SEPERTI pusat-pusat terapi lain, suasana sebuah pusat yang serupa di Seksyen 13, Shah Alam juga mempunyai ambien yang sama iaitu pencahayaan yang suram tetapi menenangkan minda para pengunjung.
Terletak di tingkat dua kawasan rumah kedai di Jalan Renang, Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam memberikan kelainan dari segi jenis urutan terapi yang ditawarkan untuk atlet dalam keadaan spa kecantikan biasa.
Pusat itu menggunakan konsep gabungan moden dan tradisional melalui penggunaan perabot-perabot dengan rekaan terkini digabungkan bersama kain-kain batik menjadi pelapik tilam menyerlahkan lagi rasa seperti berada di rumah.
Ketika ditemui, pemiliknya yang juga seorang ahli urut terapi profesional, Rezafarish Yusof Khan, 34 baru sahaja mengurut seorang pelanggan yang mendapatkan terapi urut sukan untuk masalah cakera teranjak.
“Urut terapi sukan boleh mengendurkan otot-otot sebelum bersukan maka dapat mengurangkan sedikit kesakitan yang berlaku selepas habis bersukan.
“Kami akan meminta laporan kesihatan pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan urut terapi sukan terlebih dulu,” katanya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.
Bukan setakat perkhidmatan yang baru sahaja ditawarkan itu, Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam turut menyediakan urutan terapi bagi frozen shoulder, tennis elbow dan refleksologi kaki.
Seperti spa-spa lain, ia turut menyediakan perkhidmatan urutan untuk wanita seperti urutan selepas bersalin dan batu panas selain rawatan wajah.
Hilang penglihatan
Pemilik pusat urutan ini pada mulanya bukan seorang ahli terapi jauh sekali menjadikan pekerjaan itu sebagai cita-cita yang diimpikan.
“Saya seorang cef lulusan Kolej Damansara Utama, Pulau Pinang dan dapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara,” kenang Rezafarish.
Namun, segala-galanya berubah suatu pagi apabila beliau mahu membasuh muka dan mendapati penglihatan kabur.
Dengan keadaan begitu, dia memandu ke hospital dan diberitahu menghidap glukoma dan mata kanan rosak disebabkan saraf optikalnya pecah. Penglihatan mata kirinya pula kabur.
Lelaki yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu sangat kuat semangat kerana mengakui berasa tertekan. Dia melalui kehidupan seterusnya dengan tabah dan tetap meneruskan pengajian ke luar negara.
Sekembali ke tanahair pada tahun 2008, Rezafarish bekerja di Institut Makanan Malaysia (FIM) sebelum belajar membaca Braille, menggunakan tongkat dan mengurut di Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields sehingga November 2009.
“Saya membuat kerja sambilan di Kedai Cikgu Mat di Brickfields untuk cari pengalaman sebelum bekerja di beberapa tempat di Puchong, Mid Valley dan di majlis sukan,” katanya.
Kemudian, Rezafarish bekerja sebagai pembantu fisioterapi di Seksyen 7, Shah Alam sepenuh masa dalam usahanya mencari pengalaman dan pengetahuan dalam bidang urut terapi sukan.
Sekitar tahun 2011, dengan cadangan seorang pelanggan supaya membuka sebuah pusat terapi di premis sekarang yang berdekatan dengan Stadium Shah Alam, lelaki itu merealisasikan Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam.
Pusat ini turut menawarkan khidmat serupa kepada pelanggan wanita yang dijalankan oleh seorang tukang urut OKU terlatih, Suzana Othman, 30. Beliau yang berasal dari Bota Kanan, Perak, mempunyai pengalaman 10 bekerja di pusat kecantikan.
Menurut Rezafarish, dia juga banyak belajar daripada Suzana terutama dalam kemahiran membuat rawatan wajah dan urutan batu panas.
“Kebiasaanya para pelanggan akan membuat temujanji dulu bagi menetapkan tarikh dan masa.
“Hasrat saya ingin menjadikan premis ini sebagai pusat urut sehenti kepada pelanggan lelaki dan wanita,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: