Sunday, April 27, 2014

Nekad peluk Islam


  • Nekad peluk IslamSiti Aiyah dan Erika sentiasa mendapat nasihat dan bertemu rakan-rakan di Hidayah Centre.

KETIKA masyarakat bukan Islam ditakutkan dengan pelbagai dakyah yang kononnya Islam menyusahkan dan dianggap pengganas oleh kumpulan atau individu tertentu namun dua insan ini nekad memeluk Islam kerana Nur kurniaan ALLAH sudah berada dalam jiwa mereka.

Mereka mengakui,  tidak sukar  memeluk Islam kerana ramai yang bersedia membantu namun ujian ALLAH tetap ada untuk menguji sejauh mana kesetiaan umatnya sebelum pahala berganda diterima akhirnya.

Dalam pertemuan bersama Sinar Harian, Siti Aisyah Tan Abdullah, 35 dan Erika Abdullah, 35, tidak putus-putus mengucap syukur kerana diberi Hidayah biarpun dimarahi rakan dan keluarga.

Namun itu semua hanya permulaan kerana mereka mungkin tersalah anggap bahawa Siti Aisyah dan Erika akan terus melupakan rakan-rakan dan keluarga tetapi hakikatnya seperti ajaran Islam, silaturrahim itu umpama ‘tali’ penyambung ke syurga.

Tidak pernah lupa keluarga

Mereka tidak pernah melupakan keluarga dan berhubung rapat biarpun kini sudah menganut Islam.

Siti Aisyah atau nama asalnya, Tan Lay Kun memeluk Islam kerana hatinya terpaut  dengan sikap individu Muslim yang lemah lembut, wanita Islam yang tidak mendedahkan aurat,  solat dan paling disenanginya ialah Muslim yang sentiasa menjaga kebersihan.

Katanya, tiada orang lain yang mengajaknya memeluk Islam tetapi mungkin hidayahNya sampai, dia mengucap Kalimah Syahadah pada usia 22 tahun ketika bekerja sebagai  promoter di sebuah pasaraya di Negeri Sembilan.

“Saya cukup tertarik dengan seorang rakan yang menyewa sebilik dengan saya. Dia sangat pembersih dan menutup aurat selain sentiasa berpakaian kemas,” katanya yang tinggal bersama enam lagi rakan lain di rumah sewa ketika itu.
Aisyah berkata, keluarganya tidak menentang hasratnya tetapi banyak memberi nasihat supaya tidak meninggalkan agama asal dan berkali-kali memberitahunya supaya tidak menyesal dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, dugaan ALLAH tiba selepas Aisyah berkahwin dan mendapat dua cahaya mata tetapi atas kesedaran itu, dia perlu kuat untuk meneruskan hidup.

“Ibu mertua menolak saya dalam keluarganya sebelum saya dan suami berpisah selepas empat tahun berkahwin dengan dua anak ditinggalkan tanpa sebarang perkhabaran dan nafkah,” katanya.

Justeru, Aisyah berhijrah ke Kuantan dan meneruskan hidup sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya di Jalan Gambang dan atas dasar keyakinannya pada rezeki ALLAH, dia menguatkan semangat dan membesarkan anak-anak supaya menjadi Muslim sejati dengan pendidikan terbaik.

Rakan penguat semangat

Aisyah juga bersyukur kerana dipertemukan dengan rakan dari Hidayah Centre yang banyak memberi tunjuk ajar supaya dia tidak menoleh ke belakang dan meneruskan kehidupannya sebagai Muslim.

Rakannya yang ditemui di Hidayah Centre, Erika pula tidak menafikan tertarik dengan Islam selepas melihat contoh murni masyarakat Islam yang bertutur dengan baik, memberi salam dan paling menarik perhatiannya ialah mencium tangan ketika bersalam.

Erika jujur memberitahu, dia pada mulanya tidak suka mendengar azan yang dirasakan menakutkan tetapi  enggan menceritakan kepada sesiapa.

Bagaimanapun, ketika menyewa bersama keluarga atas dasar tugas, Erika sekali lagi tertarik dengan amalan mereka.

“Mereka berpuasa dan saya segan untuk makan dan keluarga itu sangat menjaga adab sopan menyebabkan hati saya mahu mendalami lebih banyak mengenai agama ini,” katanya.

Alami mimpi aneh

Katanya, hidayah ALLAH tiada siapa yang tahu sehingga dia bermimpi ada seorang wanita yang berpakaian hitam di kaki dan ingin mengganggunya namun pada masa sama ada wanita berpakaian putih berdiri di bahagian kepalanya.

“ALLAH benar-benar melembutkan hati  saya untuk mempelajari Islam. Saya menghubungi seorang rakan dan memberitahunya untuk belajar mengaji al-Quran,” katanya.

Katanya, cabaran selepas memeluk Islam tetap ada kerana percaya ALLAH menguji hambaNya kerana sayang pada mereka.

“Dugaan besar saya selepas saya memakai  tudung. Keluarga tidak suka sama sekali dan menuduh saya fanatik Islam sehingga sanggup mengenakan tudung yang dilihat sebagai pengganas. Ketika itu mereka tidak faham tetapi kini semuanya sudah berlalu dan kami akan sentiasa berhubung,” katanya.

Erika juga bertuah kerana  perkahwinannya dengan kakitangan kerajaan diterima baik keluarga lelaki itu dan kini mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: