Thursday, April 24, 2014

Sut lycra ketat ahli zentai



SELAIN aktif di laman sembang internet, kumpulan zentai juga sering mengadakan perjumpaan antara mereka.


PADA waktu siang, Hokkyoku Nigo berpakaian sopan dengan mengenakan solekan dan gaya rambut sederhana sesuai dengan imej gadis berusia 20-an yang bekerja sebagai seorang kerani.
Namun, penampilannya berubah pada waktu malam. Dia memakai pakaian ketat diperbuat daripada fabrik spandeks yang melekap ditubuhnya termasuk kedua-dua mata.
Setelah berpakaian seperti itu, dia pergi ke bar seorang diri tanpa mempedulikan pandangan orang lain terhadap penampilannya.
Menurut Hokkyoku, dengan wajahnya yang tertutup, dia tidak boleh makan atau minum seperti pelanggan lain di bar itu.
"Penampilan seharian membuatkan saya merasa tidak selesa. Ada yang memberitahu saya comel dan naif. Namun, saya selesa menjadi diri sendiri pada waktu malam dengan berpakaian seperti ini," jelasnya.
Fesyen pelik
Hokkyoku merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan zentai iaitu singkatan zenshintaitsu yang bermaksud sut di seluruh badan. Mereka obses dalam berpakaian fesyen pelik berwarna-warni.
Kebanyakan ahlinya mengatakan bahawa mereka mencari kebebasan berfesyen.
Kumpulan tersebut aktif menggunakan laman sembang internet iaitu Kelab Tokyo Zentai untuk mengumpul ahli. Seramai 10 orang ahli baharu berjaya dikumpul setiap bulan.
Tidak seperti kumpulan lain yang gemar berparti, zentai memakai pakaian ketat fabrik lycra yang menutupi bahagian kepala hingga kaki mereka.
Seorang ahlinya, Hanaka, 22, memberitahu, dia terpikat dengan pakaian adi wira seperti seorang kanak-kanak. Dia yang mengetahui maklumat mengenai kelab tersebut daripada teman lelakinya Popo yang berusia 25 tahun.
"Semasa saya berumur 13 atau 14 tahun, saya mencuba untuk menjahit sut yang meliputi seluruh badan. Namun, saya berhenti separuh jalan kerana terfikir telah melakukan sesuatu yang pelik.
"Saya berasa amat gembira apabila mengetahui ada golongan yang mempunyai minat yang sama menerusi forum itu," ujar Tanaka yang sering hadir dalam acara Kelab Tokyo Zentai bersama Popo.

WALAUPUN pelik, setiap ahli kumpulan zentai bangga mempamerkan ekspresi mereka terhadap fesyen.


Walaupun hobi tersebut masih dianggap baharu di negara itu, fesyen tersebut sebenarnya adalah penampilan yang jarang dilihat dalam kebudayaannya.
Pemakaian zentai juga merupakan cara ahli kumpulan tersebut melahirkan rasa hormat kepada adi wira kegemaran mereka.
Seorang lelaki memakai kostum Power Ranger menjadi bualan masyarakat di Jepun apabila membantu golongan ibu-ibu muda membawa bayi ketika menuruni tangga di kawasan kereta api bawah tanah.
Walaupun melakukan perbuatan baik ketika memakai sut itu, namun ada yang memberitahu bahawa pemakaian itu mempunyai unsur seksual.
Seorang guru, Nezumiko, 36, berkata, dia gemar menyentuh dan mengusap orang lain.
"Saya juga suka apabila orang lain menyentuh dan mengusap diri ini. Apabila memakai sut ini, saya dapat memegang orang lain selain melihat mereka.
"Saya bukan seorang lesbian tetapi tidak kisah menjadi wanita seperti ini. Perasaan sebagai seorang zentai berbeza daripada mereka yang mempunyai nafsu normal," jelasnya.
Cari identiti
Seorang ahli akademik Universiti Tokyo Mirai, Ikuo Daibo pula menjelaskan, peminat zentai seolah-olah kurang jelas dan tercari-cari untuk menyatakan identiti mereka dalam cara berbeza.
"Di Jepun, ramai orang yang berasa bingung dan tidak dapat mencari identiti mereka dalam masyarakat. Mereka juga mempunyai ramai ikon tetapi tidak tahu untuk memilih yang sesuai," ujarnya.
Jelasnya, ahli zentai percaya ia mampu menarik orang ramai mengenali mereka bukan kerana paras rupa dan penampilan. Ia juga satu cara yang sangat menarik dalam berkomunikasi.
Seorang pengamal fesyen zentai sejak 20 tahun lalu, Alice Omori, 40, bersetuju dengan pendapat Ikuo.
Alice juga menjalankan perniagaan servis menjahit pakaian di internet kepada pengikut kumpulan zentai.
"Anda akan merasa lebih baik dan gembira apabila memakai sut ini. Ia merupakan satu perkara yang menakjubkan," jelasnya yang juga memakai sut ketat ketika ditemuramah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: