NAMA Lisa Surihani Mohamed, 28, merupakan satu nama yang cukup besar dalam industri seni tempatan. Meskipun sudah muncul dalam belasan filem, meraih pelbagai anugerah dan menjadi duta pelbagai produk, Lisa masih menganggap diri tidak popular dan kadangkala terlupa dirinya seorang selebriti.
Akui Lisa, apabila muncul di tempat umum dia sering terkejut apabila disapa peminat dan hanya sedar dirinya selebriti apabila mereka meminta untuk bergambar dengannya.
“Pelakon merupakan satu kerjaya, bezanya kerjaya ini membuat saya dikenali ramai walaupun hakikat sebenarnya saya tidak rasa diri popular. Apabila disapa peminat, saya akan menyangka mereka adalah saudara saya. Otak saya akan ligat berfikir adakah mereka saudara sebelah ibu atau sebelah bapa.
“Selepas mereka minta untuk bergambar dan beritahu betapa mereka minat kepada saya, barulah saya sedar, saya seorang selebriti dan mereka merupakan peminat saya bukannya saudara (ketawa),” kata Lisa.
Justeru itu, apabila dirinya ditawarkan untuk muncul dalam program E! News Asia Special, dia cukup terkejut kerana bukan calang-calang selebriti yang terpilih untuk muncul dalam program berkenaan.
Sebelum ini, Aaron Aziz dari Singapura, Jay Park (Korea Selatan) dan Anne Curtis (Filipina) telah pun muncul dalam program itu. Kini, tiba gilirannya terpilih sebagai selebriti Malaysia pertama untuk muncul dalam program berkenaan yang akan disiarkan di saluran E! pada 13 April ini.
Menganggap lebih ramai selebriti yang layak terpilih berbanding dirinya meskipun telah berkecimpung dalam bidang seni sejak berusia 11 tahun, Lisa mengatakan, tawaran itu satu penghormatan yang besar buatnya.
“Saya terkejut apabila mereka datang memberi tawaran. Walaupun saya mula bekerja dalam bidang seni sejak usia 11 tahun tetapi ramai lagi selebriti Malaysia yang lebih layak untuk dipilih berdasarkan pengalaman dan pencapaian.
“Mungkin sudah rezeki, saya sangat menghargai tawaran itu dan tidak berfikir dua kali untuk menerimanya,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar program E! News Asia Special di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dedah rahsia
Lisa yang ditemu bual oleh hos Marion Caunter dalam program itu memberitahu, penonton akan menyaksikan sisi yang berbeza tentang Lisa Surihani. Lebih banyak rahsia tentang dirinya akan dibongkarkan dalam program tersebut.
“Banyak perkara yang saya tidak dedahkan pada peminat dan hanya teman rapat sahaja yang tahu akan terbongkar dalam program ini. Sebenarnya saya sendiri rasa teruja untuk menontonnya sebab keluarga dan teman rapat yang ditemu bual merahsiakan apa yang mereka katakan tentang diri saya.
“Mulanya saya sibuk juga hendak tahu, tetapi apabila suami (Yusry) juga enggan memberitahu dan sebagai menghormati polisi produksi yang merahsiakan segala temu bual daripada saya, jadi saya harus menonton sendiri dan saya sebenarnya tidak sabar menunggu 13 April ini (ketawa),” ujarnya.
Disoal apakah rahsia yang didedahkan dalam program tersebut, kata Lisa dia ada bercakap tentang isu kehamilan yang pernah hangat sebelum ini.
“Sepanjang penggambaran saya sangat selesa ditemu bual oleh Marion dan banyak rahsia yang dikongsikan bersama. Semua tentang diri saya, kerjaya dan kehidupan peribadi.
|
“Saya juga ada meluahkan pendapat tentang isu kehamilan yang hangat diperkatakan di media sebelum ini. Sejujurnya saya tidak pernah merancang kerana saya dan suami (Yusry) sukakan keluarga yang besar.
“Antara harapan saya adalah untuk memiliki anak sendiri tetapi semuanya saya serahkan pada takdir Allah,” katanya.
Ditebak bagaimana penerimaan suaminya, Yusry apabila dia muncul dalam program tersebut, jawab Lisa suaminya memberi sokongan penuh kepada dirinya.
“Yusry tidak pernah menyekat atau menghalang saya membuat keputusan sendiri. Sejak berkahwin dia lebih suka saya berdikari, tidak mengawal dalam urusan kerjaya dan saya banyak belajar daripadanya.
“Selalunya kami akan berbincang dan akhirnya dia membiarkan saya membuat keputusan. Apabila saya beritahu dia yang saya akan muncul dalam program ini, dia memberi sokongan seratus peratus, tidak menghalang dan turut terlibat dalam sesi temu bual,” ucap Lisa.
Gabung tiga negara
Bercakap tentang perkembangan kerjaya seninya, selepas selesai dengan penggambaran filem Cicakman 3, Lisa kini sibuk dengan filem berjudul Sinaran yang diarahkan oleh Osman Ali.
Filem usaha sama Malaysia dan Singapura itu turut menampilkan pelakon seperti Izara Aishah, Evan Sanders dari Indonesia dan Nadiah M. Din dari Singapura.
“Ini satu kerjasama yang bagus kerana melibat pelakon dari tiga buah negara. Saya bersetuju untuk berlakon filem itu kerana tertarik dengan konsep muzikal. Saya teringin merasai pengalaman latihan intensif sebelum penggambaran bermula.
“Filem ini melibatkan tarian dan nyanyian, jadi saya banyak berlatih menari. Penat memang terasa tapi puas kerana dapat melakukan apa yang jarang-jarang saya lakukan,” jelas Lisa yang sudah lebih 10 tahun meninggalkan lapangan tarian.
Tambah Lisa, dia tidak kisah apabila terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Singapura untuk menjalani latihan demi filem Sinaran bermula 24 Mac lalu.
“Jika difikirkan dengan penat dan terpaksa berulang-alik seperti tidak berbaloi, tetapi jika memikirkan kerana minat dan filem ini sesuatu yang tidak pernah saya lakukan, apa salahnya mencuba.
“Banyak lagi ilmu dalam filem yang ingin saya pelajari dan salah satunya ialah filem muzikal. Harap semuanya berjalan lancar dan saya sendiri tidak sabar untuk melihat hasilnya,” ucapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: