Sunday, April 27, 2014

Kafe layar perak


SEBAHAGIAN daripada filem tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di pawagam di Malaysia.


TATKALA langkah kaki mengorak masuk ke dalam perut restoran yang terletak di Ukay Boulevard, Ampang, Selangor ini, sorotan mata kaku sebentar sebaik melihat gantungan puluhan poster filem tempatan dan antarabangsa menghiasi segenap penjuru dinding.
Sekilas pandang, kafe yang berkeluasan kira-kira 305 meter persegi itu tidak ubah seperti ruang legar tempat membeli tiket dan makanan ringan di panggung wayang.
Ditambah pula dengan tayangan filem-filem popular menerusi televisyen bersaiz gergasi di ruang tengah kedai, ia sekali gus berjaya membangkitkan suasana seperti berada di dalam panggung wayang sebenar.

SANTAI. Ruang makan yang ringkas dan eksklusif.


Menurut pemilik restoran yang juga Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Zahrin Ishak, cetusan idea dan konsep asal restoran yang dinamakan Kafe Skrin itu diambil daripada sebuah kafe yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Planet Hollywood.
“Planet Hollywood menerapkan unsur panggung wayang sebagai dekorasinya.
“Memandangkan konsep ini masih belum dicuba oleh pengusaha restoran di Malaysia, jadi saya memilihnya untuk diguna pakai dalam keseluruhan kedai makan ini,” katanya.
Tampak eksklusif, namun percaya atau tidak, kesemua susun atur dan tatarias kedai tersebut hasil daripada titik peluh keluarga pasangan suami isteri ini tanpa mendapatkan bantuan daripada pereka dalaman profesional.
Bagi menonjolkan lagi impak panggung wayang, pemilik memilih rona merah dan hitam sebagai warna tema kafe yang baru beroperasi selama empat bulan ini.
BASIKAL lama dijadikan perhiasan di sudut tengah kafe bagi mengimbau kenangan filem Melayu klasik.


Warna
Warna tersebut sememangnya bersesuaian dengan imej yang sering diketengahkan oleh pengusaha panggung wayang, baik tempatan mahupun luar negara.
“Setiap warna mempunyai simbolik yang tersendiri. Sebagai contoh, merah dalam panggung wayang menjadi lambang karpet merah dalam acara-acara hiburan berprestij di samping tanda mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

TELEVISYEN zaman 1960-an turut dijadikan perhiasan kedai.


“Sementara itu, warna hitam simbol kepada panggung yang gelap. Rona ini juga dipilih kerana ia mampu menonjolkan elemen elegan dan eksklusif,” ulasnya.
Namun begitu, bagi mengelakkan suasana kafe kelihatan suram, pemilik menggabungkan padanan warna tersebut dengan putih.
Ini kerana selain mencetuskan suasana ceria, ia juga mampu memperlihatkan keluasan kafe tersebut.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana pemilik mengumpul kesemua poster dan aksesori seni yang terhias indah di dalam kafe tersebut.
Ujar Zahrin, sebahagian daripada poster tersebut dibelinya sewaktu melancong ke luar negara sejak tahun 1990-an lagi.
Selain Malaysia, aksesori dan poster tersebut turut dibeli di AS dan Britain.
PEMUTAR filem zaman 1960-an dijadikan hiasan di dalam rak kaca.


“Bukan itu sahaja, kafe ini juga menjalinkan hubungan erat dengan beberapa syarikat produksi filem tempatan dan antarabangsa seperti Skop Production, Metrowealth International Group (MIG), 20th Century Fox dan Warner Brothers Film.
“Jadi setiap kali filem baharu dikeluarkan, mereka akan memberikan poster filem tersebut secara percuma untuk digantung di dalam kafe ini,” jelasnya.
Tambah Zahrin, selain daripada sumbangan syarikat produksi, ada juga poster yang beliau beli menerusi internet dan kemudian dicetak menggunakan kertas khas sebelum digantung di kedai berkenaan.
Bagi menonjolkan lagi keunikan dan sifat mesra pelanggan, pemilik meletakkan sofa mewah merah dan hitam yang berlatarkan televisyen gergasi di ruang tengah kafe.
Ini kerana, di samping menjamu selera, pemilik mengutamakan keselesaan pelanggan dan mahu mereka bersantai seperti berada di rumah sendiri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: