- Noraini rindu untuk bertutur loghat daerah semula selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.
Noraini yang kini berusia 19 tahun sehingga kini langsung tidak boleh bertutur loghat Besut (Kelantan) selepas kemalangan tersebut, sebaliknya boleh berbahasa Korea manakala perbualan hariannya menggunakan bahasa Melayu.
Bagaimanapun, kini dia sudah tidak boleh berbahasa Korea, tetapi tetap tidak boleh bertutur loghat Besut menyebabkan dia amat merindui untuk bercakap bahasa itu terutama dengan ahli keluarga dan kawan-kawannya.
“Saya teringin nak cakap loghat Besut balik, tapi nak sebut ‘mak’ dalam loghat daerah ‘mok’ pun susah. Sekarang saya panggil mak mama sahaja sejak kemalangan dulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Gong Medang, di sini.
Noraini berkata, dia sendiri tidak tahu mengapa lidahnya 'keras' untuk bercakap loghat Besut selepas kemalangan itu walaupun orang sekeliling bertutur loghat daerah.
Katanya, dia berusaha untuk bercakap dan meniru percakapan menggunakan loghat daerah yang menjadi komunikasi hariannya sejak 17 tahun lalu, namun akibat kemalangan tersebut segalanya berubah.
Anak kepada pekerja kilang papan itu bagaimanapun bersyukur kerana kemalangan motosikal yang dialaminya hanya menjejaskan bahasa pertuturannya.
“Mula-mula lepas kemalangan dulu, saya selalu sakit kepala, tapi sekarang dah tak ada dah,” katanya yang tinggal bersama keluarga.
Sinar Harian pada 6 Februari 2012 pernah menyiarkan kisah pelik yang berlaku terhadap seorang pelajar tingkatan lima yang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin dengan lancar walaupun tidak pernah mengikuti kelas bahasa tersebut.
Kejadian aneh itu berlaku selepas empat hari dia terbabit dalam kemalangan pada jam 2 petang, 13 Januari 2012, apabila motosikal yang dibonceng dirempuh sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang ketika perjalanan pulang dari sekolah.
Motosikal tersebut yang ditunggang abangnya, Jefri (ketika itu berusia 18 tahun) tiba-tiba dilanggar lori terbabit dari arah belakang menyebabkan Noraini terjatuh dan terhantuk kepala di atas jalan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: