di Indonesia, dan beliau menyatakan tiada rampasan yang berlaku.
Penumpang mabuk berusia 28 tahun itu, Matt Christopher Lockley kemudian ditahan kru dan tangannya digari semasa dia berada di dalam pesawat.
Lockley tidak cuba untuk melawan ketika dia ditangkap kru pesawat Boeing 737-800 itu.
Dia kemudian dibawa turun dan ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Herry Bakti Gumay berkata, Kawalan Trafik Udara di lapangan terbang berkenaan mula menerima laporan dan isyarat daripada juruterbang menyatakan pesawat itu dirampas, pada pukul 1.05 tengah hari iaitu satu jam sebelum ia mendarat.
Menurut jurucakap Tentera Nasional Indonesia, pesawat itu mendarat di Bali pada pukul 2.10 petang waktu tempatan.
Ketua Polis Bali, Benny Mokalu berkata, seorang kru pesawat menyatakan, Lockley meminta ubat-ubatan dan mula mengetuk pintu kokpit.
Lockley memakai seluar putih dan baju-T dikawal oleh anggota-anggota tentera udara Indonesia ketika dia turun dari pesawat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: