Saturday, April 26, 2014

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

LAGU duet berjudul Biar ternyata membawa tuah kepada Hanisah (kiri) dan Zuliana apabila menjadi pilihan pendengar Hot FM.


PROJEK EP Hot FM yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh stesen radio Hot FM telah menobatkan lagu berjudul Biar hasil ciptaan Hanisah Hasan dan Zuliana Eusoff sebagai pemenang.
Merupakan sebuah pertandingan yang memberi peluang kepada pencipta lagu amatur untuk mempertandingkan hasil ciptaan masing-masing, ternyata ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pendengar stesen tersebut.
Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim berkata, sejak pertandingan tersebut dimulakan pada bulan Februari lalu, pihak Hot FM telah menerima sebanyak 1,052 penyertaan.
“Penyertaan pada peringkat pertama telah bermula pada 10 hingga 23 Februari yang lalu. Menerusi kesemua lagu yang dihantar itu, hanya enam lagu sahaja yang terpilih ke peringkat akhir.
“Keenam-enam lagu tersebut telah dimuat naik ke dalam laman web Hot FM bermula pada 1 Mac. Kemudian pendengar akan memilih lagu yang terbaik menerusi undian di laman web dalam tempoh selama seminggu,” ujarnya dalam satu majlis pengumuman pemenang yang berlangsung di Talent Lounge, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menurut Anida, pemilihan peringkat pertama dibuat oleh pihak Hot FM bersama komposer berbakat, AG Coco yang juga bertindak selaku penasihat, manakala pemenang utama pula dipilih 100 peratus menerusi undian pendengar.
Ujarnya, sepanjang tempoh seminggu undian dibuka, sebanyak 13,000 undian yang telah diterima dan lagu Biarlah dipilih sebagai pemenang setelah mendapat undi tertinggi iaitu 4,418.
“Pada mulanya kami mahu memilih lima lagu terbaik sahaja untuk ke peringkat akhir. Bagaimanapun, berdasarkan sambutan yang cukup menggalakkan akhirnya kami mengambil keputusan untuk menambah lagi sebuah lagu.
“Selain itu, Projek EP Hot FM akan berlangsung dalam dua pusingan lagi. Pusingan yang kedua akan bermula pada 28 April ini dan pusingan ketiga dijangka berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.
Menurutnya, hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut akan menerima penajaan sepenuhnya daripada Hot FM untuk menerbitkan single serta proses rakaman dan klip video.
Sementara itu, AG Coco yang turut terlibat secara langsung menyatakan bahawa lagu Biar itu sememangnya menjadi pilihan berdasarkan kepada susunan muzik dan liriknya yang memenuhi cita rasa pendengar.
Namun begitu, dia mengakui berhadapan dengan cabaran memandangkan penyertaan yang diterima agak banyak dan memang sukar buat dirinya dan pihak Hot FM membuat pilihan bagi mencari enam lagu terbaik untuk ke peringkat akhir.
“Bagi saya pendekatan yang dilakukan oleh Hot FM ini sesuatu yang sangat positif kerana kita sebenarnya memiliki ramai pencipta lagu yang berbakat. Jadi, pertandingan sebegini dapat menjadi platform kepada sesiapa sahaja yang mahu berkarya,” ujarnya.
Ciptaan bersama
Berkenaan dengan kemenangan yang diraih oleh lagu Biar setelah mendapat undian yang tertinggi, Hanisah, 20, yang mencipta lagu tersebut bersama rakannya, Zuliana, 20, meluahkan rasa gembira dan tidak menyangka lagu berkenaan digemari ramai.
Ujar Hanisah, lagu tersebut telah dihasilkan oleh mereka berdua sejak masing-masing berusia 16 tahun, tetapi ia tidak siap sepenuhnya sehinggalah mereka kembali menyambungnya pada awal tahun ini.
“Penyertaan kami dalam Projek EP Hot FM berlaku secara kebetulan apabila ada rakan yang menyarankan supaya menyertainya apabila mengetahui yang kami baru sahaja menyiapkan lagu ini.
“Walaupun sudah agak lama lagu ini terperap setelah mula dihasilkan empat tahun lalu, kami berpuas hati kerana ia menjadi pilihan ramai,” ungkapnya yang turut menyanyikan lagu berkenaan secara duet bersama Zuliana.
Atas kemenangan tersebut, Hanisah menyatakan bahawa dia dan Zuliana berminat mencipta lagu untuk penyanyi lain, namun mahu meraih lebih banyak pengalaman dalam bidang penciptaan lagu terlebih dahulu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: