Saturday, April 26, 2014

Layanan kelas kedua seni bina landskap


KERJAYA arkitek landskap sudah lebih 30 tahun bertapak di Malaysia.


SEWAKTU bergelar arkitek landskap kira-kira tiga tahun lalu, penulis masih teringat pengalaman bekerja selama 18 jam sehari terutama menjelang tempoh penawaran tender dan tarikh akhir penyerahan dokumen kepada pihak berkuasa tempatan.
Beberapa arkitek landskap dan pelukis pelan yang terlibat akan mula bekerja seawal pukul 9 pagi sehingga 3 pagi keesokan hari. Kadangkala rutin tersebut berlarutan sehingga sebulan dan amalan berkampung di syarikat sudah menjadi kelaziman kepada mereka yang bekerja dalam bidang ini.
Beban kerja yang terlalu banyak pada satu-satu masa menjadi punca ramai graduan muda seni bina landskap tidak mampu bertahan lama dengan kerjaya tersebut. Rata-rata berpendapat pendapatan bulanan yang diterima tidak setimpal dengan pengorbanan masa yang diberikan.
Baru bergelar arkitek landskap selama tujuh bulan, Seri Rahayu Puteri Ghazalli, 24, berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab tersebut bagi merancakkan industri landskap negara.
"Bekerja dalam bidang ini memang tertekan terutama apabila tarikh akhir semakin dekat. Berada di pejabat sehingga larut malam itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami. Namun, saya dan rakan sekerja akan balik awal jika beban kerja tidak terlalu banyak.
"Kadang-kadang kami bekerja secara berkumpulan dan saling membantu bagi meringankan kerja. Bila difikirkan balik, apa-apa pekerjaan pun ada tekanan. Begitulah kehidupan," ujarnya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketika ditanya sama ada bayaran yang diberikan kepada arkitek landskap setimpal dengan bidang tugas dan kepakaran mereka, Seri Rahayu Puteri mengakui rasa terkilan.
"Secara jujurnya ia tidak setimpal kerana seni bina landskap merupakan bidang profesional dan amat disanjungi di luar negara. Jika dibandingkan dengan bidang kepakaran lain seperti kejuruteraan dan seni bina, saya lihat gaji arkitek landskap agak rendah.
"Mungkin sebab itu ramai arkitek landskap yang beralih bidang kerana mereka tidak yakin dengan bidang ini yang pada saya amat menarik untuk diteroka. Selain itu, saya berpendapat mungkin mereka takut dengan tekanan," jelasnya ketika ditemui.

ROSLY (kiri) menerangkan kepada wakil pemaju tentang konsep rekaan landskap yang dihasilkannya.


Syarat majikan
Di Malaysia, gaji permulaan bagi seorang arkitek landskap lepasan ijazah sarjana muda sekitar RM1,600 hingga RM2,000. Bagaimanapun, terdapat syarikat yang sudah kukuh dan mempunyai kewangan stabil menggaji graduan muda sebanyak RM2,300 sebulan.
Isu ini bukan sekadar tertumpu kepada gaji rendah tetapi terdapat syarikat yang tidak bertanggungjawab memanipulasi pekerja tanpa mengendahkan kebajikan mereka. Memandangkan arkitek landskap tergolong dalam bidang kerjaya profesional atau bertaraf eksekutif, mereka tidak dibayar untuk kerja lebih masa.
Ada juga majikan yang meletakkan syarat jika arkitek landskap itu bekerja lebih lapan jam baru berhak untuk mendapatkan satu hari cuti ganti. Ini bermakna, jika anda hanya bekerja lebih masa selama tujuh jam, anggap sahaja kerja yang dilakukan itu sebagai perkhidmatan percuma kepada syarikat. Penindasan sebegitu sudah lama berlaku.
Graduan seni bina landskap yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif bagi Jootawan Group Sdn. Bhd., Ammar Zaharudin, 27, berkata, beliau membuka perniagaan lain selepas melihat bidang seni bina landskap sering mendapat layanan kelas kedua daripada pihak pemaju.
"Seni bina landskap sering dipinggirkan dalam satu-satu projek walhal kerjaya tersebut setaraf dengan arkitek. Jururunding landskap sukar untuk cari makan kerana bajet yang diperuntukkan untuk mereka jadi pilihan terakhir dalam sesebuah projek.
"Katakan jurutera atau arkitek memerlukan bajet yang lebih, maka bajet yang pada asalnya diberikan kepada arkitek landskap akan dipotong supaya kos keseluruhan projek tidak terjejas," katanya yang menyedari dunia sebenar arkitek landskap semasa menjalani latihan industri.
Ammar yang memiliki tiga syarikat di bawah pengurusannya menjalankan perniagaan berasaskan pemasaran internet, pengurusan majlis korporat, penerbitan buku, kewangan islam dan akademi latihan.
Pada masa sama, beliau menangkis tanggapan segelintir masyarakat yang berpendapat graduan yang beralih kepada bidang lain sebagai tidak berdaya saing. Baginya, golongan tersebut lebih kental kerana dapat bekerja lebih pantas dan serba boleh apabila diberikan tugasan.
"Saya mempunyai pekerja daripada kedua-dua golongan iaitu yang beralih bidang dan yang memegang jawatan berdasarkan kelayakan mereka.
"Pekerja daripada latar belakang yang berkaitan dengan pekerjaan mereka selalu meletakkan batas dalam sesuatu perkara kerana terlalu terikat dengan apa yang dipelajari di universiti," jelasnya.

TUGAS arkitek landskap penting sebagai pelengkap sesebuah projek hartanah kerana merupakan pihak yang pakar dalam bidang tersebut.


Persaingan
Seni bina landskap mula bertapak di Malaysia pada akhir tahun 1970-an. Ia lebih tertumpu kepada pengindahan kawasan kediaman rasmi, jalan, bangunan awam, taman rekreasi dan istana. Namun, sehingga kini masih belum ada akta khas yang diperuntukkan terhadap bidang tersebut biar pun sudah menjangkau tempoh lebih tiga dekad.
Sementara itu, arkitek landskap kanan, Rosly Shariff, berkata, persaingan yang tinggi membuatkan banyak syarikat merendahkan kadar bayaran perkhidmatan bagi merebut projek landskap.
"Apabila syarikat menerima bayaran perkhidmatan yang rendah, mereka terpaksa membayar gaji rendah dan tiada bonus untuk pekerja. Melainkan jika syarikat tersebut benar-benar bagus kerana mereka boleh meletakkan bayaran tinggi daripada klien dan bersikap selektif terhadap projek.
"Keadaan pasaran pula tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah pelajar yang bergraduat pada setiap tahun," ujarnya yang sudah berpengalaman 25 tahun dalam bidang tersebut.
Pada tahun 1997, beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak bagi membuka syarikat sendiri kerana permintaan terhadap projek landskap yang tinggi pada waktu itu. Namun, kegawatan ekonomi yang berlarutan sehingga tahun 2000 membuatkan syarikatnya tidak dapat bertahan.
Pada waktu genting tersebut, syarikat landskap yang menawarkan perkhidmatan jururunding tidak mampu menstabilkan syarikat manakala kontraktor landskap masih boleh bertahan dengan menurunkan harga pokok tanaman untuk meneruskan perniagaan.
"Tiada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan dan akta khas bagi seni bina landskap membuatkan sesetengah pemaju memilih jururunding landskap dengan bayaran paling rendah.
"Jika bidang ini sudah ada satu akta yang melindunginya, yuran perkhidmatan dijangka akan naik dan dapat diselaraskan. Ia akan memberi pulangan yang setimpal kepada jururunding," jelas graduan daripada Arizona State University ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: