• Wangian murah tapi berkualiti
IDEANYA muncul berikutan lambakan produk minyak wangi klon di pasaran, yang kebanyakannya boleh diperoleh dalam bentuk roll-on.

Deretan daripada itu, Zitil Akhyar Baharin, selaku pengurus Scentsible Marketing mendapat ilham untuk memperkenalkan produk keluarannya sendiri.

Hadir dengan mengetengahkan produk keperluan wanita dan lelaki, ia dijangka memberi pilihan alternatif kepada penggemar minyak wangi berjenama khususnya golongan bawahan dan pertengahan yang ingin memiliki wangian seumpamanya dengan harga lebih murah.

Penubuhan syarikat itu terhasil menerusi bantuan bersama adik-beradiknya selaku rakan kongsi bersama pada 30 September 2013 dengan ibu pejabat di Cheras, Selangor.

"Satu-satunya cabaran untuk memulakan perniagaan ini adalah untuk mengumpul modal permulaan yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

"Kemudian, kami perlu mencari pembekal bagi mendapatkan botol yang betul-betul menepati standard yang kami perlukan dan pembekal pati terbaik bagi menghasilkan minyak wangi ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Cheras, baru-baru ini.

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM110,000, akhirnya minyak wangi keluarannya diperkenalkan dalam bentuk semburan menerusi jenama Clio Fragrance.

Ketika ditanya berhubung kebarangkalian produknya akan ditiru pada masa akan datang, Zitil berkata, botol produknya adalah yang lain daripada yang lain dalam pasaran.

"Jika ada yang tiru, agak sukar bertahan lama kerana harga kami adalah yang paling murah di pasaran dengan kualiti yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Mengulas berhubung pemilihan nama Clio itu, Zitil berkata, Clio berasal daripada perkataan Cleopatra yang merujuk kepada ratu Mesir.

"Bagaimanapun, kami menukar ejaannya daripada Cleo kepada Clio bagi mengelakkan kekeliruan," katanya.


Bau wangi tahan lebih lama

Setakat ini, syarikat itu mempunyai 35 jenis pilihan haruman yang diinspirasikan daripada wangian jenama antarabangsa, dengan 15 wangian lelaki dan 20 wangian khusus untuk wanita.

Zitil berkata, Clio menggunakan campuran wangian berkualiti tinggi yang diimport dari Perancis.

"Apa yang menarik dengan Clio, jenama kami mempunyai bauan yang kuat dan lebih tahan lama.

"Kami menggunakan 45 peratus pati wangian yang lebih pekat daripada wangian asal untuk memastikan bau wanginya kekal lebih lama," katanya yang sebelum ini merupakan juru kecantikan dari rumah ke rumah.

Menurutnya, minyak wangi Clio mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat dengan menawarkan harga yang berpatutan iaitu RM30 bagi 15 milimeter (ml).

Katanya, golongan sasaran adalah kelas pertengahan dan bawahan.

"Tetapi ramai pengguna kami terdiri daripada penuntut universiti," katanya yang sebelum ini pernah bekerja dalam pelbagai sektor seperti pengiklanan, peruncitan dan perbankan.


Tambah pengedar dan stokis

"Buat masa ini, produk kami boleh didapati di sekitar Lembah Klang menerusi stokis besar iaitu Rizi Biz Shop di Bandar Baru Bangi dan PT Harapan Bunda di Jalan Raja Bot serta ejen aktif seperti Ainee Ehsan Herbs & Beauty Mydin PV12 Setapak.

"Bukan itu sahaja, kami juga ada ejen pengedar di universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara," katanya.

Zitil berkata, syarikatnya kini mempunyai 10 stokis dan lebih 30 ejen di seluruh negara.

Menurutnya, bagi pasaran di Sabah dan Sarawak, produknya hanya boleh diperolehi di beberapa kawasan tertentu seperti di Inanam dan Kuching.

Katanya, syarikat itu juga menyasarkan untuk menambah jumlah pengedar dan ejen pada tahun ini.

"Kami sasar untuk capai 1,000 pengedar di seluruh negara dan menggalakkan penyertaan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi pengedar mahupun ejen kami," katanya.

Selain itu, selari dengan trend jualan dalam talian (online), syarikatnya turut memperkenalkan jualan menerusi laman sesawang dan laman sosial Clio Fragrance bermula Disember tahun lalu.


Sasar tingkat 30 peratus jualan

Mengulas berhubung lokasi pengilangan bagi produknya, Zitil berkata, syarikat itu telah mengikat kontrak dengan pengilang di Singapura khas untuk menghasilkan botol Clio Fragrance dalam bentuk dan sukatan yang ditetapkan.

"Proses pembungkusan dan melabel serta mengisi pati minyak wangi akan dilakukan di pejabat kami secara manual oleh kakitangan," katanya.

Menurutnya, Scentsible Marketing juga merancang untuk memiliki kilang sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu kini dalam proses mengumpul modal yang diperlukan.

"Kami jangka untuk membuka kilang sendiri apabila modal sudah mencukupi dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Modal diperlukan untuk mencari tapak kilang, membeli mesin dan menggaji lebih ramai pekerja kelak, dan kilang ini dijangka dibuka sama ada di Lembah Klang atau di Melaka," katanya.

Menurutnya, kilang itu akan dibuka lebih awal jika syarikat tersebut berjaya mendapatkan dana atau geran daripada kerajaan.

Katanya, kilang itu nanti akan membantu meningkatkan jumlah pengeluaran minyak wangi syarikatnya dengan lebih banyak.

Setakat ini, beliau berkata pengeluaran minimum ialah sekitar 3,000 sehingga 4,000 botol sebulan.

Zitil berkata, Clio Fragrance juga menyasarkan untuk meningkatkan jualan sebanyak 30 peratus sepanjang tahun ini.


Intai pasaran luar

"Kami ingin memberi tumpuan terhadap pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum ke peringkat lebih jauh.

"Kalau boleh, kami ingin kuasai pasaran tempatan dan biar satu Malaysia kenal jenama Clio Fragrance," katanya.

Zitil berkata, apabila kedudukan telah kukuh, syarikatnya akan mengintai pasaran luar negara bermula di Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.