Saturday, April 19, 2014

Grand Livina kenderaan keluarga


REKAAN lampu, bampar dan gril baharu merupakan sebahagian daripada 50 sentuhan baharu pada model ini.


NISSAN Grand Livina yang membuat debut ke pasaran Malaysia sekitar tahun 2007 berjaya mencipta fenomena baharu dalam landskap kenderaan pelbagai guna (MPV) tempatan. Dalam tempoh beberapa tahun, model di bawah rangkaian Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) itu berjaya muncul sebagai MPV bukan nasional popular di Malaysia.
Grand Livina yang diperkenalkan tahun lalu itu menerima 50 penambahbaikan sekali gus mencerminkan komitmen ETCM untuk bersaing lebih serius dalam segmen berkenaan.
Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh ETCM untuk memandu uji varian Grand Livina 1.8 liter. Sesi pandu uji kali ini melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Mutiara.
Perjalanan yang merentasi lebuh raya PLUS membolehkan penulis menikmati hamburan kuasa melalui enjin berteknologi Drive-by-Wire.

PAPAN pemuka Grand Livina ini dihiasi dengan panel kayu yang memberikan imej mewah.


Berbekalkan perbezaan sesaran kira-kira 200cc, model kali ini sedikit sebanyak mengubati kekecewaan penulis sewaktu menguji varian 1.6 liter sebelum ini.
Lebih tenaga mendaki
Enjin Grand Livina 1.8 liter lebih berkuasa terutama dalam mendaki bukit berbanding model sebelumnya yang kerap semput terutama dalam mod memotong kenderaan di hadapan.
Perjalanan ke Pulau Pinang disertai bersama lima orang rakan penulis dan satu perkara berjaya dikenal pasti. Ruangan kabin Grand Livina ini sempit bagi penumpang berbadan sederhana pada barisan kedua dan ketiga. Mereka terpaksa berhimpit dan menyerongkan badan untuk membolehkan masing-masing duduk dengan sedikit selesa.
Bagi penulis, jika anda berhajat mahu bawa barangan banyak, sila pastikan penumpang dewasa dalam kabin tidak lebih tiga orang. Tujuannya untuk membolehkan simpanan barang dan memastikan keselesaan sederhana mampu dinikmati semua pihak bagi perjalanan jarak jauh. Ruang letak barang di bahagian belakang terlalu kecil dan langsung tidak praktikal untuk tujuh penumpang.

RUANG enjin 1.8 liter Grand Livina tampil kemas dan tersusun.


Tiada perehat tangan
Pun begitu, Grand Livina yang sedikit besar berbanding Perodua Alza tetap punya kelebihan. Material kulit pada bahagian tempat duduk menampakkan imej mewah dan pada masa sama mudah dibersihkan.
Suasana ruang kabin diselubungi tona warna cerah dan disulam dengan kepingan kayu di beberapa bahagian untuk memberikan sedikit rasa mewah.
Tempat duduk bahagian pemandu dan penumpang hadapan tidak didatangkan dengan perehat tangan sehingga terasa lenguh pemanduan lebih lima jam tempoh hari. Sepatutnya kemudahan itu perlu diadakan memandangkan ia sebuah MPV.
Varian 1.8 liter ini menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci i-Key, lampu isyarat membelok LED yang diadun pada bahagian cermin pandang sisi dan lampu kabus pada bahagian bampar hadapan.
Tiada keistimewaan pada model ini kecuali ia sebuah Grand Livina dengan enjin 1.8L dan ia adalah Nissan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: