Sunday, April 27, 2014

Boneka bernyawa


BONEKA Robert sudah disimpan hampir 20 tahun di Muzium Fort East Martello di Florida, Amerika Syarikat.


BAGI sesiapa yang pernah berkunjung ke Muzium Fort East Martello di Florida, Amerika Syarikat (AS), anak patung berpakaian kelasi kapal yang diletakkan di dalam sebuah bekas kaca di ruang pameran muzium itu pasti mencuri perhatian.
Lebih menarik, ruang dinding di sekeliling bekas kaca itu dipenuhi dengan nota serta surat yang menyatakan permohonan maaf kepada boneka kelasi berkenaan.
Menurut cerita penduduk tempatan, patung yang digelar dengan nama Robert itu tidak suka gambarnya diambil.
"Anda perlu meminta izin terlebih dahulu sebelum mengambil gambarnya. Jika dia tidak benarkan, kepalanya akan seolah-olah berpaling ke arah lain.
"Sekiranya anda degil dan tetap mengambil gambarnya, kemungkinan anda akan terkena sumpahan boneka kelasi itu.
Ilmu hitam
"Itulah sebab pengunjung yang pernah mengambil gambar Robert tanpa kebenaran akan mengirim surat bagi memohon maaf kepadanya," cerita seorang penduduk, Alena.
Patung Robert yang disimpan di muzium tersebut sejak tahun 1994 itu dikatakan dimiliki oleh seorang budak lelaki bernama Robert Eugene Otto.
Pada tahun 1904, Otto menerima boneka kelasi itu daripada pembantu rumahnya sebagai hadiah hari lahirnya yang keempat. Otto menamakan anak patung itu sebagai Robert sempena namanya.
Menurut Alena, boneka itu dipercayai telah disumpah oleh orang gaji Otto yang mengamalkan ilmu hitam kerana tidak puas hati terhadap majikannya.
Sebulan selepas anak patung itu disimpan di rumah, keluarga Otto mula mendapat gangguan pelik dan menakutkan. Barang-barang di dalam rumah mereka tiba-tiba hilang dan ada yang rosak tanpa diketahui puncanya.
Apabila Otto ditanya kedua-dua ibu bapanya mengenai kejadian aneh tersebut, kanak-kanak itu hanya mendiamkan diri dan menyalahkan Robert atas apa yang berlaku.
PENGUNJUNG yang mengambil gambar boneka Robert tanpa kebenaran akan mengirim surat memohon maaf.


Bayi menangis
Selain itu, mereka juga diganggu hampir setiap malam dengan suara bayi menangis dan bunyi-bunyi lain yang menyeramkan seperti orang berjalan di dalam rumah.
"Otto juga sering berperangai pelik. Pernah satu ketika ibu bapanya terdengar perbualan anak mereka itu dengan seseorang di dalam bilik. Namun apabila disoal, Otto menjawab dia hanya berbual dengan Robert," kata Alena.
Setelah Otto meninggal dunia pada tahun 1974, patung Robert itu ditinggalkan di dalam loteng rumah berkenaan sehinggalah pemilik baharu membeli rumah tersebut.
Keluarga baharu yang mendiami rumah itu memiliki seorang anak perempuan berusia 10 tahun.
Beberapa hari selepas menduduki rumah itu, kanak-kanak itu menjerit ketakutan hampir setiap malam dan mendakwa Robert seperti hidup dan bergerak sendiri di biliknya.
Lebih menyeramkan, kanak-kanak itu turut mendakwa Robert mahu menyerang dan membunuhnya.
Akibat tidak tahan dengan gangguan Robert, boneka kelasi itu diserahkan kepada Muzium Fort East Martello dan masih dihujani misteri sehingga hari ini.
Selain Robert, sebuah lagi anak patung, Harold, turut dikatakan mempunyai roh dan amat ditakuti penduduk tempatan.
Harold dipercayai dijual di laman web eBay dan sering bertukar tangan kerana ia didakwa akan menghantui individu yang pernah memilikinya.
Sebelum dijual di laman web itu, Harold dibeli oleh seorang lelaki tempatan di pasar lambak di Webster, Florida, AS.
Menurut cerita seorang penduduk tempatan, Anthony, pemilik asal patung Harold itu membeli boneka tersebut untuk anak lelakinya yang baru lahir.
Malangnya, bayi itu meninggal dunia tidak lama kemudian kerana demam panas.
Selepas kematian bayi itu, bapanya menyimpan anak patung itu di dalam loteng di rumahnya selama lebih 60 tahun.
Dia kemudiannya mula diganggu kejadian aneh dan menyeramkan.
"Mereka sering terdengar bunyi seperti kanak-kanak menangis dan menyanyi dari atas loteng. Namun, apabila diperiksa, tiada apa-apa yang mencurigakan.
"Kejadian itu berlarutan sehingga keluarga itu terpaksa berjumpa dengan paderi bagi menyelesaikan masalah mereka," cerita Anthony.
Penduduk percaya tubuh patung itu sebenarnya dihuni oleh roh bayi pemilik asal boneka berkenaan.
"Selepas bayi itu mati, patung tersebut seolah-olah hidup. Ada beberapa orang mendakwa pernah ternampak patung itu mengerdipkan kelopak matanya," tambah Anthony.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: