Sunday, April 27, 2014

Bekas penyiar Radio Malaya dapat PhD pada usia 93 tahun



KIRKBY (empat dari kanan) berdiri semasa Majlis Konvokesyen di Universiti Sydney di Sydney pada 23 April lalu.


MELBOURNE, Australia - Bekas penyiar Radio Malaya, Elisabeth Kirkby mencatat rekod sebagai siswazah tertua di Australia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) apabila beliau menerima ijazah itu daripada Universiti Sydney pada usia 93 tahun pada 23 April lalu.
Kirkby mendapat ijazah tersebut melalui tesis yang memberi fokus kepada kajian perbandingan antara Zaman Meleset (Great Depression) dan Krisis Ekonomi Dunia - dua keadaan yang beliau sendiri alami.
Bekas anggota parlimen daripada parti Demokrat yang lahir di Lancashire, England pada 1921 itu pernah menceburi pelbagai bidang kerjaya, termasuk berlakon sebagai Lucy Sutcliffe dalam siri drama televisyen popular 1970-an, Number 96, menjadi penternak biri-biri, peladang gandum dan wartawan.
Wanita yang mempunyai beberapa cicit ini pernah bertugas sebagai penyiar di Tanah Melayu/Malaysia dan Singapura selama 15 tahun selepas Perang Dunia Kedua, sebelum berhijrah ke Sydney pada 1965 untuk bertugas sebagai penyampai dengan ABC.
Dalam temu bual dengan akhbar The Australian baru-baru ini, beliau berkata: "Cinta kepada pelajaran adalah sesuatu yang penting. Saya selalu memberitahu orang bahawa mereka perlu mempunyai minat mendalam atau kecintaan terhadap sesuatu. Janganlah apabila bersara nanti, anda hanya bermain golf atau boling atau melepak dengan rakan-rakan sahaja.
"Anda kena buat sesuatu," kata isteri kepada wira kesihatan wanita dan pakar ginekologi terkenal pada 1970-an, Derek Llewellyn-Jones, yang juga pengarang buku Everywoman.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: