Saturday, April 19, 2014
Evolusi FZ150i
SEJARAH Yamaha FZ150i bermula pada tahun 2008 sebagai taruhan baharu Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) dalam segmen 150cc tempatan selepas ketiadaan model dua lejang Yamaha TZM. FZ150i pada ketika itu tidak memerlukan masa lama untuk menarik perhatian pengguna ekoran ciri praktikal yang terdapat padanya.
HLYM kemudiannya memperbaharui momentum saingan apabila tampil dengan dua model FZ150i naik taraf masing-masing pada tahun 2010 dan 2012. Pembaharuan yang dilakukan sekadar tambahan beberapa komponen dan solekan warna baharu.
Setelah keberadaan hampir enam tahun dalam pasaran Malaysia, HLYM akhirnya memutuskan untuk memperkenalkan generasi kedua Yamaha FZ150i.
Kali ini, ia bukan sekadar menyalin cover set semata-mata tetapi ia didatangkan bersama beberapa komponen baharu selain kejuruteraan semula unit rangkaian kuasa bagi menjayakan respons enjin yang lebih berprestasi.
FZ150i edisi 2014 didatangkan bersama set lampu utama dan lampu isyarat membelok baharu, set lampu belakang kompak dan reka bentuk tangki minyak yang berimej sporty. Motosikal itu turut dipasang dengan rim aloi rekaan baharu.
Tambahan komponen lain ialah pemasangan undercowl dan madgad belakang bagi melindungi bahagian enjin daripada pantulan batu-batu kecil atau objek keras. Sistem brek turut ditingkatkan menerusi aplikasi brek cakera pada kedua-dua roda. Model sebelum ini hanya didatangkan dengan set brek cakera pada roda hadapan.
Instrumen meter FZ150i 2014 menggabungkan paparan analog dan digital. Semua informasi berhubung kadar kelajuan, status bekalan bahan api serta jarak perjalanan disiarkan menerusi sebuah skrin digital manakala pergerakan jarum pusingan enjin seminit (rpm) ditayangkan menerusi meter analog.
Unit enjin yang digunakan adalah sama seperti generasi pertama. Kejuruteraan semula yang dilakukan hanya melibatkan penggantian komponen sistem penyampaian bahan api dan nisbah gear. Tindakan itu membolehkan FZ150i baharu menghasilkan kuasa kuda dan tork yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya.
Pengarah Urusan HLYM, Ng Choong Hai berkata, pihaknya mengunjurkan jualan sebanyak 800 unit sebulan bagi model baharu itu. Katanya, jumlah jualan terkumpul FZ150i generasi pertama bagi tempoh enam tahun adalah sebanyak 28,000 unit.
Berhubung kebolehdapatan alat ganti bagi model generasi pertama, Choong Hai menjelaskan, HLYM akan terus menawarkan komponen berkenaan bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Yamaha FZ150i ditawarkan pada harga asas RM8,538 seunit.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: