Monday, April 28, 2014

Kejutan Disember Hans Isaac

PADA usia 42 tahun, Hans Isaac sudah cukup bersedia untuk berumah tangga selepas berasa semua keperluan untuk bakal isterinya sudah ada.


SEJAK mula menerbit dan mengarahkan filem Lemak Kampung Santan, nama Hans Isaac sudah mula dikaitkan dengan heroinnya, pelakon dan pengacara, Neelofa.
Bagaimanapun, tidak pernah ada kata putus yang keluar daripada mulut mereka berdua tentang status hubungan yang digembar-gemburkan itu.
Hans yang ditemui pada majlis pelancaran portal mStar Online baru-baru ini memberitahu, dia enggan lagi berkongsi kisah peribadi bersama peminat selepas kontroversinya bersama pelakon Erra Fazira beberapa tahun lalu.
“Sebelum ini saya terbuka, lihat apa yang berlaku. Saya balik yang kena. Sekarang, saya tidak mahu berkongsi siapa kekasih saya atau status hubungan saya dengan seseorang.
“Bagi saya cinta itu kehidupan peribadi yang tidak perlu dikongsi dengan orang ramai. Rasanya saya tidak pernah membawa wanita ke acara hiburan. Jika saya mahu menghabiskan masa bersama lebih baik saya bercuti ke luar negara, tiada siapa tahu,” ujarnya.
Hans yang mengaku sedang bahagia bersama seseorang memberitahu, dia bakal mengumumkan berita penting berkaitan kehidupan peribadinya pada Disember depan.
Disoal adakah ia tentang perkahwinan bersama Neelofa? Hans hanya mampu tertawa.
Katanya: “Dalam hujung tahun ini, pada bulan Disember semua orang akan tahu keputusan itu.”
Sambung pemilik nama sebenar, Gerald Hans Isaac, 42, pada usianya sekarang, dia sudah lama bersedia untuk bergelar suami dan menjalani kehidupan berumah tangga.
“Memang saya sudah lama bersedia untuk berkahwin. Namun, sebelum berkahwin banyak persediaan yang harus disiapkan seperti membina rumah yang selesa untuk kehidupan berkeluarga.
“Selain itu, saya juga harus mempunyai tahap ekonomi yang cukup kukuh untuk menampung keluarga. Saya tidak mahu bakal isteri dan bakal anak saya hidup susah,” balasnya.
Disebabkan itu, Hans kini bekerja keras bukan sahaja dalam bidang seni, sebaliknya dia juga melibatkan diri dalam perniagaan hartanah di Selangor.
HANS tidak menyatakan dia bakal berkahwin dengan Neelofa, namun banyak pihak beranggapan begitu kerana mereka kononnya merupakan pasangan kekasih.


Sungguhpun begitu, kata Hans, dia kini bekerja secara bijak kerana mahu menjaga kesihatan. Setiap hari dia hanya berada di pejabat selama tiga jam sahaja manakala lebihan masa yang ada dihabiskan di padang golf atau merehatkan diri.
“Cukuplah saya bekerja bagai orang gila sebelum ini. Tidur tidak cukup, kesihatan tidak terjaga. Saya tidak mahu menjalani kehidupan seperti itu lagi.
“Sekarang saya mahu menjalani kehidupan yang tenang, supaya apabila saya berkahwin kelak, saya akan mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga daripada keluar bekerja,” ujarnya.
Filem antarabangsa
Selepas kegagalan filem Lemak Kampung Santan, Hans telah mengumumkan bahawa dia enggan lagi menerbit dan mengarahkan filem Melayu selepas ini.
Masih berpegang dengan kata-katanya, Hans mengakui yang dia kini beralih arah untuk menerbitkan filem berbahasa Inggeris untuk pasaran Singapura.
“Filem ini berkisar tentang kehidupan ibu saya dan menggunakan bahasa Inggeris seratus peratus. Saya masih menggunakan pelakon Malaysia tetapi ia akan dipasarkan di Singapura terlebih dahulu.
“Sekarang sasaran saya adalah peringkat antarabangsa. Jika ada pawagam tempatan yang berminat mungkin filem itu akan ditayangkan di Malaysia,” ucapnya.
Dalam perkembangan lain, Hans berkata, dia bakal mementaskan semula Teater Muzikal Supermokh pada 8 hingga 21 September depan di Istana Budaya dengan harga tiket yang lebih murah.
“Teaternya sama sahaja dengan apa yang dipertontonkan sebelum ini. Cuma kami memperbaiki dan memendekkan mana-mana adegan yang dirasakan terlalu panjang,” katanya.
Sebelum itu, syarikatnya Tall Order Productions terlebih dahulu akan mementaskan teater Rejang Sebuah Muzikal yang mengangkat sejarah negeri Sarawak pada 20 Mei depan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: