Wednesday, April 23, 2014

Kelab Caring UIAM kutip dana


Karnival Caring 2014 dianjurkan bertujuan mengutip dana dan sumbangan bagi program bersama anak-anak yatim di samping melahirkan kesedaran membantu golongan yang kurang berkemampuan.

KARNIVAL Caring 2014 melibatkan penyertaan para pelajar, kakitangan serta golongan anak-anak yatim.


SEJAK 12 April lalu hingga 26 April 2014, Kelab Caring Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan satu karnival dalam usaha untuk mengumpul dana tabung kelab tersebut.
Dinamakan sebagai Karnival Caring 2014, program ini melibatkan penyertaan para pelajar, kakitangan dan golongan anak-anak yatim yang dijemput khas.
Selain mengutip dana, karnival ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga universiti dan masyarakat untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.

KELAB Caring UIAM menganjurkan Karnival Caring 2014 dalam usaha mengumpul dana tabung kelab tersebut.


Pengarah Program Karnival Caring 2014, Mohammad Ikmal Hisham Ashari berkata, pelbagai aktiviti telah disusun bagi menjayakan karnival ini.
Antaranya pertandingan Golden Talent Show 2.0, Caring Jaguh Kampung, Spiritual Talk on Bicara Iman, Caring Theatre Night dan Caring Charity Dinner.
"Bagi Golden Talent Show 2.0, ia berlangsung pada 12 April lalu di Auditorium Mini UIAM. Acara ini menyaksikan beberapa pertandingan seperti nasyid, hafazan al-Quran, azan dan bercerita sirah Nabi yang akan disertai oleh anak-anak yatim dari rumah kebajikan berbeza.
"Ia diikuti pertandingan permainan tradisional seperti teng-teng, galah panjang dan batu seremban melalui acara Caring Jaguh Kampung di Kompleks Sukan Wanita UIAM," ujar Mohammad Ikmal Hisham.

PERTANDINGAN seperti nasyid, hafazan al-Quran, azan dan bercerita sirah Nabi turut disertai oleh anak-anak yatim.


Turut dianjurkan ialah majlis ilmu yang dinamakan Spiritual Talk on Bicara Iman di Dewan Eksperimental, UIAM.
Program bual bicara tentang percintaan, pelajaran serta pengurusan kehidupan melalui cara yang dibenarkan Islam ini akan menampilkan Ustaz Abah Mkhairi dan Ustazah Dr. Raudlotul Firdaus sebagai penceramah.
Acara Caring Theatre Night di Auditorium Utama UIAM pula mempersembahkan lapan buah teater daripada produksi universiti tersebut.
Acara Caring Charity Dinner akan menjadi penutup bagi penganjuran Karnival Caring tahun ini. Ia akan diadakan pada 26 April bertempat di Restoran Hadramawt, Ampang, Kuala Lumpur.
"Mereka yang menyertai acara makan malam akan dihiburkan dengan persembahan khas kumpulan nasyid UNIC, pemenang pertandingan Golden Talent Show 2.0 dan persembahan terbaik dari Caring Theatre Night.
"Sehubungan itu, kami berharap dapat menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai agensi sama ada kerajaan mahu pun swasta bagi memeriahkan karnival ini," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: