Tuesday, April 29, 2014

Sajian taraf hotel di Saji



SUSUN atur meja dan kerusi di restoran itu biasa sahaja. Malah penggunaan payung, hiasan lilin di atas setiap meja tanpa sebarang dekorasi khusus juga meletakkan ia dalam kelompok warung tempatan standard.
Namun penilaian luaran itu sangat tidak wajar untuk Restoran Saji. Meskipun tidak gah dari segi bangunan, ia cemerlang dalam penyediaan, kualiti dan kuantiti setiap hidangan.
Sejak dibuka enam tahun lalu, Saji menjadi bualan penduduk di sekitar Pulau Langkawi, Kedah. Lokasinya di Kompleks Jeti Pelancongan, Kuah juga menjadi kelebihan buatnya dari sudut nilai pemandangan alam.
“Saji berlatarbelakangkan Dataran Helang dan menjelang senja, restoran kami penuh dengan pelancong asing yang ingin menyaksikan detik matahari terbenam,” kongsi pemilik restoran itu, Mohd. Nasir Mustafa.
Sebagai bekas chef di sebuah resort bertaraf lima bintang selama hampir 15 tahun, Nasir bijak mengadaptasi pengalamannya bagi menghasilkan sajian eksklusif yang berpatutan.

STIMBOT yang disediakan Saji kini menjadi tarikan hangat.


Menu berkonsep Continental merangkumi makanan laut dan barat menjadi identiti Saji. 90 peratus hidangan di Saji diubahsuai daripada resipi hotel. Justeru, tidak mustahil pelanggan dapat menemui menu kreatif menyelerakan yang tidak diperoleh dari restoran tempatan lain.
Kupang yang ditabur sos barbeku antara menu wajib dicuba pelanggan. Sos barbeku hidangan istimewa itu dihasilkan sendiri Nasir menggunakan rempah Cajun.
Tarikan terkini Saji ialah stimbot. Sajian yang kebiasaannya disediakan restoran Cina itu mendapat sambutan luar biasa pelanggan termasuk pelancong dari China. Tidak ketinggalan, ketam atau udang karang yang dimasak bersama serbuk kari yang turut mendapat permintaan tinggi.
Restoran yang mampu memuatkan 300 orang dalam satu-satu masa itu juga menawarkan variasi stik pada harga rendah. Stik daging batang pinang misalnya boleh dinikmati hanya pada harga RM24.
Pilihan sajian barat lengkap juga ditawarkan meliputi pembuka selera yang terdiri daripada tiga jenis salad, sup, sajian utama dengan lapan pilihan dan pencuci mulut istimewa berupa tapai ais krim atau penkek ais krim.
KUPANG bersama sos barbeku ini antara hidangan yang wajib dicuba.


Nasi bujang senang
Mereka yang berselera Melayu pula disarankan mencuba kerabu perut. Saji berjaya mengimbangi keseragaman saiz hirisan dan kelembutan tekstur perut yang disediakan. Dua kesepadanan ini sering gagal ditampilkan kebanyakan restoran tempatan.
Begitupun, bintang menu tempatan di Saji ialah nasi bujang senang. Sajian ringkas itu terdiri daripada set nasi putih bersama sambal belacan, daging rebus, sup dan telur dadar. Menariknya, sup yang disediakan merupakan air daripada rebusan daging pelanggan tersebut.
Bagi mengikis kebiasaan memesan sayur-sayuran seperti kailan ikan masin atau kangkung belacan, Saji menambah seleksi sayuran buat pelanggan mereka. Brokoli bersama cendawan hitam dan kupang abalone antara menu sihat yang menerima pujian ramai.
Tidak lengkap jelajah gastronomi anda di Saji jika tidak menikmati minuman lassi buah-buahan. Sama ada anda memilih lassi mangga, kiwi atau pisang, kepekatan dan kemanisan minuman itu pasti melegakan dahaga.
“Lassi buah-buahan kami dihasilkan menggunakan lebihan buah yang dikisar pada awal pagi untuk dijadikan jus. Ia kemudiannya dikisar sekali lagi bersama yogurt, susu cair dan ais,” terang Nasir, 39, ketika ditemui Kosmo! di restorannya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: