|
RUTIN Muhammad Yahya setiap kali cuti sekolah adalah membantu pengusaha gamat kampung di Beras Terbakar, Langkawi, Kedah. Minat terhadap timun laut itu juga mendorongnya memulakan perniagaan gamat kecil-kecilan selepas tamat persekolahan.
Pengalaman muda selama lima tahun yang dikutip Muhammad dijadikan sandaran bagi membangunkan perusahaan gamatnya pada penghujung tahun 1999. Ekoran pengembangan potensi dan peningkatan permintaan, anak jati Langkawi itu nekad memperbesarkan perniagaannya.
Kini, Muhammad, 41, berpuas hati dengan syarikat pengeluaran dan pemprosesan gamat di bawah Nusantara Maju Enterprise (Nusantara Gamat) yang membangun sebagai salah sebuah perusahaan berasaskan gamat terbesar di pulau legenda itu.
Dua dekad bergelumang dengan gamat, Muhammad menyaksikan sendiri peralihan fasa industri produk berteraskan gamat. Dahulu, bekalan hidupan laut itu diperoleh terus dari Langkawi tetapi sejak kebelakangan ini corak bekalan telah berubah.
Pesaing
"Orang Langkawi dahulu cari gamat guna bot sahaja. Selalunya ia mudah dijumpai bawah batu karang dan pasir. Bila air cetek pula ia boleh dikutip di pantai sebab bilangannya banyak.
"Sekarang bekalan gamat diambil dari Thailand. Gamat mereka memiliki kualiti yang sama kerana perairannya berhampiran Langkawi.
"Namun pengusaha tempatan kini berdepan saingan daripada negara luar terutamanya China dan Taiwan. Harga pasarannya juga meningkat daripada RM100 untuk 1 kilogram (kg) kepada RM200 bagi berat serupa," jelas Muhammad yang memberitahu, beberapa pulau di Langkawi seperti Pulau Payar dan Pulau Singa Besar telah diwartakankan untuk tujuan perlindungan gamat.
Di Malaysia terdapat 40 spesies timun laut telah direkodkan tetapi masih banyak yang belum dikenal pasti. Berdasarkan kajian terkini, Langkawi sahaja mencatatkan lebih 12 spesies gamat.
Gamat daripada spesies Holothuria Scabra yang dikenali sebagai teripang atau balat putih di Sabah merupakan spesies paling bernilai di Langkawi. Ekoran peratusannya yang kian menurun, Jabatan Perikanan Malaysia mula menjalankan kajian ke atasnya bermula tahun 1985.
Aktiviti perikanan menggunakan alat tunda siput bagi menangkap gamat dan pembangunan resort di pinggir pantai menjadi antara punca utama kepada penjejasan populasi spesies tersebut.
Meskipun tidak tersenarai dalam Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), realitinya teripang memang berisiko untuk pupus.
Pegawai penyelidik dari Pusat Marikultur, Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi, Zaidnuddin Ilias meletakkan status spesies gamat itu di antara tahap sederhana (sukar diperoleh) dan teruk (bilangan amat sedikit).
Populasinya di habitat asal tidak cukup untuk menampung keperluan industri dan hanya boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan.
Hasil mesyuarat bersama CITES pada tahun 2003, negara yang diancam penurunan drastik gamat perlu menjalankan projek pemuliharaan dan akuakultur. Di Langkawi sendiri, usaha mewartakan beberapa pulau seperti Pulau Singa Besar adalah usaha kerajaan bagi melindungi gamat.
Kandang
"Namun gamat di pulau itu banyaknya daripada spesies gamat emas yang digunakan untuk dijadikan minyak gamat. Bagi tujuan komersial, teripang lebih bernilai dengan harga mencecah RM500 bagi 1kg selepas dikeringkan.
"Gamat emas dijual pada sekitar RM160 hingga RM180 untuk 1kg (kering) dan ia (yang hidup) boleh hancur jika dipegang untuk tempoh 30 saat," ujar Zaidnuddin ketika ditemui Kosmo! di pusat pembiakan gamat di Jeti Teluk Ewa, Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat, Langkawi.
Sebagai penggerak kepada pembiakan gamat Langkawi, Jabatan Perikanan telah memulakan projek kandang gamat di Pantai Teluk Yu sejak tahun 2010. Kandang berkeluasan dua hektar itu akan menempatkan kira-kira 20,000 teripang untuk pembiakan bagi projek pengkomersialan akuakultur.
Disifatkan sebagai fasa prakomersial, projek penyelidikan itu bakal menjadi kayu ukur kepada keberkesanan formula pembiakan teripang sebelum ia dikembangkan ke tempat lain.
Menerusi akuakultur Holothuria Scabra yang banyak dijalankan di Sabah, gamat akan dikandangkan sama ada secara semula jadi (di laut) atau dalam kolam buatan untuk pembiakan. Hasilnya kemudian akan dieksport ke luar negara.
Berdasarkan jangkaan di atas kertas, projek akuakultur itu mampu menjana keuntungan lumayan. Justeru, keputusan eksperimen awal yang dilakukan Jabatan Perikanan itu kini bakal menjadi penentu kepada kelulusan projek itu untuk diadaptasi ke peringkat nasional.
Tidak makan
Kos pembiakan gamat juga dikatakan tidak mahal kerana hidupan laut itu tidak perlu diberi makan. Pengusaha hanya perlu memperuntukkan kos bagi kandang, benih dan upah pekerja untuk menjaga dan mengutip parasit serta pemangsa gamat.
Jelas Zaidnuddin, prosedur membiak gamat perlu dijalankan mengikut tertib. Daripada anggaran sejuta telur gamat, hanya dua peratus atau 20,000 berjaya menjadi larva dan seterusnya berubah kepada anak gamat.
Pada peringkat awal, anak gamat gemar memanjat sama ada pada pukat atau dinding kolam. Apabila ia tidak lagi memanjat, barulah gamat peringkat juvenil dimasukkan ke dalam kandang iaitu ketika beratnya mencecah lebih 5 gram.
Begitupun, sebelum dilepaskan, faktor-faktor seperti kualiti air, kadar kemasinan, keberadaan pemangsa seperti ketam dan udang perlu diambil kira. Ia penting bagi membolehkan anak gamat mengadaptasi suasana sekitar.
|
Jika ia tidak menepati habitatnya, gamat boleh tertekan dan mengundang penyakit kulit hingga kulitnya tertanggal dan mati.
Kadar kemasinan tinggi dengan suhu air sekitar 25 hingga 28 darjah Celsius adalah yang terbaik untuk gamat. Ia merupakan spesies yang mampu bertahan pada kadar kemasinan mencecah 40 bahagian perseribu (ppt).
Berdasarkan laporan dari negara lain, apabila kadar kemasinan air menurun, gamat akan bersembunyi di dalam pasir.
"Gamat akan keluar dari pasir sekitar pukul 10 pagi. Pada waktu malam hingga awal pagi ia akan duduk dalam pasir. Air pasang surut juga mempengaruhi faktornya untuk keluar.
"Apabila di dalam pasir, gamat dapat membersihkan kulitnya daripada parasit dan siput-siput kecil. Teknik ini juga menjadi perlindungan kepadanya kerana ia tidak boleh bergerak pantas.
Ironinya, projek pembiakan gamat ke arah membudayakan program akuakultur di negara ini dilaksanakan berdasarkan perkembangan pesat industri gamat di Asia Tenggara dan selatan China.
Guangdong di China antara wilayah utama republik itu yang mengimport gamat dari negara-negara Asia Tenggara. Singapura juga tidak terkecuali mengimport gamat dengan membeli pada harga rendah sebelum mengeksport semula ke luar negara pada nilai pasaran antarabangsa yang tinggi.
Pasaran
Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Century Marine Products Sdn. Bhd., Keith Ng mendedahkan, kedua-dua gamat hidup dan kering dieksport ke China untuk industri makanan.
Gamat hidup selalunya disiang terlebih dulu sebelum dimasak untuk dijadikan stimbot, sup dan stu. Musim permintaannya melonjak apabila perayaan Tahun Baru Cina menghampiri.
Difahamkan, kebanyakan restoran di sana telah menggantikan menu sup sirip ikan yu kepada gamat. Ia ekoran tekanan dan sokongan pelbagai pihak yang mendesak pengusaha restoran menghentikan penjualan sup sirip ikan yu bagi melindungi spesies marin terancam itu.
"Mengikut kepercayaan orang Cina, terdapat empat jenis makanan laut yang paling berharga iaitu abalon, timun laut, sirip ikan yu dan maw ikan. Jadi gamat mempunyai nilai komersial yang tinggi malah ia telah menjadi amalan tradisional orang Cina sejak zaman dahulu.
"Harganya juga berpatutan, tidak seperti sup sirip ikan yu yang mencecah RM800 ke atas untuk hidangan satu meja 10 orang," kongsi Keith yang menambah pasaran gamat berkembang pesat di China sejak tiga dekad lalu.
Century Marine Products yang berpangkalan di Pulau Pinang merupakan syarikat pembekal produk marin kering di Malaysia khususnya timun laut bergred premium.
We are really grateful to you for choosing to write on this topic
ReplyDelete