Sunday, April 27, 2014

Cinta Instagram Nina Iskandar


NINA ISKANDAR tekad melupakan pelajaran semata-mata mahu bergelar pelakon sepenuh masa.


PENDATANG baharu, Nina Iskandar juga mahu menjadi bunga yang mekar dalam industri seni apabila dia nekad berhijrah melebarkan sayap di Malaysia.
Percubaan pucuk muda dari Bandar Seri Begawan, Brunei itu bagaiamanapun harus melalui episod panas. Belum lagi kerjaya lakonannya mencuri perhatian, namun sensasi cintanya meluru menjaja namanya.
Mula-mula dibakar gosip cinta bersama anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu Muhammad Adib, Nina kemudiannya memperjudikan populariti apabila mendedahkan kekasih terbaharunya, Ahmad Heikal, 30.
Pelakon filem Muka Surat Cinta dan Lu Gua Bro itu membuat kejutan apabila nekad mengambil keputusan untuk bertunang dengan kekasihnya, Ahmad Heikal yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Tambah Nina, dia juga tidak kisah untuk berhenti berlakon selepas mendirikan rumah tangga kelak. Pasangan yang berkenalan menerusi laman sosial Instagram sejak November tahun lalu sudah bersedia untuk mengikat tali pertunangan.
"Sebenarnya isu Heikal melarang saya untuk berlakon sebaik kami mendirikan rumah tangga hanya satu salah faham. Perkara tersebut sebenarnya boleh dibawa berbincang.
"Malah, saya bukan akan berkahwin dalam masa terdekat. Tetapi dalam kehidupan ini saya perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan kerana setelah saya berkahwin syurga isteri itu terletak di bawah tapak kaki suami," lenturnya memulakan mukadimah.
Menambah nilai sensasi, kekasihnya itu dikatakan pernah mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon Hanis Zalikha dan Yana Samsudin suatu dahulu. Nina ternyata tidak melatah ketika ditebak gosip tersebut.
"Ya. Saya tahu perkara tersebut. Sepanjang perkenalan kami yang belum mencecah setahun ini kami sentiasa bersikap jujur. Tidak ada apa yang dirahsiakan antara kami.
"Saya percaya bahawa setiap insan pasti ada masa silamnya. Malah, dia juga tahu tentang gosip saya dahulu. Disebabkan itu juga, kami masih kekal sehingga sekarang kerana kami mengamalkan sikap percaya antara satu sama lain.
"Insya-Allah, kami akan bertunang pada bulan Ogos ini. Walaupun masih baharu dalam industri seni tapi saya berasakan itu semua sudah takdir dan rezeki yang sudah tertulis buat diri saya," tuturnya.
Permulaan karier
Bercerita mengenai permulaan karier Nina di negara ini. Dia mengakui disunting oleh penerbit terkenal, David Teo, juga menerusi laman sosial Instagram.
Selepas menghantar portfolio ke syarikat Metrowealth International Group (MIG) dan dipanggil untuk sesi uji bakat. Akhirnya pemilik nama sebenar Nur Akmalina Iskandar itu ditawarkan menjadi artis di bawah naungan syarikat produksi MIG selama lima tahun.
"Siapa sangka nasihat daripada seorang sahabat dari Malaysia yang memperkenalkan syarikat produksi MIG telah membuka rezeki dan peluang kepada saya untuk menjadi pelakon.
"Biarpun di Brunei saya sudah bergelar pelakon sejak 2011 tetapi di sana kerjaya lakonan itu dianggap sebagai hobi atau kerjaya sambilan sahaja," jelas Nina yang mempunyai pengalaman bergelar pelakon drama di Brunei.
NINA ISKANDAR kini bernaung di bawah syarikat MIG selama lima tahun. Terbaharu Nina muncul dalam filem Sniper yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 24 April lalu.


Malaysia Hollywood Asia
Tambah wanita genit berumur 23 tahun itu, disebabkan tawaran yang diberikan oleh MIG dia tekad melupakan soal pelajaran semata-mata mahu mengejar cita-cita yang diimpikan sejak di bangku sekolah.
"Ketika melanjutkan pelajaran dalam jurusan pengurusan perniagaan saya tekad untuk mengejar impian bergelar pelakon yang disegani dan berbakat.
"Bagi saya pelajaran itu tiada had umur. Saya boleh menuntut ilmu bila-bila masa sahaja tetapi buat masa sekarang tumpuan saya lebih terarah kepada dunia lakonan," katanya yang pernah mendapat tawaran biasiswa itu.
Tambah Nina: "Dalam kehidupan ini kita wajar mengikut kehendak hati kerana mengapa perlu memaksa diri untuk belajar sedangkan misi utama mahu menjadi pelakon. Malah, peluang yang diberikan itu hanya datang sekali dalam hidup".
Mengulas mengenai kerjaya dalam industri seni, kata Nina, kerjaya seni lakonan di Malaysia jauh berkembang jika mahu dibandingkan di negaranya.
"Apabila saya bekerja dengan syarikat produksi di Malaysia, perkara pertama saya lihat ialah cara mereka bekerja. Saya begitu kagum kerana mereka begitu serius dalam bidang seni.
"Di Brunei hanya 10 peratus sahaja yang berminat dengan dunia hiburan manakala selebihnya akan fokus dengan pelajaran," katanya.
Tambahnya lagi, Nina beranggapan Malaysia tidak ubah seperti Hollywood Asia. Buktinya banyak filem yang dihasilkan serta industri perfileman di Malaysia juga semakin maju.
Kikis rasa malu
"Saya berminat menyertai dunia lakonan di Malaysia kerana saya fikir Malaysia seperti Hollywood Asia. Peluang untuk memasuki dunia lakonan itu begitu luas dan mampu menjadi profesion yang serius.
"Selain itu, saya juga membawa nama saya dari Brunei ke Malaysia sebagai salah satu platform untuk mengembangkan bakat lakonan saya," tutur Nina yang gemar menonton filem Bollywood.
Mengaku masih kaku dan banyak teknik lakonan yang perlu diperbaiki, Nina menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian dalam dunia teater.
"Saya akui kali pertama berlakon di sini saya agak kaku. Namun, saya ada terfikir untuk menyertai sesi latihan teater untuk memperbaiki mutu lakonan saya untuk masa akan datang.
"Bagaimanapun untuk drama bersiri Jika Itu Takdirku, saya menerima maklum balas yang positif daripada penonton. Sedikit sebanyak komen tersebut memberikan saya keyakinan dan motivasi untuk memberikan persembahan yang terbaik selepas ini," katanya.
Sementara itu, sifat pemalu dan pendiam ketika sesi penggambaran filem mahupun drama yang dibintangi merupakan satu masalah besar yang sedang dihadapinya.
"Kadangkala saya cuba menepis dakwaan apabila dikatakan pemalu dan pendiam. Apabila mempunyai waktu rehat saya banyak bercakap dengan kru produksi supaya tanggapan mereka terhadap diri saya sebenarnya salah.
"Malah, saya juga banyak memperoleh ilmu ketika sesi penggambaran kerana saya mahu menjadi seorang pelakon yang disegani dan diterima oleh peminat," katanya.
Terbaharu Nina muncul dalam filem arahan Piere Andre, Sniper yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 24 April lalu. Akan datang, Nina juga bakal muncul dengan sebuah lagi filem terbitan MIG berjudul Pengantin Malam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: