- Suriana bersama tiga anaknya terpaksa tinggal di pondok kecil itu bagi meneruskan kehidupan setelah ditipu rakan suami.
SABAK BERNAM – Seorang wanita dalam pantang tujuh hari terpaksa tinggal
di sebuah pondok sempit di ceruk belakang sebuah restoran di sini,
gara-gara ditipu rakan suaminya yang kononnya menjanjikan pekerjaan di
Sabak Bernam.
Suriana Sufi, 24, berkata, dia yang baru bersalin anak ketiga Jumaat
lalu, terpaksa hidup merempat bersama suami, Zameri Mohd Nor, 45 dan dua
lagi anaknya di pondok itu yang sebelum ini digunakan pekerja restoran
untuk menunaikan solat.
Menurutnya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori
terpedaya dengan janji manis yang ditabur seorang rakan kira-kira empat
bulan lalu hingga Zameri mengambil keputusan berhenti kerja.
“Dulu kami duduk Klang, tapi kawan suami ajak kami tinggal dekat Sabak
Bernam sebab dia cakap banyak kerja dekat sini, tapi bila sampai sini
semuanya berubah,” katanya kepada Sinar Harian.
Lebih mengecewakan Suriana berkata, sehingga kini rakan suaminya itu
menghilangkan diri dan gagal dihubungi hingga memaksa suaminya itu
bekerja mengambil upah mengikut kontraktor membuat rumah.
“Pendapatan pun tentu, kadang-kadang dia terpaksa kerja dekat restoran,
kami pula terpaksa hidup dalam pondok ini sejak tiga minggu lalu sebab
tak ada duit,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia menyewa sebuah rumah kampung di Batu 40
Sabak Bernam, namun rumah terbabit yang turut dihuni warga asing itu
diserbu Jabatan Imigresen hingga memaksa rumah itu dikosongkan.
“Masa mula sampai sini, kami sewa rumah itu RM150 sebulan dan sempat
tinggal lebih kurang tiga bulan sahaja sebelum diarahkan pindah.
“Nasib baik ada kawan suami yang kerja dekat restoran cadangkan pondok
ini jadi tempat berteduh kami, kalau tak kami pun tak tahu macam mana
nasib kami,” katanya.
Suriana berkata, walaupun tidak selesa tinggal di situ, tetapi dia
tetap bersyukur kerana pemilik restoran membenarkan mereka tinggal di
pondok itu, namun tetap berharap agar nasib mereka mendapat perhatian
pihak berwajib.
“Semalam (kelmarin) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang
melawat kami di pondok ini, mereka suruh kami buat permohonan bantuan
Lembaga Zakat Selangor (LZS).
“Saya amat harap sangat bantuan LZS untuk bantu ringankan beban kami, terutama dalam keadaan anak saya yang masih kecil.
“Walaupun dapat berlindung daripada hujan panas, tapi kami perlu juga
rumah yang lebih selesa. Saya pula masih dalam pantang, keraplah ke
bilik air, pondok ini pula tak ada tandas, terpaksa kami tumpang mandi
dan buang air dekat restoran ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: