|
PADA majlis yang berbeza, Lisa yang ditemui pada majlis kesyukuran bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-28 pada 23 Mac lalu di kediamannya di Kajang, Selangor, bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi bersama suaminya, Yusry Abdul Halim.
Ulasnya, selalunya sambutan ulang tahunnya hanya tertumpu pada dirinya tetapi majlis kali ini berbeza apabila Lisa turut mendoakan kesejahteraan keluarga, arwah bapanya dan seluruh penumpang pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi baru-baru ini.
"Saya juga menerima tetamu yang terdiri daripada kelab peminat dari seluruh negara. Di samping itu, saya juga menjemput sekitar sepuluh kanak-kanak istimewa dari Persatuan Sindrom Down Malaysia," ujarnya.
Jelas Lisa, dia tidak menginginkan sebarang hadiah istimewa sempena ulang tahun, cukuplah sekadar majlis doa selamat dan kebahagiaan yang dimiliki hari ini.
Beralih kepada topik zuriat yang tidak pernah lari daripadanya sementelah beberapa rakan artis seperti Scha Al-Yahya dan Liyana Jasmay sudahpun berbadan dua, Lisa pernah terasa hati apabila diajukan soalan yang terlalu sensitif soal kehamilan.
Tatkala anaknya dirundung duka, ibunya, Siti Amira Ahmad yang tidak pernah meninggalkan Lisa keseorangan sejak bergelar pelakon sering menasihatinya untuk banyak bersabar.
"Saya sering memberi motivasi kepadanya supaya jangan bersedih kerana kita tahu semuanya merupakan ketentuan daripada yang Maha Esa. Kita hanya merancang dan Allah sahaja yang menentukan.
"Apa yang penting ialah sentiasa berdoa supaya rezeki itu datang, saya juga ketika berkahwin dahulu mengambil masa dua tahun untuk memperolehi cahaya mata pertama," ujar ibunya.
Sambungnya, meskipun belum mempunyai cahaya mata, kehidupan Lisa tidak pernah sunyi kerana dikelilingi ramai anak buah.
"Lisa tidak pernah sunyi. Dia sentiasa meluangkan masanya bersama anak buahnya dan melayan kerenah mereka. Pada masa yang sama juga Lisa juga sering ke rumah ibu mertuanya yang terletak bersebelahan rumahnya. Jadi, saya rasa dia tidak merasakan kesunyian," balasnya yang memberitahu, Lisa masih bermanja dengannya meskipun telah berkahwin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: