Saturday, April 26, 2014

Peugeot 3008 tambat hati pengguna

KEMASAN krom yang ada pada SUV ini cukup untuk menampilkan imej sedikit mewah kepada Peugeot 3008 ini.


PADA tahun 2009 pengeluar kenderaan terkenal dari Perancis, Peugeot telah memperkenalkan model crossover 3008 ke pasaran global. Di Malaysia, model berkenaan dikelaskan sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Ketika itu, rata-rata pengguna di Malaysia memberikan respons negatif terhadap rekaan luaran model tersebut. Tetapi selepas dilancarkan beberapa tahun lalu di Malaysia, model itu mula diterima malah ia semakin kerap dilihat atas jalan raya.
Baru-baru ini bertempat di pusat beli-belah Queensbay Mall, Pulau Pinang, pengedar rasmi jenama kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) melancarkan versi naik taraf model 3008.
Nasim bercita-cita menjual 1,200 unit 3008 untuk tahun ini sekali gus menyumbang 18 peratus kepada keseluruhan jualan Peugeot.
Debut pertama Peugeot 3008 kepada umum ialah semasa Pameran Motor Franfurt ke-65 di Jerman pada September tahun lalu. Model itu didakwa dibina dengan kekuatan elegan serta gaya kontemporari.
Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George berkata, Peugeot 3008 dikenali sebagai sebagai SUV yang paling inovatif dalam kelasnya malah ia dianggap tanda aras baharu dalam segmennya.

PAPAN pemuka yang padat tetapi tidak berserabut memberikan satu mod Eropah didalam ruang kabin.


Katanya, model yang dipertingkatkan itu dibina atas prinsip-prinsip reka bentuk, teknologi dan fungsi serba mudah.
“Model ini penting dalam meningkatkan sasaran jualan Nasim sebanyak 7,000 unit pada tahun ini dengan menyasarkan pelanggan dalam kategori umur antara 30 dan 50 tahun.
“Model ini menawarkan elemen premium dengan ciri-ciri menarik dengan standard keselamatan tanpa kompromi,” katanya selepas melancarkan model itu.
Rekaan muka depan baharu yang direka semula dengan memasukkan jeriji dan kabut baharu bergaya dengan lampu Dynamic Bi-Xenon dengan LED.
Bumbung panaroma bersaiz besar juga membuatkan ruang kabin Peugeot 3008 ini kelihatan lebih luas terutamanya kepada penumpang di barisan kerusi belakang.
Selain itu, SUV ini juga didatangkan dengan teknologi Peugeot Park Assist untuk membantu pemandu meletak kenderaan melalui pengaktifan 10 unit sensor di belakang dan hadapan jentera. Teknologi Available Space Measurement (ASM) pula memberikan gambaran saiz tempat letak kereta yang sesuai dengan Peugeot 3008.
Berbanding dengan model sebelum ini, SUV yang dipertingkatkan ini dilengkapi dengan skrin tujuh inci dengan sistem navigasi yang boleh dilipatkan.

JIKA mahu membawa barang lebih, tempat duduk belakang boleh direbahkan.


Pandu uji
Selepas majlis pelancaran itu, penulis dan sekumpulan media diberi peluang untuk membuat pandu uji ringkas dari lokasi pelancarannya ke Hard Rock Hotel, Pulau Pinang.
Sesi pandu uji selama dua jam dengan setiap SUV dikongsi tiga wartawan permotoran.
Peugeot 3008 yang dikuasakan dengan enjin 1.6 liter turbo bertekanan tinggi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 165PS dan tork maksimum 240Nm. SUV ini mampu mencatat kelajuan dari titik pegun ke 100 kilometer sejam dalam masa 9.5 saat.

SAMSON (dua dari kanan) bergambar bersama Ketua Pengarah ASEAN Countries Automobiles Peugeot, Lionel Faugeres selepas majlis pelancaraan baru-baru ini.


Penggunaan petrol purata yang dicatatkan ialah 7.7 liter untuk setiap 100 km. Teknologi enjin itu juga memainkan peranan untuk kecekapan bahan api sesebuah kenderaan.
Cuma ketika mengambil selekoh di laluan berbukit, penulis berasakan stereng SUV ini terlalu ringan. Agak berbahaya jika baru kali pertama memandu kenderaan ini terutama terhadap respons mengejut.
Selain itu, SUV ini mempunyai ruang simpanan bersaiz 13.5 liter di bawah perehat tangan hadapan. Ruang dengan slot USB dengan corong udara muat untuk diletakkan sebotol air 1.5 liter.
Ruang simpanan barang di belakang berkeluasan 512 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,604 liter dengan merebahkan barisan tempat duduk penumpang belakang.
Ciri-ciri keselamatan yang ada pada Peugeot 3008 ini seperti enam beg udara keselamatan, Bantuan Pendakian Bukit, Program Keselamatan Elektronik (ESP), Sistem Brek Antikunci, Sistem Agihan Brek Elektronik (EBD), Sistem Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC).
Hasil daripada ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan Peugeot 3008 ini menerima penarafan lima bintang daripada EURO NCAP.
Peugeot 3008 ini sudah dipamerkan di seluruh negara dan boleh didapati dalam pilihan warna putih, hitam, perak, biru dan merah.
Harga di atas jalan dengan insurans bagi Peugeot 3008 adalah RM153,888. Semua model Peugeot datang dengan jaminan lima tahun tanpa jarak perbatuan serta dengan 24 jam perkhidmatan Peugeot Assistance Nasim.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: