
SEKUMPULAN Orang Gila (S.O.G) terdiri dari kiri: Nazrin, Riko, Adek dan Amsyar. Mereka teruja kerana pertama kali bersaing menerusi kategori Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) yang akan berlangsung esok.
KEHADIRAN band-band muzik beraliran metal bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri hiburan tanah air.
Ada yang bergerak secara sendiri dan ada juga yang bernasib baik dilamar untuk bernaung di bawah bumbung syarikat-syarikat rakaman tempatan.
Meskipun kurang menonjol menerusi media arus perdana, bakat dan intipati seni yang diketengahkan oleh mereka masih mendapat perhatian banyak pihak sama ada dari dalam atau luar negara.
Lima orang anak muda yang menggelarkan diri sebagai Sekumpulan Orang Gila (S.O.G) iaitu Nazrin, 24, Riko, 21, Amsyar, 16, Adek, 24 dan Qayyum, 20, tidak pernah berputus asa dalam mengetengahkan karya-karya mereka yang berentak post-hardcore ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kami mula bermain muzik sejak di bangku sekolah lagi. Nama Sekumpulan Orang Gila pula tercetus kerana sifat agresif kami ketika membuat persembahan.
“Walaupun mengetengahkan muzik post-hardcore dan vokal menjerit, elemen-elemen muzik Melayu seperti rebana, seruling dan gesekan biola tetap ada dalam lagu-lagu ciptaan kami.
“Secara ringkasnya, evolusi yang berlaku dalam muzik kami berjalan seiring dengan kematangan kami ketika menulis lagu,” ujar Nazrin yang juga bertindak sebagai ketua kumpulan S.O.G.
Idola
Sudah menjadi adat bagi setiap penyanyi memasang angan-angan untuk menghasilkan lagu dan berduet dengan idola pilihan mereka.
Membuktikan bahawa angan-angan mereka bukanlah sekadar impian kosong, S.O.G berjaya menghasilkan sebuah single bertajuk 40% Disco bersama ahli kumpulan Issue, Tyler Carter dan Michael Bohn dari Amerika Syarikat.
“Mereka mencari rakan kolaborasi secara rawak menerusi status akaun Twitter. Sejurus selepas membaca pengumuman tersebut, kami terus mencuba nasib dengan memberikan respons kepada mereka.
![]()
S.O.G berharap mereka mempunyai peluang besar untuk diberi peluang mempamerkan karya secara lebih meluas dalam industri hiburan tempatan.
|
“Tidak lama selepas itu, mereka ada menghantar e-mel dan bersetuju untuk bekerjasama menghasilkan lagu dengan kami,” beritahu Nazrin atau nama sebenarnya Raja Nazrin Shah Raja Azaham.
Tambah Nazrin, proses rakaman lagu tersebut mengambil masa selama lima bulan dan segala urusan dijalankan melalui beberapa balasan e-mel.
“Mengikut perancangan awal, kami mencipta keseluruhan lagu lengkap dengan lirik dan mereka hanya memasukkan vokal ketika proses rakaman.
“Tetapi, disebabkan lagu tersebut dicipta sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, kami memberikan kepercayaan kepada mereka untuk mengubahnya sedikit. Lagipun bahasa Inggeris adalah bahasa utama mereka,” ujar Nazrin lagi.
AIM 20
Rezeki S.O.G tidak terhenti setakat kolaborasi tersebut. Pada 14 Disember ini, mereka bakal berentap dalam Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) setelah tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik menerusi lagu Sumpah Pendekar.
Di sebalik pencalonan tersebut, tersirat kontroversi menerusi lagu Sumpah Pendekar yang melibatkan pertelingkahan fahaman mengenai isu perkauman.
“Pada asalnya, lagu ini diberi judul 1Melayu dan liriknya mengandungi nasihat-nasihat yang melibatkan kaum Melayu di Malaysia.
“Tetapi, ada pihak yang salah tafsir menyebabkan kami dilabel sebagai rasis. Justeru, setelah bernaung di bawah Universal Music Malaysia, pihak syarikat meminta agar lirik lagu tersebut diubah supaya dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya yang memberikan kepercayaan kepada komposer M. Nasir untuk mengubah lirik lagu tersebut supaya lebih bersifat umum dan puitis.
Mengulas mengenai pencalonan tersebut, S.O.G ternyata begitu teruja ketika mendapat tahu mengenai penglibatan dalam AIM 20 tersebut.
“Kami tidak pernah menyangka bakal berentap dalam AIM 20, apatah lagi disenaraikan sebagai lima yang terbaik menerusi kategori Artis Baru Terbaik.
“Kalah atau menang bukanlah perkara utama. Apa yang penting muzik kami mendapat perhatian penggiat seni muzik tanah air sekaligus membuka peluang untuk terus berkarya pada masa akan datang,” ujar Nazrin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: