Saturday, April 19, 2014

Pupuk peserta hargai khazanah alam



SERAMAI 504 peserta menempuh aktiviti sukan larian lasak Teva Kenaboi Adventure Race 2014 yang berlangsung di Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Perlumbaan berkenaan melibatkan beberapa kawasan di Mukim Kenaboi yang meliputi lokasi sekitar Kampung Chennah, Kampung Esok, Sungai Kenaboi, Gua Batu Pala dan sebahagian Hutan Rizab Kenaboi.
Setiap pasukan yang terdiri daripada dua peserta campuran lelaki dan wanita bukan sahaja dikehendaki berlari melalui trek yang telah disediakan, malah mereka perlu menyelesaikan beberapa tugasan di setiap titik temu.
Antara tugasan itu termasuklah memintal tali, melambung getah ke arah lidi, melastik tin, membawa pasir sungai seberat 20 kilogram dan boling kelapa serta meneroka Gua Batu Pala atau turut dikenali sebagai Gua Periok sepanjang 500 meter.
Rata-rata peserta mengakui cabaran meneroka gua begitu menguji mental dan fizikal mereka kerana keadaan dalam gua yang amat sempit dan gelap.
Acara larian lasak yang bermula di padang Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah di Kampung Chennah dilepaskan oleh Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Pelancongan Negeri Sembilan, Tun Hairudin Abu Bakar pada pukul 8.30 pagi.

Para peserta pantas mengatur langkah semasa perlepasan di Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah, Jelebu.


Kategori
Para peserta bagi kategori terbuka perlu menamatkan larian sejauh 22 kilometer (km) manakala kategori institusi pengajian tinggi (IPT) dikehendaki mengakhiri larian sejauh 16km.
Pada tahun ini, cabaran dihangatkan dengan pengenalan kategori IPT yang mendapat penyertaan sekitar Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.
Bagi kategori terbuka, para peserta dikehendaki menyelesaikan enam disiplin manakala lima disiplin pula perlu dilakukan peserta kategori IPT.
Kategori terbuka dimenangi pasukan S.K.A Runner dari Kuala Lumpur, yang disertai Muhd. Asdi Weding, 31, dan Nur Amelia Musa, 28, dengan cacatan masa larian 2 jam dan 19 minit.
Muhd. Asdi dan Nur Amelia yang masing-masing merupakan anggota tentera dan polis membuat persediaan selama dua minggu sebelum menyertai cabaran itu.
“Ini adalah penyertaan sulung kami pada acara larian lasak Teva Kenaboi Adventure Race dan ternyata usaha kami berbaloi,” kata Muhd. Asdi yang turut mengakui semua aktiviti cukup mencabar terutama disiplin melastik tin.
Pasukan UPSI Mix dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, yang disertai Samsu Rudi dan Shu Seo Cheng yang berusia 20-an pula dinobatkan juara bagi kategori IPT dengan cacatan masa 2 jam dan 39 minit.
GUA BATU PALA sepanjang 500 meter ini mempunyai laluan yang sempit dan gelap sekali gus menyukarkan para peserta melaluinya.


Kedua-dua pasukan tersebut masing-masing meraih hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta piala pusingan, piala iringan, medal dan sijil.
Acara sukan pelancongan lasak ini dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan negeri, Pejabat Daerah Jelebu dan disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan.
Platform
Penganjuran Teva Kenaboi Adventure Race 2014 ini bukan sahaja menjadi platform terbaik mempromosikan Jelebu sebagai kawasan ekopelancongan tetapi, ia juga mampu mendidik peserta peka terhadap isu alam sekitar.
Seorang peserta yang berasal dari England, Dave Spence, 53, mencuri tumpuan ketika menamatkan cabaran apabila dia memungut secebis plastik yang ditinggalkan oleh salah seorang peserta ketika acara berlangsung.
Dia yang sudah 12 tahun menetap di Kuala Lumpur mengutip dan memulangkan sampah yang dibuang oleh peserta berkenaan ketika tiba di garisan penamat.
“Perkara sebegini (membuang sampah) tidak sepatutnya berlaku. Malaysia memiliki kawasan hutan yang cantik dan ia perlu dihargai.
“Memulangkan sampah yang dibuang secara sengaja adalah cara terbaik untuk mendidik orang ramai supaya mereka lebih bertanggungjawab,” katanya yang juga seorang aktivis alam sekitar.
Spence yang berpasangan dengan seorang warga tempatan, Ester Sim, 28, dalam cabaran berkenaan menyertai Teva Kenaboi Adventure Race buat kali kedua kerana terpesona dengan keindahan hutan semula jadi di negara ini.

JARAK antara lidi dan peserta menjadi cabaran utama dalam melunaskan misi melambung getah ke lidi.


Sementara itu, peserta dari Nigeria, Richard Ahbeya, 28, yang dua tahun berturut-turut menyertai sukan lasak itu mengakui kesukaran pertandingan tersebut.
Peserta tinggi lampai yang merupakan penuntut Kolej SEGi di Kota Damansara, Selangor itu memberitahu, semua disiplin dalam acara tersebut begitu mencabar terutama ketika meneroka gua yang gelap dan sempit.
Membatalkan
Dalam pada itu, syarikat pengurusan acara, Kenaboi Adventure Enterprise yang mengendalikan acara tersebut berkata, cabaran kali ini turut menerima penyertaan antarabangsa seperti dari Kenya, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.
Menurut Pengarah acara berkenaan, Khairil Anuar Zainal Azman, acara tersebut disertai peserta paling muda berusia 14 tahun dan paling tua berumur 57 tahun.
“Pada tahun ini kita terpaksa membatalkan satu disiplin wajib iaitu `water tubing’ sepanjang 3km di Jeram Lesong atas nasihat pihak bomba dan penyelamat ekoran paras air naik selepas hujan beberapa jam sebelum acara bermula.
“Bagaimanapun, disiplin itu kita gantikan dengan tugasan membawa pasir sungai dan boling kelapa,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: