Sha'arin atau nama sebenarnya Sha'arin Mohammed Razali Wong, 45, berkata, penglibatannya dalam kumpulan muzik itu sudah pun berakhir dan ia telah pun menjadi memori.
"Saya sebenarnya kurang selesa apabila orang masih panggil saya 'Sha'arin Black Rose' kerana ia tidak melambangkan sepenuhnya siapa diri saya sekarang.
"Tambahan pula tempoh saya bersama kumpulan itu hanya tiga tahun sahaja dan banyak lagi pencapaian lain dalam hidup yang saya lakukan berbanding ketika bersama kumpulan itu," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Sha'arin berkata, dia tidak bercadang untuk kembali bersama kumpulan itu bagi menghasilkan album terbaharu kerana bimbang ia tidak akan mendapat sambutan daripada peminat.
Sha'arin yang juga suami kepada pelakon dan pengacara, Yasmin Hani, berkata, dia bukan memandang rendah terhadap kredibiliti kumpulan rock itu sebaliknya bersikap realistik terutamanya landskap industri muzik yang mengalami pelbagai perubahan selain mengambil kira cita rasa pendengar.
"Pada pandangan saya menghasilkan album baharu akan merosakkan semua memori peminat tentang Black Rose dan saya secara peribadi merasakan ia mungkin tidak akan mendapat sambutan peminat seperti mana zaman kegemilangan Black Rose dahulu.
"Kita juga harus sedar bahawa industri muzik telah mengalami pelbagai perubahan dan realitinya saya bimbang kemunculan semula Black Rose tidak akan memberi impak seperti dahulu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: