|
POPULARITI dan kejayaan yang diraih Hafiz membenarkan pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya. Ada yang mendakwa penyanyi kelahiran Sarawak itu mengamalkan ilmu hitam untuk kekal bertahan dalam industri.
Menjawab dakwaan itu Hafiz sama sekali menyangkal tuduhan berkenaan dan percaya rezeki yang diterimanya hingga kini berkat usaha dan niat yang baik.
“Mengarutlah! Siapa kata kalau mahu berjaya perlu pakai ilmu hitam? Malah dalam apa jua perkara pun amalan itu ditegah agama dan tidak elok.
“Kalau betul saya pakai ilmu hitam saya tidak menjadi diri saya sekarang, sudah tentu saya dihina dan dicaci. Saya percaya setiap apa yang dilakukan berlandaskan berkat dan niat yang baik.
“Memang hasad dengki itu sentiasa ada dan tentunya ada saja pihak yang cuba mereka cerita yang boleh menjatuhkan orang. Saya berani kerana benar!” tegasnya yang ditemui usai mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha A Golden Moment With Hafiz di Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ambil dadah?
Tidak terlepas daripada dakwaan nakal yang kurang berasas, penurunan berat badan daripada 70 kilogram kepada 55 kilogram penyanyi itu juga mengundang persepsi negatif, bahawa Hafiz mengambil dadah.
“Apabila orang nampak kita gembira orang tidak senang. Pastinya kalau saya mengambil dadah saya bukan seperti yang dilihat sekarang.
“Saya akan menyendiri dan tidak bergaul dengan orang. Saya belajar keburukan pengambilan dadah kerana bagi saya itu adalah pembunuh karier saya.
“Saya cintakan kehidupan saya sekarang dan mahu teruskan masa depan saya,” jelasnya yang cuba mengelak daripada terjebak dengan gejala sosial, maksiat, dadah dan arak.
Tak berbaloi
Sementara itu, sempena Minggu Setiausaha Coop Matrade, Hafiz cuma mendendangkan empat buah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama penyanyi undangan, Adira Suhaimi.
Dengan bayaran yang dikenakan bermula RM580 hingga RM780, ada yang menyifatkan persembahan itu tidak berbaloi dengan nilai yang dikenakan.
“Kalau boleh memang saya mahukan lebih daripada itu tapi jumlah lagu telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan saya menurut saja apa yang telah diberikan.
“Alhamdulillah untuk pertama kali mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha tahun ini sambutan yang diterima amat memberangsangkan,” katanya.
Risaukah dengan kesan yang bakal dihadapi kelak apabila kadar bayaran yang terlalu tinggi dikenakan untuk menyaksikan persembahan Hafiz hingga mungkin ada syarikat yang takut untuk mengundang selepas ini?
Ini jawapan Hafiz: “Saya tiada masalah. Sebarang proses perbincangan mengenai bayaran bergantung pada pengurusan saya. Memang apabila difikirkan kembali bayaran itu mahal tapi berdasarkan tema A Golden Moment With Hafiz sudah tentu bayaran itu berbaloi.”
Pada majlis tersebut, dia menghiburkan lebih 400 tetamu yang hadir menerusi lagu hitnya Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, medley Pelangi Petang, Terasing dan Salam Terakhir.
Sebelum itu, Adira membuka majlis dengan dua buah lagu popularnya Ilusi dan Dewi Cinta sebelum berduet bersama Hafiz menerusi lagu Ombak Rindu dan Muara Hati.
Penyanyi itu juga telah mencuri tumpuan apabila menyanyikan lagu All Of Me (nyanyian asal John Legend) sambil bermain piano buat pertama kalinya ketika beraksi di pentas.
Kata Hafiz: “Saya mahu memberikan kelainan dengan bermain instrumen muzik yang saya pelajari menerusi Youtube saja beberapa bulan sebelum ini.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: